Jumaat, 7 April 2017

Chipita, Conteh sedia gempur MPPJ



ARKIB : 19/09/2003
Oleh SUFFIAN ABU BAKA
 BAGI dua `awang' import Perlis, Phillimon Chipita dan Limin Conteh Jr. mereka lebih senang menganggap kejayaan pasukan Singa Utara sehingga mara ke separuh akhir Piala Malaysia sebagai satu kejayaan bersama dan bukannya individu.

Chipeta bukan nama asing di Perlis berikutan kejayaannya menggondol anugerah Kasut Emas 2003 selepas dia menjaringkan 23 gol dalam saingan Liga Perdana Satu musim ini.

Conteh Jr. pula semakin berbisa dengan sembilan jaringan dalam kempen Piala Malaysia, serta enam jaringan dalam saingan liga.

Kedua-dua pemain ini mempunyai keistimewaan tersendiri untuk membantu Perlis memenuhi impian mereka menjulang Piala Malaysia.

Dua pemain dari benua Afrika itu menyifatkan kehadiran mereka dalam skuad Perlis hanyalah sebagai inspirasi kejayaan pasukan itu dan belum layak bergelar `wira'.

``Saya dan Chipeta sudah bersedia untuk menghadpi cabaran berikutnya,'' kata Conteh menjelang perlawanan separuh akhir pertama Perlis menentang MPPJ di Stadium MPPJ esok.

Kedua-duanya tidak gentar dengan kehebatan dua pemain import MPPJ, Juan Manuel Arostegui dan Bruno Martelotto dari Argentina.

Seperti Chipeta dan Conteh, kedua-dua pemain Argentina itu juga menjadi tunjang kejayaan MPPJ, yang melakar sejarah menjadi pasukan kelab pertama layak ke separuh akhir Piala Malaysia.

Conteh Jr. merupakan bekas ketua pasukan kebangsaan Sierra Leone. Dia dilahirkan pada 17 Januari 1976 dan pernah mewakili kelab Al-Wahda di Amiriah Arab Bersatu (UAE) selama empat tahun.

Pemain tengah Perlis itu yang mesra dengan panggilan `Junior' percaya bahawa semangat berpasukan menjadi petua yang perlu diamalkan untuk memperoleh keputusan terbaik.

``Kejayaan Perlis mencipta kejayaan bukannya datang daripada saya dan Chipeta sahaja. Sembilan lagi pemain lain turut menyumbang kejayaan Perlis.

``Tidak ada gunanya sesebuah pasukan memiliki dua atau lebih pemain yang hebat tetapi gagal me-nunjukkan aksi yang baik.

``Saya tidak menganggap bahawa hanya kami yang menjadi faktor kejayaan Perlis,'' kata Conteh.

Selepas pertemuan pertama di Petaling Jaya, esok kedua-dua pasukan akan kembali beraksi untuk separuh akhir kedua di Kangar pada 27 September depan.

Sementara itu, Chipeta berkata, sungguhpun tidak gentar untuk bertemu dengan MPPJ, dia dan Junior tetap menghormati pasukan itu yang pernah mengecewakan dua pasukan negeri - Pahang dan Pulau Pinang pada saingan peringkat kumpulan suku akhir.

``Saya dan Junior mahu para pemain menganggap kejayaan ini adalah kejayaan bersama. Kami mahu bersama-sama membuktikan bahawa Perlis mampu pergi lebih jauh sehingga ke babak akhir,'' katanya lagi.

Sungguhpun MPPJ Selangor berbangga dengan dua bintang import berbisa dari Argentina, lawan mereka Perlis lebih selesa mengambil sikap merendah diri biarpun memiliki Phillimon Chipeta dan Lamin Conteh Jr. untuk menggempur kubu MPPJ menjelang pertemuan separuh akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.

Juan Manuel Arostegui dan Bruno Martelotto kini diberi publisiti meluas sejak membantu MPPJ layak ke separuh akhir, sekaligus menenggelamkan nama Chipeta dan Conteh Jr. yang sebelum ini sering mengganas di persada bola sepak tempatan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4dZNOD8Jk
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan