ARKIB : 14/02/2004
KELEBIHAN menjadi tuan rumah
dalam perlawanan sulung Liga Super 2004 akan digunakan sepenuhnya oleh Perlis
yang tidak sabar untuk beraksi menentang Pulau Pinang di Stadium Utama Kangar,
malam ini.
Berdasarkan rekod dalam Perdana
Satu musim lalu, pasukan tuan rumah mempunyai kelebihan. Mereka menjinakkan
Pulau Pinang 1-0 di tempat lawan selain menang 2-0 di tempat sendiri.
Bagaimanapun, kisah silam itu
dianggap oleh pengurus pasukan Perlis, Adzmi Saad sebagai sejarah yang perlu
disimpan rapi kerana perlawanan sebenar Liga Super hanya ditentukan malam ini.
Beliau berkata, Perlis tidak
harus menganggap Pulau Pinang sebagai musuh yang mudah dijinakkan berdasarkan
pencapaian lalu kerana skuad Harimau Kumbang musim ini nyata berbeza di bawah
kendalian jurulatih baru dari Pahang, Yunus Alif.
"Jangan anggap kita mudah
menewaskan Pulau Pinang seperti yang dilakukan musim lalu, sebaliknya gunakan
kelebihan bermain di tempat sendiri untuk mencatat keputusan membanggakan dalam
perlawanan sulung malam ini,'' katanya di Kangar, semalam.
Kemampuan dua pemain import Pulau
Pinang - Boris Ovcin dan Viatcheslav Melnikov tentu sukar diramal dan pada masa
yang sama, Pulau Pinang masih belum menguji sejauh mana kehebatan dua bintang
import terbaru Singa Utara, Joao Bandoch dan Essa Mvondo Basile.
Selain memiliki penjaring
terbanyak Perdana Satu, Phillemon Chipeta, kehadiran muka-muka baru dalam skuad
itu seperti Yusri Che Lah, Manzoor Azwira, Zainuddin Ariffin, Faisal Esahar dan
Mohd. Khairi Zainuddin tentu mengubah rentak aksi Singa Utara musim ini.
Menurut Azmi, Perlis akan
menurunkan ketiga-tiga pemain importnya - Chipeta, Bandoch dan Lamin Conteh
Jr., pemain yang pernah disingkirkan skuad itu tetapi diambil semula untuk
menguatkan bahagian tengah.
Begitu juga Pulau Pinang,
walaupun kehilangan beberapa pemain utama seperti Kamarulzaman Hassan
(Sarawak), Megat Amir Faisal, Hasmawi Hassan (Kedah) dan Wan Rohaimi Ismail
(Public Bank), mereka diperkuatkan dengan pemain-pemain baru seperti Zuraimi
Hassan, Hairulnizam Man, Azli Ahmad, Mohd. Ramzi Razuwan dan M. Nagaraja.
Dalam perlawanan Liga Perdana
Satu musim lalu, Perlis menewaskan Pulau Pinang 1-0 hasil jaringan bekas pemain
import mereka, Kelvin Musungu, manakala dalam perlawanan di tempat sendiri, dua
gol kemenangan Perlis dijaringkan oleh Chipeta dan Che Zambil Ahmad
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4dw8KhNRZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan