ARKIB : 07/07/2003
PERLIS tidak bersikap mendabik
dada biarpun kini menghuni tangga kedua Liga bola sepak Perdana Satu di
belakang Perak, selepas kejayaan menundukkan Melaka 4-1 di Stadium Utama
Kangar, kelmarin, lapor SUFFIAN ABU BAKAR.
Sebaliknya, Singa Utara yang
semakin serasi dengan dua tonggak berbisa dari Afrika, Phillemon Chipieta dan
Lamin Conteh Jr. berwaspada untuk menghadapi negeri jiran, Kedah dalam
pertemuan di Stadium Darulaman, Selasa ini.
Kekalahan Kedah kepada Kelantan
2-1 kelmarin membolehkan skuad bimbingan Norizan Bakar itu memintas tangga
kedua liga yang sebelum ini dihuni oleh Kedah, seterusnya mengejar Perak yang
kini berada di depan dengan kelebihan tiga mata.
Jika menang ke atas Kedah,
diikuti Perak kalah kepada Johor FC Selasa ini akan mencerahkan peluang Singa
Utara untuk mencabar kedudukan pendahulu liga, dengan baki perlawanan yang
hanya tinggal empat permainan bagi Perlis.
Pengurus pasukan Perlis, Adzmi
Saad berkata, beliau berpuas hati dengan mutu persembahan yang ditunjukkan oleh
anak-anak buahnya dalam perlawanan menentang Melaka kelmarin.
``Cuma pemain Perlis banyak
terpedaya dengan perangkap off-side yang dilakukan oleh pertahanan Melaka
menyebabkan kita terlepas peluang menjaringkan lebih banyak gol,'' katanya
ketika dihubungi di Kangar, semalam.
Apa pun, katanya, beliau telah
mengarahkan para pemain melupakan kejayaan kelmarin sebaliknya memberi tumpuan
kepada perlawanan menentang Kedah.
Dalam perlawanan kelmarin, Perlis
yang mula mengasak seawal perlawanan mendapat jaringan pada minit ke-3 hasil
rembatan cantik Conteh Jr. yang melencong untuk menewaskan penjaga gol Melaka,
Zainal Rabin.
Gol itu berpunca daripada
hantaran Chipieta dari sebelah kiri pintu gol sebelum ditanduk oleh pemain
pertahanan Melaka dan tiba tepat ke kaki Conteh Jr.
Perlis turun tanpa penjaga gol
utamanya, Amran Omar yang menghidap demam terus mengasak dan memperoleh
beberapa peluang untuk menambah jaringan gol tetapi berjaya diselamatkan oleh
Zainal.
Melaka pula yang turun tanpa
penyerang harapan mereka, Halim Jantan kerap menguji kecekapan penjaga gol
Perlis, Mohd. Anis Faron melalui gandingan tiga penyerang, Mohd. Sufian
Shamsubari, Tuan Rosli Tuan Shaari dan Emir Dzafic namun buntu untuk mencari
gol penyamaan.
Pada minit ke-41, Che Zambil
Ahmad menanduk bola hasil hantaran Rosle Md. Derus untuk menjadikan kedudukan
berubah kepada 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan Chipieta
merembat kencang dengan kaki kiri pada minit ke-61 hasil hantaran Che Zambil
untuk menjaringkan gol ketiga Perlis.
Derita Melaka ditambah oleh
jaringan cantik Conteh Jr. pada minit ke-75 hasil gerakan satu-dua antara Conteh
Jr. dengan pemain gantian, Rafiz Abu Bakar bagi melengkapkan jaringan ketiga
peribadi baginya.
Bagaimanapun, kealpaan barisan
pertahanan Perlis pada minit-minit terakhir dihukum oleh Mohd. Sufian yang
menjaringkan gol tunggal bagi Melaka pada minit ke-89.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4d5EdQJTd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan