Jumaat, 29 September 2017

Jaringan Chepita selamatkan Perlis



ARKIB : 16/05/2007

KOTA KINABALU – Phillemon Chepita menyelamatkan naib juara tahun lalu, Perlis daripada diaibkan Sabah apabila menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat lawan 2-2 pada perlawanan pertama suku akhir Piala FA, semalam.

Penyerang import dari Zambia itu menanduk masuk daripada sepakan sudut pada masa kecederaan perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu untuk mengembalikan peluang Singa Utara menjelang perlawanan ulangan di Kangar, 29 Mei ini.

Sebaliknya, Sabah mensia-siakan kelebihan dua gol pada minit ke-20 dan 43 masing-masing menerusi Prince Guy Atire dan Azrul Ejati Damsah sebelum dirapatkan oleh pemain Perlis, Nazaruddin Zain ketika baki tiga minit terakhir.

Gol pertama skuad Badak dihasilkan daripada sepakan deras Prince Guy Atire dari luar kotak penalti manakala Azrul Ejati Damsah menyudahkan umpanan Chow Chee Weng untuk gol kedua akibat kesilapan pemain pelawat, Rithaudeen Emran yang cuba menanduk keluar.

Nazaruddin bagaimanapun yang mendapat umpanan Ridzuan Othman, memulakan detik menghampakan tuan rumah dengan gol mengejut Perlis pada minit ke-87.

Sementara itu, dalam perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, Johor-Pasir Gudang meraih modal agak selesa sebelum berkunjung ke Alor Star, 29 Mei ini apabila menumpaskan Kuala Muda 2-0.

Hairy Azly Mahamad membuka tirai gol menerusi sepakan percuma pada minit keempat sebelum tuan rumah mengukuhkan kedudukan ke atas kelab dari Kedah itu dengan jaringan minit terakhir oleh Mohd. Khairul Ismail.

Dalam satu perlawanan Liga Perdana, UPB-MyTeam merampas semula teraju liga daripada Polis selepas menundukkan Angkatan Tentera 3-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4u4Yzgpg5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan