ARKIB : 17/07/2005
KANGAR - Penyandang juara,
Perlis masih belum mahu tersenyum walaupun berada dalam kelompok pasukan
`kerdil' selepas diundi dalam Kumpulan A kempen Piala Malaysia musim ini,
kelmarin.
Sebaliknya, Perlis yang juga
juara Liga Super musim ini tetap memandang tinggi keupayaan PKNS, Terengganu
dan Sabah yang mampu melakukan kejutan kali ini.
Justeru, pengurus pasukan,
Adzmi Saad mengingatkan para pemain supaya tidak memandang rendah kemampuan
lawan kerana pasukan lain pasti memasang azam untuk menafikan peluang Singa
Utara.
Katanya, kekalahan kepada
Kelantan dalam saingan Piala FA harus dijadikan pengajaran agar tidak memandang
rendah pasukan lawan yang sentiasa mencari peluang mencantas pasukan di tangga
teratas.
``Segala impian hanya tinggal
impian jika Perlis tersilap langkah. Oleh itu, setiap pemain jangan terlalu
yakin dan leka kerana setiap pasukan mahukan kemenangan serta memusnahkan
Perlis dalam saingan kali ini,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia,
semalam.
Perlis memulakan kempen pertama
Piala Malaysia bertemu Sabah di Stadium Likas pada 6 Ogos ini.
Jika mara ke suku akhir, Perlis
bakal menerima ujian paling getir untuk mengekalkan gelaran dan dijadualkan
bertemu pemenang antara Pahang atau Kedah dalam Kumpulan C, dua pasukan yang
disifatkan turut berpeluang mara ke suku akhir.
Mengulas lanjut, Adzmi berkata,
bagi memantapkan lagi barisan pemain untuk berhadapan dengan Piala Malaysia
musim ini, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) mengintai peluang untuk
mendapatkan pemain berkaliber daripada pasukan lain untuk diserap ke dalam
skuad Singa Utara.
Antara pemain yang dalam
perhatian adalah dari Johor dan Public Bank.
``Kita sedang berusaha untuk
mendapatkan dua pemain luar iaitu pemain pertahanan Public Bank dan pemain
tengah Johor yang tidak disenaraikan dalam menghadapi Piala Malaysia,''
jelasnya.
Ditanya kemungkinan pemain
sayap kanan, Mohd. Ivan Yusoff yang cedera digugurkan, Adzmi berkata, ia
bergantung kepada tahap kecergasan pemain itu.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ijobSmAD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan