ARKIB : 04/01/2007
PENYERANG Perlis, Phillimon
Chipeta (kanan) menggelecek pemain Negeri Sembilan, Tengku Qayyum Ubaidillah
dalam perlawanan Liga Super di Stadium Utama Negeri, Kangar, semalam. Perlis
menang 3-0. Gambar NIDZUWAN ZAINAL ABIDIN.
KUALA LUMPUR Perlis
mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Super selepas membenamkan Negeri Sembilan
3-0 dalam perlawanan yang disifatkan ulangan akhir Piala Malaysia di Stadium
Utama Negeri Kangar, semalam.
Bermain penuh semangat, Perlis
hanya memerlukan masa 20 saat selepas wisel permulaan dibunyikan untuk membuka
jaringan.
Azlan Ismail menjaringkan gol
pertama pasukannya yang sekaligus menyentap semangat Negeri Sembilan untuk
terus memberikan saingan.
Ini menyaksikan pasukan pelawat
terus tenggelam di babak kedua apabila tuan rumah menambah dua lagi jaringan
menerusi Philimon Chipieta pada minit ke-68 dan Faisal Esahar minit ke-84.
Dengan kemenangan itu, Perlis
kini memungut 13 mata daripada lima perlawanan manakala Terengganu mengekori
rapat di tangga kedua dengan 10 mata daripada empat perlawanan.
Terengganu turut mencatat kemenangan
semalam dengan menewaskan Pulau Pinang 1-0 dalam perlawanan di Stadium
Bandaraya.
Beraksi di tempat lawan
ternyata tidak menggusarkan Terengganu yang memperoleh gol tunggal menerusi
Abd. Manaf Mamat pada minit ke-79.
Selangor pula kembali bangkit
daripada kekalahan kepada Negeri Sembilan minggu lalu dengan menewaskan Sarawak
2-1 di Stadium Shah Alam untuk melonjak ke tangga ketiga liga.
Razman Roslan membuka jaringan
buat Selangor pada minit ke-55 tetapi Zamri Murshidi menyamakan kedudukan buat
Sarawak lapan minit kemudian.
Tetapi Amri Yahyah muncul wira
Selangor dengan gol kemenangan pada minit ke-83 untuk menghadiahkan pasukannya
tiga mata penting.
Pahang yang dipintas Selangor
jatuh ke tangga keempat selepas hanya mampu seri 1-1 dengan DPMM Brunei di
Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Walaupun berjaya mendahului
seawal minit keenam menerusi Rashid Mahmud tetapi kelebihan itu dinafikan
Brunei dengan gol penyamaan menerusi pemain import mereka, Vivan Francis pada
minit ke-47.
Di Stadium Darul Aman, Alor
Star, Kedah menggunakan kelebihan sepenuhnya beraksi di gelanggang sendiri
dengan membenam cabaran Perak 4-3.
Di sebalik perlawanan sengit
dan tegang itu, dua kad merah dilayangkan pengadil ke atas penjaga gol
kedua-dua pasukan kerana mengasari pemain lawan.
Gol-gol Kedah dijaringkan K.
Soley (m-27), Marlon Alex James (m-39, 88) dan Badrul Bakhtiar (m-55) manakala
gol Perak dijaringkan Daniel Fadly (m-61) dan Keita Mandjou (m-76, 90).
Melaka yang baru hilang
jurulatih terus menghuni tempat tercorot liga, itun pun selepas bernasib baik
untuk mencatat keputusan seri 2-2 dengan Telekom Melaka di Stadium Hang Jebat.
Selepas dua kali ketinggalan
kepada Telekom yang memperoleh gol menerusi Nazab Hidzan (m-2) dan K. Rajan
(m-69), Melaka bangkit dengan gol penyamaan menerusi Richard Privitzer (m-65)
dan Jaya Prakash (m-83) untuk memungut mata pertama mereka musim ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sMj13is1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan