ARKIB : 02/07/2008
KUALA LUMPUR - Walaupun berjaya
mengutip mata penuh di tempat lawan pasukan Perlis dilihat beraksi di bawah
tahap kemampuan sebenar, tatkala banyak peluang untuk menjaringkan gol terlepas
begitu sahaja ketika menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 di Stadium
Majlis Perbandaran Selayang kelmarin, lapor FERZALFIE FAUZI.
Jurulatihnya, Irfan Bakti
(gambar) berkata, pemain memberi persembahan yang sederhana dan kurang
menyakinkan terutama sekali di bahagian tengah.
''Mereka beraksi pada tahap
biasa sahaja tetapi saya tetap berpuas hati kerana kami berjaya membawa pulang
tiga mata berharga untuk terus kekal cemerlang dalam saingan peringkat kumpulan
Piala Malaysia,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Jelasnya, faktor keletihan
mungkin menjadi punca utama pemainnya tidak mampu untuk beraksi dengan lebih
cemerlang dan menjaringkan lebih banyak gol.
''Pemain saya terlepas lima
hingga enam peluang keemasan yang bagi saya memang mampu untuk memberikan
jaringan tambahan kepada pasukan.
''Mereka berselang-seli membuat
percubaan tetapi tidak juga berjaya memasukkan bola ke dalam jaring seterusnya
memperlihatkan kelemahan sebenar pasukan,'' kata Irfan.
Bagaimanapun Irfan sangat
berpuas hati dengan barisan pertahanan yang kukuh bertahan sehingga perlawanan
tamat untuk mengekalkan kedudukan 1-0.
''Pemain pertahanan bermain
dengan baik semalam (kelmarin) dengan mengekang asakan pasukan ATM yang cuba
untuk mencari gol penyamaan.
''Saya berharap untuk
perlawanan seterusnya menentang Perak di tempat sendiri pemain dapat bermain
bersungguh-sungguh dan tidak kehilangan mata berharga,'' katanya.
Dalam perlawanan kelmarin gol
tunggal kemenangan Perlis dijaringkan oleh Phillimon Chipeta pada separuh masa
pertama.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zdNIEg6h
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan