Ahad, 25 Jun 2017

Perlis mara, Perak tersingkir



ARKIB : 20/04/2006

KUALA LUMPUR - Pahang, Singapura B23, Perlis dan Negeri Sembilan Naza mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas menamatkan saingan suku akhir kedua Piala FA, semalam.

Pahang yang belum bergelar juara layak menerusi agregat 8-2, Singapura B23 pula 8-6 manakala Perlis naib juara 2003 mara dengan 2-1 menyingkirkan Perak.

Malang buat naib juara tahun lalu, Perak terus merana apabila gagal menyekat Perlis daripada mara ke separuh akhir walaupun menang 1-0 ke atas Singa Utara di Stadium Perak.

Gol tunggal jaringan ketua pasukan, Keita Mandjou menerusi sepakan penalti pada minit ke-57 tidak dapat membantu Perak yang tewas 1-2 secara agregat bagi mengesahkan kemaraan Perlis.

Di Stadium Batu Kawan, Pahang mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas seri 2-2 dengan pasukan berstatus kelab NTFA 2-0.

Keputusan tersebut memastikan kemaraan Pahang dengan agregat 8-2 selepas mereka mencatat kemenangan 6-0 pada suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur.

Dua gol Pahang dijaringkan oleh Josiah Seton (m-42) dan Sufian Shamsubari (m-46) manakala dua gol NTFA dijaringkan oleh Zulkifli Affendi (m-72, m-78).

Di Stadium Sarawak jaringan hatrik Mohd. Safee Sali tidak mampu membantu Sarawak layak ke separuh akhir walau pun menewaskan Singapura B23 4-1.

Sebaliknya, Singapura mara ke separuh akhir menerusi agregat 8-6.

Mohd. Safee Sali meledakkan hatrik pada minit ke-44, 45 dan 51.

Gol keempat dijaringkan oleh Robert Eshun minit ke-59 sebelum Singapura merapatkan jurang pada minit ke-76 menerusi Mohd. Shahril Isha.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Mohd. Anuar Jusoh muncul hero apabila menjaringkan gol kemenangan membantu Negeri Sembilan Naza menewaskan Terengganu 1-0 untuk mara ke separuh akhir.

Tuan rumah terpaksa menanti hingga ke masa tambahan pada ke-112 apabila Mohd. Anuar menjaringkan gol kemenangan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 secara agregat menamatkan masa 90 minit.

Negeri Sembilan Naza melangkah dengan bergaya ke peringkat separuh akhir menewaskan Terengganu menerusi agregat 2-1.

Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-66 menerusi Che Hishamuddin Hassan sebelum Terengganu mengikat kedudukan 1-1 hasil jaringan Fabio Flor pada minit ke-78.

Kedudukan terikat 1-1 hingga tamat perlawanan memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

Tuan rumah kembali mendahului menerusi jaringan Mohd. Anuar Jusoh pada minit ke-112.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4l4ECDFCm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 8 Jun 2017

Kehilangan tonggak punca lemah



ARKIB : 12/12/2005

KANGAR - Kehilangan ramai pemain tonggak menyerlahkan kelemahan Perlis sehingga `diganyang' 0-4 oleh Perak pada perlawanan Liga Super di Ipoh, kelmarin.

Hakikatnya, penyandang naib juara Piala Malaysia dan juara Liga Super itu hanya bergantung kepada kehebatan Phillimon Chepita selepas beberapa pemain utama mengalami kecederaan selepas beberapa pemain utama berhijrah ke pasukan lain.

Perkara itu diakui oleh jurulatih Singa Utara, Abdul Rahman Ibrahim yang kini terpaksa merangka strategi baru terhadap pasukannya yang sebahagian besar pemainnya merupakan muka baru.

Menurut beliau, ketiadaan Joao Bandoch yang masih berada di Brazil dan kehilangan Muhammad Kaironnisam Shahabuddin yang berhijrah ke MPPJ musim ini menyebabkan benteng pertahanan Perlis rapuh.

Analisis yang dibuat oleh bekas jurulatih kebangsaan itu juga mendapati sikap sambil lewa penjaga gol, Mohd. Amran Omar menyebabkan Perak memperoleh dua gol mudah.

``Kita menyaksikan sebanyak dua kali Mohd. Amran hanya melihat bola menerjah gawang dalam keadaan dirinya hanya berdiri kaku tanpa melakukan sebarang usaha untuk menangkapnya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Abdul Rahman, kesilapan yang dilakukan oleh Azizi Mat Rose sehingga menghadiahkan penalti kepada Perak juga dianggap tidak seharusnya berlaku.

Beliau mengakui kekentalan barisan pertahanan lawan mengakibatkan jentera serangan Perlis tidak berfungsi dengan baik, apatah lagi Chipeta tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada bahagian tengah.

Ketiadaan gandingannya, Zacharia Simukonda yang mengalami kecederaan tulang kaki, katanya, menyebabkan Chipeta tidak mendapat umpanan bola yang mampu menghasilkan gol.

``Kita dapati Affendi Malik masih belum serasi dengan Chipeta menyebabkan segala pergerakan mereka mudah dipatahkan oleh lawan,'' jelasnya.

Abdul Rahman juga tidak dapat menyembunyikan perasaannya bahawa Perak seolah-olah berada pada kelasnya yang tersendiri ketika menentang Perlis kelmarin.

Barisan baru Perlis itu akan sekali lagi diuji oleh Pahang yang akan berkunjung ke sini, Sabtu ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4jSDO7CXW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 6 Jun 2017

Pemain Perlis hiba di Hari Raya

ARKIB : 07/11/2005
Oleh SAYED HESHAM IDRIS

KUALA LUMPUR - Selepas Kedah dan Melaka dilanda kemelut pembayaran gaji, para pemain yang membawa Perlis muncul naib juara bola sepak Piala Malaysia Oktober lalu mendakwa mereka berdepan masalah yang serupa.

Sumber memberitahu, kesemua pemain Singa Utara tidak menerima gaji hampir tiga bulan dengan gaji terakhir yang mereka terima hanyalah untuk bulan Ogos yang dibayar pada awal September lalu.

Keadaan itu menyebabkan para pemain Perlis `lesu' merayakan Aidilfitri kali ini.

Malah kegagalan Perlis mempertahankan Piala Malaysia apabila tewas 0-3 di tangan Selangor pada perlawanan akhir 1 Oktober lalu turut dikaitkan dengan faktor tiadanya pembayaran gaji untuk bulan September.

``Kini hampir tiga bulan para pemain Perlis tidak menerima apa-apa bayaran sedangkan gaji mereka sepatutnya dibayar sehingga kontrak berakhir iaitu pada hujung bulan ini.

``Pemain tidak tahu mengapa pihak pengurusan berdiam diri tanpa sebarang alasan.

``Keadaan itu menyebabkan pemain yang membawa Perlis muncul juara Liga Super musim ini tidak ceria merayakan Aidilfitri. Tiada suasana gembira disebabkan masalah ini.

``Keadaan pastinya lebih dirasai bagi para pemain yang sudah berkeluarga,'' kata sumber tersebut.

Sebelum ini Kedah dan Melaka turut berdepan masalah yang sama namun persatuan bola sepak kedua-dua negeri telah berjanji untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Menurut sumber tersebut, kerana tidak tahan dengan masalah ketiadaan bayaran yang terus berlarutan, difahamkan ada pemain import yang bertindak bertemu sendiri dengan pengurus pasukan untuk meminta gaji.

Sumber tersebut turut mempertikaikan janji persatuan untuk mengagih-agihkan wang RM500,000 hasil kutipan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia Oktober lalu yang sehingga kini masih belum diterima oleh semua pemain.

``Pihak pengurusan sendiri berjanji akan mengagih-agihkan wang kutipan tersebut tetapi nampaknya perkara itu terus senyap.

``Jika masalah ini berlarutan para pemain akan berdepan masalah kewangan yang lebih serius dalam menampung perbelanjaan seharian.

``Bagi pemain yang digugurkan pula, mereka perlukan wang untuk perbelanjaan mencari pasukan baru. Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera kerana musim baru liga akan bermula tidak lama lagi,'' katanya.

Tambah sumber itu, difahamkan ada pemain yang tawar hati untuk menyambung kontrak dengan Perlis disebabkan masalah tersebut dan bertindak mencari haluan baru pada musim depan.

``Sebelum ini pun para pemain pernah berdepan masalah kelewatan gaji... pernah dua bulan mereka tidak menerima gaji tetapi akhirnya bayaran dibuat.

``Tetapi nampaknya di penghujung musim ini pengurusan pasukan terus berdiam diri dalam soal ini,'' katanya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4jBPzHrAB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Yusri tidak `bijak' - Adzmi



ARKIB : 12/11/2005

KANGAR - Pertikaman lidah antara tonggak utama Perlis, Yusri Che Lah dan Mohd. Kaironnisam Shahabuddin Hussain dengan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) terus hangat apabila Naib Presiden persatuan itu, Adzmi Saad menganggap kedua-dua pemain itu `tidak cerdik' dalam soal jual beli pemain.

Menurut pengurus pasukan Singa Utara itu, tuntutan pampasan yang dibuat oleh PFA terhadap Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) merupakan amalan biasa dalam mana-mana pasukan termasuk kelab bola sepak antarabangsa.

``Janganlah tunjukkan sikap yang kurang bijak dalam soal ini apatah lagi sebagai pemain yang berpengalaman. Tidak ada siapa pun sebenarnya mahu musnahkan karier bola sepak mereka (Yusri dan Mohd. Kaironnisam).

``Soal tuntutan pampasan itu adalah antara PFA dengan MPPJ dan kita tidak minta sesen pun daripada Yusri,'' katanya kepada Utusan Sukan ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas kekecewaan Yusri dan Mohd. Kaironnisam terhadap sikap PFA yang menetapkan bayaran pampasan antara RM100,000 hingga RM300,000 untuk memberi pelepasan kepada mereka menyertai MPPJ bagi musim depan.

Menurut mereka, tuntutan pampasan itu seolah-olah mahu menamatkan kariernya dalam sukan bola sepak kerana dilihat sebagai penghalang untuk berhijrah.

Adzmi seterusnya menegaskan, kedua-dua pemain terbabit tidak sepatutnya menganggap tuntutan pampasan itu sebagai penghalang memandangkan mereka akan turut mendapat komisen daripada bayaran tersebut.

``Mereka akan menerima sebanyak 10 peratus daripada jumlah pampasan dan lebih tinggi bayaran pampasan, lebih tinggi pula yang bakal mereka terima,'' tegasnya.

Tuntutan pampasan itu juga, jelas beliau, dianggap wajar memandangkan PFA telah melabur dengan nilai yang tinggi sepanjang kedua-dua pemain terbabit berkhidmat dengan Perlis.

Isu Perlis cuba memusnahkan karier bola sepak Yusri dan Mohd. Kaironnisam tidak sepatutnya timbul apabila kedua-dua pemain itu diberikan peranan yang besar ketika menyarung jersi Singa Utara, ujarnya.

Menurut beliau, Yusri diberi peranan sebagai penyerang utama manakala Mohd. Kaironnisam pula dilantik sebagai ketua pasukan sekali gus melonjakkan nama mereka di persada bola sepak tanah air.

``Kita tidak akan semudah itu untuk melepaskan para pemain selepas kita menggilap bakat mereka dengan kos yang tinggi,'' tegasnya.

Adzmi menambah, tuntutan pampasan itu dibuat kepada MPPJ kerana kelab tersebut tidak pernah berunding dengan PFA untuk mendapatkan khidmat pemain Perlis.

``Mereka hantar surat supaya kita melepaskan mereka dan sebagai jawapan mudah, kita tuntut pampasan daripada kelab itu,'' katanya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4jEnEGQSf
© Utusan Melayu (M) Bhd

`Perlis cuba musnahkan saya'



 
ARKIB : 11/11/2005

Oleh AMRAN MULUP
BEKAS penyerang Perlis, Yusri Che Lah menunjukkan salinan surat yang dihantar kepada Jawatankuasa Status Pemain FAM di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR - Dua tonggak utama Perlis, Yusri Che Lah dan Mohd Kaironnisam Shahabuddin Hussain kecewa dengan sikap Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) kerana menetapkan bayaran pampasan antara RM100,000 hingga RM300,000 untuk memberi pelepasan kepada mereka menyertai MPPJ bagi musim 2005/2006.

Yusri menyifatkan tuntutan bayaran pampasan PFA yang ditetapkan sebanyak RM100,000 kepada MPPJ seolah-olah mahu menamatkan kariernya dalam sukan bola sepak.

Nasib serupa turut menimpa tonggak pertahanan kental Kaironnisam apabila PFA menetapkan bayaran pampasan sebanyak RM300,000 untuk melepaskan pemain itu berhijrah ke MPPJ.

``Syarat ini sudah tentu menjadi penghalang besar kepada saya dan Kaironnisam untuk berhijrah kepada pasukan lain.

``Saya benar-benar kecewa dengan sikap tidak profesional PFA seolah-olah ingin membunuh karier bola sepak saya,'' ujarnya ketika ditemui Sukan Utusan di sini, semalam.

Yusri berkata, PFA sepatutnya lebih bersikap profesional sebagaimana mereka melepaskan Mohd. Khairi Zainuddin dan Es Lizuan Zahid mewakili pasukan lain tanpa sebarang syarat utama.

Yusri menegaskan dia telah menolak tawaran melanjutkan kontrak mewakili skuad Singa Utara bagi musim 2006 menerusi surat daripada PFA bertarikh 2 Oktober lalu.

``Saya telah menyatakan hasrat menolak tawaran PFA dan memaklumkan hasrat saya berhijrah ke pasukan lain bagi musim 2006,'' ujarnya.

Dia menambah, hasrat itu telah dinyatakan dalam sepucuk surat bertarikh 27 Oktober lalu dan telah diberikan kepada Naib Presiden PFA, Adzmi Saad.

Apa yang cukup mengecewakan kata Yusri, PFA tidak memberikan sebarang jawapan.

Menurutnya, keengganan Perlis memberi pelepasan tanpa syarat akan meletakkan kedudukannya dalam keadaan terumbang-ambing dan boleh menghancurkan masa depannya dalam bola sepak.

Sehubungan itu katanya, dia telah menghantar surat kepada Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyelesaikan kemelut yang dialaminya.

``Saya minta FAM campur tangan untuk mengkaji dan mengesahkan kedudukan saya bahawa keputusan yang telah saya ambil untuk tidak menyambung kontrak dengan PFA tidak melanggar sebarang peraturan.

``Dan tuntutan pampasan RM100,000 oleh PFA untuk melepaskan saya adalah tidak berasas,'' katanya lagi.

Selain itu, Yusri cukup kecewa apabila PFA hanya membayar separuh gaji bagi bulan September dan Oktober yang diterima semalam.

``Saya hairan mengapa saya dan Kaironnisam sahaja dibayar gaji separuh bulan sedangkan pemain lain menerima gaji penuh,'' ujarnya.

Dia menegaskan tindakan PFA itu jelas telah melanggar kontrak seperti yang termaktub dalam Perkara 2 Kontrak Pemain Bola Sepak.

Dia menjelaskan PFA tidak sepatutnya membayar separuh gaji bagi bulan Oktober kerana dia beraksi sepanjang 90 minit dalam perlawanan akhir Piala Malaysia bertemu Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Oktober lalu.

Selain itu dia menjelaskan, selepas perlawanan akhir Piala Malaysia semua pemain Perlis diberikan cuti daripada 2 hingga 24 Oktober dan selepas itu kembali menjalani latihan daripada 25 hingga 30 Oktober.

``Cuma saya tidak menjalani latihan sejak dua hari lepas kerana saya sudah menyatakan hasrat menolak tawaran daripada PFA,'' ujarnya

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jEZManxy
© Utusan Melayu (M) Bhd