ARKIB : 12/12/2005
KANGAR - Kehilangan ramai
pemain tonggak menyerlahkan kelemahan Perlis sehingga `diganyang' 0-4 oleh
Perak pada perlawanan Liga Super di Ipoh, kelmarin.
Hakikatnya, penyandang naib
juara Piala Malaysia dan juara Liga Super itu hanya bergantung kepada kehebatan
Phillimon Chepita selepas beberapa pemain utama mengalami kecederaan selepas
beberapa pemain utama berhijrah ke pasukan lain.
Perkara itu diakui oleh
jurulatih Singa Utara, Abdul Rahman Ibrahim yang kini terpaksa merangka
strategi baru terhadap pasukannya yang sebahagian besar pemainnya merupakan
muka baru.
Menurut beliau, ketiadaan Joao
Bandoch yang masih berada di Brazil dan kehilangan Muhammad Kaironnisam
Shahabuddin yang berhijrah ke MPPJ musim ini menyebabkan benteng pertahanan
Perlis rapuh.
Analisis yang dibuat oleh bekas
jurulatih kebangsaan itu juga mendapati sikap sambil lewa penjaga gol, Mohd.
Amran Omar menyebabkan Perak memperoleh dua gol mudah.
``Kita menyaksikan sebanyak dua
kali Mohd. Amran hanya melihat bola menerjah gawang dalam keadaan dirinya hanya
berdiri kaku tanpa melakukan sebarang usaha untuk menangkapnya,'' katanya
ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Abdul Rahman, kesilapan
yang dilakukan oleh Azizi Mat Rose sehingga menghadiahkan penalti kepada Perak
juga dianggap tidak seharusnya berlaku.
Beliau mengakui kekentalan
barisan pertahanan lawan mengakibatkan jentera serangan Perlis tidak berfungsi
dengan baik, apatah lagi Chipeta tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada
bahagian tengah.
Ketiadaan gandingannya,
Zacharia Simukonda yang mengalami kecederaan tulang kaki, katanya, menyebabkan
Chipeta tidak mendapat umpanan bola yang mampu menghasilkan gol.
``Kita dapati Affendi Malik
masih belum serasi dengan Chipeta menyebabkan segala pergerakan mereka mudah
dipatahkan oleh lawan,'' jelasnya.
Abdul Rahman juga tidak dapat
menyembunyikan perasaannya bahawa Perak seolah-olah berada pada kelasnya yang
tersendiri ketika menentang Perlis kelmarin.
Barisan baru Perlis itu akan
sekali lagi diuji oleh Pahang yang akan berkunjung ke sini, Sabtu ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4jSDO7CXW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan