Ahad, 25 Jun 2017

Perlis mara, Perak tersingkir



ARKIB : 20/04/2006

KUALA LUMPUR - Pahang, Singapura B23, Perlis dan Negeri Sembilan Naza mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas menamatkan saingan suku akhir kedua Piala FA, semalam.

Pahang yang belum bergelar juara layak menerusi agregat 8-2, Singapura B23 pula 8-6 manakala Perlis naib juara 2003 mara dengan 2-1 menyingkirkan Perak.

Malang buat naib juara tahun lalu, Perak terus merana apabila gagal menyekat Perlis daripada mara ke separuh akhir walaupun menang 1-0 ke atas Singa Utara di Stadium Perak.

Gol tunggal jaringan ketua pasukan, Keita Mandjou menerusi sepakan penalti pada minit ke-57 tidak dapat membantu Perak yang tewas 1-2 secara agregat bagi mengesahkan kemaraan Perlis.

Di Stadium Batu Kawan, Pahang mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas seri 2-2 dengan pasukan berstatus kelab NTFA 2-0.

Keputusan tersebut memastikan kemaraan Pahang dengan agregat 8-2 selepas mereka mencatat kemenangan 6-0 pada suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur.

Dua gol Pahang dijaringkan oleh Josiah Seton (m-42) dan Sufian Shamsubari (m-46) manakala dua gol NTFA dijaringkan oleh Zulkifli Affendi (m-72, m-78).

Di Stadium Sarawak jaringan hatrik Mohd. Safee Sali tidak mampu membantu Sarawak layak ke separuh akhir walau pun menewaskan Singapura B23 4-1.

Sebaliknya, Singapura mara ke separuh akhir menerusi agregat 8-6.

Mohd. Safee Sali meledakkan hatrik pada minit ke-44, 45 dan 51.

Gol keempat dijaringkan oleh Robert Eshun minit ke-59 sebelum Singapura merapatkan jurang pada minit ke-76 menerusi Mohd. Shahril Isha.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Mohd. Anuar Jusoh muncul hero apabila menjaringkan gol kemenangan membantu Negeri Sembilan Naza menewaskan Terengganu 1-0 untuk mara ke separuh akhir.

Tuan rumah terpaksa menanti hingga ke masa tambahan pada ke-112 apabila Mohd. Anuar menjaringkan gol kemenangan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 secara agregat menamatkan masa 90 minit.

Negeri Sembilan Naza melangkah dengan bergaya ke peringkat separuh akhir menewaskan Terengganu menerusi agregat 2-1.

Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-66 menerusi Che Hishamuddin Hassan sebelum Terengganu mengikat kedudukan 1-1 hasil jaringan Fabio Flor pada minit ke-78.

Kedudukan terikat 1-1 hingga tamat perlawanan memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

Tuan rumah kembali mendahului menerusi jaringan Mohd. Anuar Jusoh pada minit ke-112.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4l4ECDFCm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan