ARKIB : 06/07/2003
LAMIN CONTEH JR. menjaringkan dua
gol untuk membantu Perlis menumpaskan Melaka 4-1 di Stadium Utama, Kangar
semalam sekali gus menghampiri pendahulu bola sepak Liga Perdana Satu, Perak.
Penyerang dari Liberia itu
membalas harapan penyokong tuan rumah dengan mencipta jaringan pada minit
ketiga dan 75. Dua lagi gol disumbangkan masing-masing oleh bekas pemain
kebangsaan, Che Zambil Ahmad pada minit ke-41 dan Phillimon Chiepeta minit 61.
Melaka hanya mampu membalas
seminit sebelum permainan tamat menerusi Mohamad Sufian Shamsubari.
Kemenangan itu membolehkan Perlis
merampas tangga kedua yang sebelumnya diduduki oleh Kedah. Mereka kini
mengumpul 38 mata, hanya tiga mata di belakang Perak yang tidak bermain
semalam, dan tiga mata di depan Kedah yang tumpas 2-1 kepada Kelantan di
Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.
Fatrurazi Rozi muncul hero
Kelantan apabila menjaringkan kedua-dua gol pasukannya, minit ke-15 dan 54
manakala Amirul Nizam Mahadzir membalas buat Kedah pada minit ke-43.
Sementara itu, maruah juara
terbanyak Piala Malaysia, Selangor semakin tercalar apabila tumpas 3-1 kepada
penghuni tangga terbawah liga, Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin
Shah, Kuala Terengganu.
Mohd. Norisham Ali Hassan muncul
wira skuad Penyu apabila menjaringkan gol pada minit ke-19 dan 69 manakala
Tengku Mohd. Adam Tengku Rosli mengukuh kedudukan tuan rumah menerusi jaringan
pada minit ke-28 sebelum Rudie Ramli menjaringkan gol sagu hati pasukan
pelawat, minit 87.
Stadium Likas, Kota Kinabalu pula
menyaksikan tuan rumah, Sabah terus ampuh apabila menundukkan Johor FC 3-1 pada
perlawanan yang berlangsung dalam hujan lebat.
Malah, skuad Badak hanya
memerlukan dua minit usia perlawanan untuk menjaringkan gol pertama menerusi
percubaan Robert Gasper sebelum kedudukan mereka tambah selesa pada minit ke-69
apabila sentuhan Rezuan Khan Aman pula menepati sasaran.
Johor FC cuba memberikan saingan
setelah Azmi Mohamad merapatkan jurang 2-1 pada minit ke-71 tetapi kebangkitan
pasukan pelawat ditamatkan oleh percubaan Josiah Seton 10 minit sebelum tamat
permainan.
Pahang turut gagah di gelanggang
sendiri apabila menundukkan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Darulmakmur, Kuantan.
Skuad Tok Gajah hanya memerlukan
tempoh kurang 10 minit untuk mencipta gol kemenangan apabila Cristiano Pinheiro
da Silva meletakkan skuad Tok Gajah di depan pada minit ketiga sebelum Azizul
Kamaluddin menambah gol kedua lima minit kemudian. Pulau Pinang membalas
menerusi Chow Chee Weng pada minit ke-18.
Telekom Melaka pula memperoleh
jaringan penyamaan pada minit ke-90 untuk mengikat Sarawak dengan keputusan 2-2
di Stadium Hang Tuah, Melaka - terima kasih kepada Nazzab Hidzan.
Skuad tuan rumah dua kali
ketinggalan apabila Wong Sai Kong menjaringkan gol seawal minit kedua manakala
Gilbert Cassidy Gawing meletakkan mereka mendahului sekali lagi pada minit
ke-69.
Jaringan pertama Sarawak
diimbangi oleh percubaan tepat Isaac Kuffour pada minit ketujuh sebelum Nazzab
melegakan Telekom dengan jaringan penyamaan kali kedua pada minit terakhir.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4d58kPMsH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan