Jumaat, 29 Julai 2016

Singa Utara ikat Acquah selama setahun

ARKIB : 01/04/1998
BEKAS penyerang import Perlis, Henry Acquah dari Ghana akhirnya menandatangani kontrak selama setahun dengan Singa Utara sekali gus melengkapkan kuota tiga pemain importnya bagi mengharungi cabaran Liga Perdana musim ini, lapor AZIZAN HASHIM.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan perkara itu di Kangar semalam.

Menteri Besar Perlis itu bagaimanapun enggan memberi butir-butir lanjut.

Upacara menandatangi kontrak berlangsung secara tergesa-gesa di kediaman rasmi Menteri Besar di Kangar malam kelmarin.

Acquah dilaporkan mengugut untuk pulang selepas PFA dikatakan melengah-lengahkan pengambilannya atas sebab yang tidak diketahui.

Acquah bakal beraksi dengan Perlis bagi musim ini, pemain itu tidak dapat membantu Perlis apabila skuad Singa Utara itu bertandang ke Ipoh untuk menentang Perak pada perlawanan pertama liga Sabtu ini.

Peraturan menetapkan setiap pemain import perlu didaftar seminggu sebelum perlawanan.

Dua lagi pemain import Perlis ialah Mohamad Akrane dari Maghribi dan Carlos Cardoso de Souza dari Brazil.

Setakat ini kekuatan ketiga-tiga pemain import terbabit masih belum teruji sepenuhnya.

Malah masih terlalu awal untuk mengukur kemampuan pemain tempatan Perlis yang rata-rata dibarisi pemain muda.

Anehnya Presiden PFA nampaknya sudah mula menggembar-gemburkan kekuatan anak buahnya.

Beliau mungkin mempunyai sebab kukuh berbuat demikian jika mengambil kira kemenangan besar Perlis pada perlawanan persahabatan dengan pilihan Thailand baru-baru ini.

Pada perlawanan di Stadium Utama Kangar minggu lepas, Perlis yang dibantu dua pemain importnya, Mohamad Akrane dan Carlos membelasah pasukan Pilihan Thailand 9-3.

Acquah bagaimanapun tidak diturunkan kerana masih dibelenggu kecederaan pada jari kakinya.

Menurut Shahidan lagi, Perlis sudah menunjukkan taringnya untuk memasuki separuh akhir Liga Perdana musim lalu.

Apapun kata Shahidan, saya akan pastikan Perlis akan memeranjatkan semua pihak dengan memasuki perlawanan akhir musim ini.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FqXHsOLG © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan