ARKIB : 12/09/1999
PERLIS dan Brunei menempah
tempat ke Piala Malaysia apabila masing-masing mengutip kemenangan yang
dinanti-nantikan pada perlawanan bola sepak play-off kumpulan A, semalam.
Perlis mengaibkan tuan rumah,
Kedah 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar manakala Brunei tetap mara
sekalipun kalah dengan sepakan penalti 4-5 kepada Kelantan di Stadium Sultan
Mohamed Ke-IV, Kota Bharu. Tempoh permainan sebenar 90 minit di Kota Bharu menyaksikan
Kelantan dan Brunei terikat tanpa jaringan.
Kedah yang juga bekas juara,
cuma mampu mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Malaysia akibat kekalahan
yang menghampakan penyokong mereka.
Jaringan pendahuluan tuan rumah
oleh bekas pemain Olimpik 2000, Akmal Rizal Rakhli, musnah dengan gol lawan,
masing-masing menerusi V. Yogeswaran pada minit ke-57 dan Rushamazi Hamid (71).
Namun begitu, Perlis lebih dulu
tersentak dengan tandukan Akmal itu yang berpunca daripada umpanan tinggi
Farouk Ismail.
Sayangnya Kedah lalai apabila
Yogeswaran mencuri bola hasil kesilapan penjaga gol Amran Omar yang gagal
menangkap kemas sepakan sudut Rozmin Musa. Rushamazi pula terus merobek luka
Kedah hasil sepakan tinggi yang gagal dicapai Amran.
Di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, tuan rumah memberikan petanda cerah untuk
layak ke Piala Malaysia apabila membelasah Melaka 5-1 dalam perlawanan kumpulan
B.
Sapian Wahid berjaya
memanfaatkan bola muntah hasil hantaran Zulfakri Ashaari untuk gol pendahuluan
Terengganu pada minit ke-32. Lima minit kemudian, Zulfakri sekali lagi mencipta
hantaran silangnya membolehkan Sapian menanduk masuk.
Melaka yang ketinggalan 0-2
mengasak tuan rumah dan menepati sasaran menerusi Omar Hadi dengan sepakan
volley ekoran sepakan percuma oleh V. Sivam.
Namun Anuar Jusoh dengan
sepakan percuma menyumbat gol ketiga skuad Penyu walaupun tendangannya terkena
badan seorang pemain Melaka pada minit 59.
Pada minit ke 60 pula, gol
keempat Terengganu dijaringkan oleh Hairuddin Omar sebelum menambah gol
keduanya hasil hantaran Sapian.
Di Stadium Perak, Ipoh, tuan
rumah mencerahkan peluangnya ke Piala Malaysia dengan menundukkan Johor FC 3-1
dalam satu lagi perlawanan kumpulan B.
Perak yang memerlukan tiga mata
untuk mencerahkan peluangnya berusaha untuk mendapatkan gol tetapi tiada
sebarang peluang baik tercipta kecuali percubaan tepat Azrul Amri Borhan pada
minit ke-20.
Percubaan pertama hadir pada
minit ke-46 melalui Lim Seng Kong melepasi palang gol dan serangan susulan Saravanan
berjaya membawa gol Perak.
Khalid Jamlus turut mencatat
nama sebagai penjaring pada minit ke-58 apabila hantaran Indra Putra
Mahayuddin, dari sebelah kanan gawang lawan disudahkannya dengan tandukan gol.
Johor FC tetap meneruskan usaha
menyekat Perak dan akhirnya, beroleh gol sagu hati pada minit ke-77 menerusi
sepakan percuma oleh Md. Shahrul Ismail.
Pada minit ke-89, Saravanan
memastikan kemenangan milik Perak apabila tandukannya tepat ke dalam gol selepas
bola dari percubaan Khalid Jamlus ditampan oleh penjaga gol Johor FC.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SFsrOJ87
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan