Sabtu, 15 September 2018

Perlis terus kuasai puncak liga

ARKIB : 17/05/2009
KUALA LUMPUR - Perlis masih mengungguli tangga teratas Liga Super tetapi hanya dengan kelebihan satu mata selepas membenam cabaran Kelantan 2-0 di Stadium Utama, Kangar semalam.

Skuad bimbingan Irfan Bakti memastikan tiga mata penuh, untuk 35 mata keseluruhan setakat ini menerusi jaringan Mohd. Firdaus Fauzi minit ke-12 dan sepakan penalti penyerang kebangsaan Mohd. Nizaruddin Yusof pada minit ke-38.

Kekalahan kelima Kelantan semalam menyebabkan naib juara Piala FA musim ini turun satu anak tangga di tangga keenam, dipintas Johor FC yang menang 3-0 ke atas Terengganu.

Di Stadium Shah Alam, juara Piala FA musim ini Selangor hanya menang tipis 1-0 ke atas Pulang Pinang dengan Rudie Ramli menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-58.

Kedudukan skuad K. Devan di tangga kedua liga juga masih belum tergugat dengan 34 mata.

Kedah pula meneruskan rentak kemenangan untuk kekal di tangga ketiga dengan 31 mata selepas menundukkan Perak 3-1 di Stadium Darulaman, Alor Star.

Pasukan tuan rumah selesa mendahulu tiga gol menerusi Mohd. Fauzi Shaari (m-35), Mohd. Khyril Muhymeen (m-48) dan Shahrul Nizam Mustapa (m-54) sebelum Isma Alif Mohd Salim menjaringkan gol sagu hati pasukan pelawat pada minit ke-74.

Jaringan Zaquan Adha Abd. Razak pada minit ke-27 dan minit ke-60 disusuli Idris Karim (m-71) memastikan Negeri Sembilan kekal di tangga keempat liga dengan 30 mata apabila membenam Pahang 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, ketiadaan ketua pasukan Mohd. Marzuki Yusof yang dilayangkan kad merah pada minit ke-18 menyebabkan Terengganu pincang sehingga tunduk 0-3 kepada Johor FC.

Johor FC mengambil kesempatan menguasai permainan dan menghasilkan jaringan menerusi Eddy Helmi Abdul Manan (m-60), Mohd. Nurul Azwan Roya (m-76) dan Mohd. Syaiful Sabtu (m-80).

Dalam dua lagi perlawanan, KL PLUS membenam pasukan tercorot Polis 3-1 di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur dan pasukan pelawat KM NAZA menang 4-3 ke atas UPB MyTeam di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5RDaf8C6F
© Utusan Melayu (M) Bhd