ARKIB : 13/03/1998
WALAUPUN masih terlalu awal
untuk melabelkan sebagai pasukan belasahan, namun kekalahan Perlis 0-3 kepada
tetangganya, Kedah dalam perlawanan Piala Dunhill di Stadium Darul Aman, Alur
Setar malam kelmarin, tidak dapat diterima oleh ramai peminat Perlis, lapor
AZIZAN HASHIM.
Kekalahan itu juga tentu
mengejutkan pengurusan baru Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang diterajui
Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Selepas beraksi cemerlang pada
perlawanan pertama di gelanggang sendiri dengan kemenangan 4-3 ke atas jirannya
itu, tentulah kekalahan dengan agregat 6-4 merupakan sesuatu yang memalukan
kepada Singa Utara.
Sebelum inipun acara tahunan
itu tidak pernah dimenangi Perlis.
Apakah kemampuan skuad Singa
Utara hanya hangat-hangat tahi ayam atau Perlis hanya mahu menjadi jagoan di
gelanggang sendiri ?
Anehnya Shahidan sebelum ini terlalu
optimis bahawa Perlis akan membawa pulang Piala Dunhill setelah begitu yakin
dengan kemampuan anak buahnya pada perlawanan pertama.
Ternyata mimpi Menteri Besar
Perlis itu bukan selalunya indah belaka sebaliknya tiga jaringan oleh Kedah
mungkin menutup mulut beliau buat seketika.
Perlis mungkin silap strategi
untuk menyaingi Kedah dengan menguji beberapa pemain baru yang tidak
berpengalaman berbanding dengan pemain Kedah.
Tiga pemain import Perlis juga
tidak mampu mengekang gawangnya dibolosi lawan. Malah, pemain dari Brazil Louis
Carlos Cardoso de Souza yang diharap menyuntik semangat rakan-rakan lain juga
mengecewakan.
Demikian juga persembahan
Christopher Sia Sia dari Ghana tidak dapat memberi kepuasan yang diharapkan.
Yang nyatanya, persembahan Sia
Sia gagal memikat hati pihak pengurusan PFA malam kelmarin .
Ricky Greenwood dari Amerika
yang menyumbat dua daripada empat gol dalam perlawanan pertama ketika Perlis
menundukkan Kedah 4-3 juga tidak lagi diminati PFA.
Kedua-dua pemain import itu
sudahpun diberi ucapan Sayonara oleh PFA semalam.
Buat masa ini Perlis hanya
mengikat kontrak bermain setahun dengan Mohamed Akrane, 30, dan masih mencari
dua lagi pemain import untuk mencukup kuota tiga pemain import.
Tidak dapat dinafikan Perlis
masih mengharapkan bekas pemain dan penjaring terbanyaknya musim lalu, Henry
Acquah yang dijangka tiba di Perlis bila-bila masa.
Shahidan mengesahkan di Kangar
semalam, PFA masih mencari dua lagi pemain import.
Beliau juga amat mengharapkan
Acquah dapat beraksi semula dengan Perlis tetapi beliau tetap mahukan Acquah
menjalani ujian kecergasan jika mahu diserapkan ke dalam kesebelasan utama
skuad Perlis.
Perlis akan menghadapi ujian
sebenar apabila bertemu Perak pada perlawanan pertama Liga Perdana di tempat
sendiri 4 April depan.
Para peminat pasti tidak mahu
melihat skuad kesayangan mereka tumpas lebih-lebih Shahidan yang tidak sanggup
menelan kekalahan berturut-turut.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Fhpehr3n
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan