ARKIB : 18/09/2003
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
PERLIS tidak memandang rendah
keupayaan pasukan kelab, MPPJ Selangor yang dianggap setaraf dengan keupayaan
pasukan negeri menjelang pertemuan separuh akhir pertama bola sepak Piala
Malaysia di Stadium MPPJ Petaling Jaya, Sabtu ini.
Malah jurulatih skuad Singa
Utara, Norizan Bakar menyifatkan pasukan bimbingan Dollah Salleh itu perlu
dihormati kerana kemampuan meranapkan impian Pahang pada suku akhir sebelum
ini.
Tegasnya, kejayaan menundukkan
skuad Tok Gajah dengan agregat 3-2 baru-baru ini membuktikan MPPJ mampu membuat
sesuatu kejutan apatah lagi menjadikan mereka pasukan kelab pertama yang layak
ke perlawanan akhir seandainya Perlis silap percaturan.
``Layak ke separuh akhir
membuktikan MPPJ bukan pasukan yang mudah untuk dijinakkan sebaliknya para pemain
Perlis perlu berwaspada dengan pasukan itu menjelang pertemuan Sabtu ini,''
katanya ketika ditemui pada sesi latihan pemain di Stadium Utama, Kangar
semalam.
Perlis dan MPPJ pernah bertemu
dalam perlawanan persahabatan di Petaling Jaya awal tahun ini yang berkesudahan
seri 1-1.
Ketika itu MPPJ belum dilatih
oleh Dollah Salleh serta tidak menggunakan khidmat dua `awang' import dari
Argentina, Juan Manuel Arostegui dan Bruno Martelotto.
Norizan berkata, Singa Utara
lebih gemar mengambil sikap merendah diri dan berpegang kepada prinsip semangat
berpasukan adalah punca kepada kejayaan sesebuah pasukan.
``Tiada pemain tertentu yang
bakal menjadi `hero' untuk Perlis kerana persefahaman dalam sebuah pasukan
adalah kunci sebenar pasukan itu mara lebih jauh,'' tegasnya.
Kata-kata itu membuktikan Perlis
tidak sekadar menaruh harapan kepada dua pemain import mereka, Phillimon
Chipeta dan Lamin Conteh Jr. sebaliknya semua pemain bergerak sebagai satu
pasukan.
Kedua-dua tonggak import Singa
Utara itu semakin menonjol dengan Chipeta muncul sebagai penjaring terbanyak
Liga Perdana Satu manakala Conteh Jr. telah menyumbat sembilan gol sepanjang
kempen Piala Malaysia musim ini.
Namun Norizan yang lebih mesra
dipanggil Cikgu Jan memberitahu, harapan naib juara Piala FA 2003 itu ialah
tidak mahu mensia-siakan peluang mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia
dan meneruskan persembahan ke tahap yang terbaik.
``Walaupun kami pernah tewas
kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan akhir Piala FA, ia tidak boleh disamakan
dengan pertemuan Sabtu ini. Matlamat kami ialah berdepan dengan MPPJ seperti
bertemu pasukan-pasukan lain sebelum ini,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dZEYhvbY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan