ARKIB : 18/03/1999
JURULATIH Perlis, Tajudin Nor
berkata, biarpun kurang pengalaman, barisan muda skuad bimbingannya sudah
bersedia untuk mengembalikan keyakinan penyokong Singa Utara pada bola sepak
Liga Perdana Dua, musim ini, lapor JOHARI SHAWAL.
Katanya, berdasarkan dua aksi
dalam kempen Piala FA, jurulatih itu percaya Perlis mampu kembali ke Perdana
Satu jika semua pemain terus memberikan komitmen serupa terhadap pasukan.
''Biarpun pasukan kita dibarisi
sebahagian besar pemain muda musim ini, kesungguhan untuk mengembalikan
kepercayaan peminat begitu tinggi.
''Saya percaya dengan semangat
seperti itu, Perlis musim ini mampu kembali ke landasan asalnya,'' katanya
selepas perlawanan kedua pusingan pertama Piala FA menentang Tentera di Stadium
KLFA, Cheras, kelmarin.
Perlis layak ke pusingan kedua
selepas menang agregat 3-1 apabila perlawanan di Cheras berkesudahan seri tanpa
jaringan.
Mengenai perlawanan Piala FA
seterusnya, Tajudin mengakui pertemuan dengan naib juara musim lalu, Sabah pada
perlawanan pertama pusingan kedua di Stadium Likas, 20 April depan amat perit.
''Kita terpaksa bersandarkan
harapan kepada barisan muda kita yang kurang pengalaman selain bantuan tiga
pemain lama... dan saya percaya semangat pemain mampu mengatasi
segala-galanya,'' ujarnya.
Tajudin turut melahirkan puas
hati terhadap persembahan anak-anak buahnya ketika mengekang Tentera, kelmarin
dan menyifatkan Perlis mampu pergi jauh pada kempen musim ini.
Singa Utara membuat kejutan
pada musim 1997 di bawah bimbingan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim apabila mara
ke separuh akhir Piala Malaysia dan berada antara lima pasukan terbaik dalam
Perdana Satu.
Begitu pun, penghijrahan Abdul
Rahman ke Terengganu musim lalu menyaksikan Perlis yang dibimbing pula
jurulatih Bakri Ibni gagal mengulangi kecemerlangan sehingga terjerumus ke
Perdana Dua, musim ini.
Tajudin, bekas jurulatih Melaka
musim lalu, kini memikul tugas berat untuk membawa semula Singa Utara ke
Perdana Satu, tetapi terpaksa menghadapi barisan pemain yang serba baru.
''Perlis kini hanya
diperkuatkan dengan empat pemain lama, manakala sebahagian lagi pemain muda.
Tentunya saya menemui sedikit kesukaran untuk membentuk pasukan ini,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4QAfVwnwc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan