ARKIB : 09/11/1999
TANGGA teratas belum tentu
selamat, malah terdapat pasukan masih mengintai peluang untuk mencerahkan
laluan ke separuh akhir Piala Malaysia berdasarkan perlawanan peringkat
kumpulan yang berlangsung malam ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.
Perlis yang menduduki tangga
teratas kumpulan A selepas kiraan jaringan menyebelahinya setelah berkongsi 15
mata dengan penghuni tangga kedua Terengganu.
Bagaimanapun, malam ini
mempertemukan kedua-dua pasukan itu yang pasti menyajikan aksi terbaik untuk
mencipta kemenangan di Stadium Utama Kangar untuk mengelak kemungkinan dipintas
penghuni tangga ketiga, Perak (13 mata).
Ini menjadi penyebab kenapa
Perlis dan Terengganu terpaksa bersungguh-sungguh mengelakkan kekalahan
khususnya dalam tempoh 90 minit permainan kerana kedudukan pasukan yang tewas
menjadi bertambah ''parah'' sekiranya Perak berjaya mengutip mata penuh ke atas
Negeri Sembilan.
Bagi Perlis, kemenangan 1-0 ke
atas Pulau Pinang menerusi jaringan pemain berpengalaman Shamsurin Abdul Rahman
bakal menjadi pendorong ''Singa Utara'' untuk terus mengaum di gelanggang
sendiri.
Perlis sudah membuktikan, tanpa
tonggak Suhairi Abdul Karim kerana dibelenggu kecederaan barisan pemainnya
masih berupaya membenamkan ''Harimau Kumbang'' yang dibarisi tonggak seperti
Azman Adnan di tempat lawan, apatah lagi apabila menghadapi Terengganu di
gelanggang sendiri.
Namun, hajat tersebut bukannya
mudah, ''Penyu'' pasti tidak mahu menangis lagi selepas kekalahan 1-2 kepada
Perak, kerana tewas kali ini bagaikan ''bernafas di dalam lumpur'' - sesak atau
mungkin berkubur segala impian.
Di sebalik masalah yang harus
diselesaikan oleh kedua-dua pasukan, Perak tetap ghairah memburu kemenangan
tetapi hajat tersebut turut dikongsi Negeri Sembilan, penghuni tangga keempat
(11 mata) bagi membuka laluan.
Sementara, aksi Selangor
menentang Pulau Pinang di Stadium Shah Alam kurang menarik tumpuan sebagaimana
pertemuan dua pasukan tangga terbawah kumpulan B, Sabah (9 mata) dengan Kuala
Lumpur (8 mata) di Stadium Likas.
Sebaliknya, tumpuan kumpulan B
beralih kepada pertarungan merebut tempat ke separuh akhir Piala Malaysia di
antara Brunei, Sarawak dan Pahang.
Pendahulu tangga kumpulan
tersebut, Brunei (17 mata) yang dikatakan menjejak ''sebelah kaki'' ke separuh
akhir Piala Malaysia, inginkan kemenangan buat mengesahkan laluannya sekalipun
berdepan Johor di Stadium Larkin.
Sekiranya Brunei mencipta
kemenangan, sudah pasti skuad negara minyak itu menjadi pasukan pertama layak
ke separuh akhir tanpa perlu menunggu sehingga berakhir keseluruhan perlawanan
Sabtu ini.
Berbanding jiran tetangganya
itu, Sarawak di tempat kedua berdasarkan kelebihan jaringan dijangka bersaing
sengit dengan ''Tok Gajah'' yang mengekori rapat di tangga ketiga selepas
mempunyai persamaan 14 mata.
Seperti dua pasukan tangga
teratas kumpulan B, saingan di antara skuad ''Bumi Kenyalang'' dengan Pahang di
Stadium Sarawak turut menjadi tarikan ramai peminat bola sepak tanah air.
Pahang dengan reputasi juara
Perdana Satu 1999 menyandarkan harapan kepada barisan pemain handalannya
seperti Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi Ismail.
Begitu juga Sarawak, cukup
mantap dengan barisan pemain lincah Ramles atau Ramos Sari dan tonggak
berpengalaman seperti Mohd. Ali Shapiee dan Ibrahim Mantali masih mampu mencuri
peluang.
Keghairahan pasukan yang kian
terdesak memburu hajat dalam dua baki saingan Piala Malaysia ternyata menjadi
alasan bagi peminat bola sepak tanah air menyaksikan perlawanan menarik malam
ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SahXAEFD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan