ARKIB : 01/04/1998
BEKAS penyerang import Perlis,
Henry Acquah dari Ghana akhirnya menandatangani kontrak selama setahun dengan
Singa Utara sekali gus melengkapkan kuota tiga pemain importnya bagi
mengharungi cabaran Liga Perdana musim ini, lapor AZIZAN HASHIM.
Presiden Persatuan Bola Sepak
Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan perkara itu di Kangar
semalam.
Menteri Besar Perlis itu
bagaimanapun enggan memberi butir-butir lanjut.
Upacara menandatangi kontrak
berlangsung secara tergesa-gesa di kediaman rasmi Menteri Besar di Kangar malam
kelmarin.
Acquah dilaporkan mengugut
untuk pulang selepas PFA dikatakan melengah-lengahkan pengambilannya atas sebab
yang tidak diketahui.
Acquah bakal beraksi dengan
Perlis bagi musim ini, pemain itu tidak dapat membantu Perlis apabila skuad
Singa Utara itu bertandang ke Ipoh untuk menentang Perak pada perlawanan
pertama liga Sabtu ini.
Peraturan menetapkan setiap
pemain import perlu didaftar seminggu sebelum perlawanan.
Dua lagi pemain import Perlis
ialah Mohamad Akrane dari Maghribi dan Carlos Cardoso de Souza dari Brazil.
Setakat ini kekuatan
ketiga-tiga pemain import terbabit masih belum teruji sepenuhnya.
Malah masih terlalu awal untuk
mengukur kemampuan pemain tempatan Perlis yang rata-rata dibarisi pemain muda.
Anehnya Presiden PFA nampaknya
sudah mula menggembar-gemburkan kekuatan anak buahnya.
Beliau mungkin mempunyai sebab
kukuh berbuat demikian jika mengambil kira kemenangan besar Perlis pada
perlawanan persahabatan dengan pilihan Thailand baru-baru ini.
Pada perlawanan di Stadium
Utama Kangar minggu lepas, Perlis yang dibantu dua pemain importnya, Mohamad
Akrane dan Carlos membelasah pasukan Pilihan Thailand 9-3.
Acquah bagaimanapun tidak
diturunkan kerana masih dibelenggu kecederaan pada jari kakinya.
Menurut Shahidan lagi, Perlis
sudah menunjukkan taringnya untuk memasuki separuh akhir Liga Perdana musim
lalu.
Apapun kata Shahidan, saya akan
pastikan Perlis akan memeranjatkan semua pihak dengan memasuki perlawanan akhir
musim ini.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FqXHsOLG
© Utusan Melayu (M) Bhd