ARKIB : 04/08/2008
KUALA LUMPUR - Kemenangan 2-1
ke atas pasukan Johor PBT dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala
Malaysia semalam memberi kegembiraan bermakna buat jurulatih Perlis, Irfan
Bakti Abu Salim.
Menurutnya, dia amat berpuas
hati dengan persembahan yang diberikan oleh pemainnya walaupun mereka agak
keletihan menempuhi perjalanan jauh dan jadual yang padat.
''Semua pemain saya bermain
baik tetapi yang meresahkan saya ialah persembahan penyerang import Phillimon
Chipeta yang mungkin ada kaitan dengan penarikan balik penggunaan pemain import
musim depan,'' kata Irfan ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Jelasnya, pemain lain masih
lagi mempamerkan permainan cemerlang walaupun mereka menyedari sudah layak ke
peringkat suku akhir.
''Saya masih lagi menurunkan
pemain kesebelasan utama dan ternyata mereka masih lagi mempunyai fokus serta
komited di dalam perlawanan terakhir semalam.
''Saya tidak mahu mengganggu
konsentrasi dan konsistensi pemain yang mendapat rentak sejak perlawanan
bertemu Angkatan Tentara Malaysia (ATM) di Kangar sebelum ini,'' kata Irfan.
Dalam pada itu Irfan masih lagi
belum berpuas hati dengan keadaan jadual yang padat dan baginya ia agak
mengganggu prestasi pemain untuk menghabiskan kempen bola sepak musim ini.
''Selepas perlawanan semalam
kami perlu menunggu dahulu keputusan lain dan apabila sudah mengetahui akan
bertemu Terengganu di peringkat suku akhir kami terus ke sana untuk perlawanan
pusingan pertama.
''Bayangkan bagaimana keadaan
pemain yang datang jauh ke Johor dan terpaksa bertolak pula ke Terengganu
selepas perlawanan,'' kata Irfan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4zrdBDBNg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan