Khamis, 21 September 2017

Lemah semangat punca Perlis tewas



ARKIB : 02/03/2007

Oleh: METRA SYAHRIL MOHAMED

KANGAR – Tiada krisis dalaman atau gaji tidak dibayar tetapi punca kekalahan skuad bola sepak Perlis hanyalah satu iaitu kelemahan barisan pemain di bahagian tengah.

Ditambah dengan tekanan oleh pasukan bawahan yang berlumba-lumba untuk menjatuhkannya, sikap sesetengah pemain yang kurang bersemangat juga dikesan antara punca kekalahan.

Begitu pengakuan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Jamil Saad ketika diminta mengulas mengenai kekalahan demi kekalahan yang ditempa Singa Utara sejak kebelakangan ini.

Bermula kekalahan kepada pasukan Kedah dalam saingan Liga Super pada 21 Februari lalu, rekod tanpa kalah Perlis juga dileburkan oleh Selangor tiga hari kemudian ketika kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan kedua peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Kekalahan ketiga Perlis apabila menentang pasukan Pulau Pinang malam kelmarin, menambah parah Singa Utara yang kini ditendang ke tangga kedua Liga Super di belakang Brunei.

Menurut Jamil, Perlis sememangnya diakui tidak mempunyai pemain yang betul-betul ‘menjiwai’ peranan di bahagian tengah.

Jelasnya, pemain sedia ada iaitu Azi Shahril Azmi pula dilihat kurang bersemangat dan tidak memberikan tumpuan sepenuhnya sejak akhirakhir ini.

‘‘Tidak diketahui mengapa Azi Shahril kelihatan agak perlahan. Berikutan itu, dua pemain iaitu Fauzi Nan dan Mohd. Nazarudin Zain yang sebelum ini merupakan pertahanan kiri serta kanan terpaksa ditukarkan ke bahagian tengah.

‘‘Mereka berdua ini bukannya pemain yang dibentuk sepenuhnya untuk mengawal bahagian tengah. Apabila ditukarkan ke bahagian itu, sudah pasti akan menimbulkan sedikit masalah.

‘‘Francis Kombe yang diharap dapat mengawal bahagian tengah juga kadang-kadang terpaksa dikerah untuk memantapkan posisi serangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Jamil berkata, berikutan tiga kekalahan yang dialami, Perlis nekad untuk memberikan fokus yang lebih pada perlawanan akan datang.

Ketika ditanya mengenai mengapa Pengurus Pasukan, Adzmi Saad tidak berada di bahagian pemain simpanan ketika perlawanan menentang Pulau Pinang malam kelmarin sehingga menimbulkan ‘suara sumbang’, beliau berkata:

‘‘Kita tidak ada krisis dalaman. Harap jangan ada yang membuat spekulasi sedemikian. Kalau ada yang kata kita tidak bayar gaji pemain pula, itu juga tidak tepat.”

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tKtphepI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan