Jumaat, 7 April 2017

Perlis perkemas jentera serangan



ARKIB : 13/09/2003

PERLIS memperkemaskan jentera serangannya bagi menghadapi kemungkinan peningkatan mendadak Public Bank dalam perlawanan suku akhir kedua bola sepak Piala Malaysia di Stadium Selayang, malam ini.

Dengan mengekalkan penyerang berbisa, Philimon Chipeta dan Lamin Conteh Jr. dan dibantu oleh Rosle Md. Derus dan Tengku Hazman Raja Hassan, Perlis dijangka mampu meneruskan saingan dalam misi melangkah ke separuh akhir.

Namun begitu, Singa Utara belum mahu menarik nafas lega terutama apabila Public Bank beraksi di depan penyokong sendiri.

Public Bank mampu membuatkan Perlis berputih mata terutama ketika beraksi di hadapan penyokongnya sendiri jika Singa Utara mengambil sikap mudah dalam pertemuan hidup mati itu nanti.

Peringatan itu diberikan oleh Pengurus pasukan, Adzmi Saad kepada anak-anak buahnya supaya tidak dibuai mimpi dengan bekal 2-0 yang diperoleh dalam pertemuan pertama di Kangar, Selasa lalu.

Beliau mengingatkan bahawa Juara Perdana Satu, Perak pernah diaibkan selepas tewas 5-2 kepada Public Bank di Stadium Selayang sebelum ini.

``Para pemain tidak boleh terlalu yakin dengan bekal yang ada kerana rekod membuktikan Public Bank adalah pasukan yang perlu disegani,'' katanya kepada Sukan Utusan ketika dihubungi di Kangar, semalam.

Adzmi berkata, kekuatan Public Bank terserlah apabila Perlis terpaksa menunggu hingga minit-minit terakhir perlawanan sebelum berjaya menembusi gawang lawan pada suku akhir pertama bola sepak Piala Malaysia di Stadium Utama, Kangar, Selasa lalu.

Pada perlawanan itu, Perlis menundukkan Public Bank 2-0 menerusi Chipeta dan Conteh Jr. pada minit ke-87 dan 89.

Adzmi memuji anak-anak buahnya yang terus berusaha tanpa kenal erti penat sehingga ke saat-saat akhir pertarungan tersebut sebelum mencipta kemenangan.

``Kita mahu prestasi ini dikekalkan di Selayang kerana selagi wisel penamat belum ditiupkan, selagi itulah perjuangan belum selesai,'' tegasnya.

Menurutnya, Perlis akan menurunkan kesebelasan utamanya pada pertemuan akan datang memandangkan kesemua anak buahnya tidak menghadapi sebarang masalah kecederaan atau hukuman gantung permainan.

Beliau turut menasihatkan anak-anak buahnya bermain tanpa sebarang tekanan supaya dapat memberi tumpuan penuh kepada perlawanan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dYU2WvWB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan