ARKIB : 0
KANGAR - Perlis membuka semula
persaingan dalam kancah bola sepak Piala Malaysia apabila mencatat kemenangan
3-1 ke atas Perak dalam perlawanan Kumpulan C di Stadium Utama Negeri di sini,
semalam, lapor JOHARI SHAWAL.Namun perlawanan tercalar sedikit selepas Ketua
Pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azahar dibuang padang ekoran mengasari pemain
Perlis, K. Soley pada minit-minit terakhir perlawanan.
Kesempatan itu diambil oleh
penyerang Perlis kelahiran Melaka, Farderin Kadir yang mendapat umpanan Mohd.
Redzuan Othman untuk melenyapkan harapan Perak bagi gol ketiga Singa Utara.
Tekad Perlis untuk meraih
kemenangan pada aksi kelimanya terpancar seawal minit kedua permainan menerusi
gol pembukaan hasil sepakan penalti pemain import dari Argentina, Chena Gustavo
Roberto.
Pertahanan import Perak, Mario
Estaban bagaimanapun menyamakan kedudukan buat pasukan pelawat 10 minit
kemudian sebelum Farderin melegakan kem skuad bimbingan Irfan Bakti dengan gol
kemenangan lima minit sebelum rehat.
Ia adalah kemenangan ketiga
Perlis di peringkat kumpulan yang meletakkan Singa Utara itu di tangga kedua
Kumpulan C dengan 10 mata di bawah pendahulu, UPB-MyTeam yang mengumpul 12 mata
selepas lima perlawanan.
Perak kekal di tangga keempat
dengan enam mata di bawah Pahang yang mengumpul tujuh mata.
Gol pertama tuan rumah
diperoleh selepas pemain pertahanan, Azi Shahril Azmi dijatuhkan dalam kotak
penalti. Roberto terpaksa mengambil sepakan penalti itu dua kali selepas
sepakan pertamanya yang menerjah jaring dibatalkan oleh pengadil, Subkhidin
Mohd. Salleh kerana penjaga gol, Mohd. Hamsani Ahmad belum bersedia.
Bagaimanapun, Roberto tenang
mengambil sepakan kali kedua yang sekali lagi menerjah jaring menewaskan
Hamsani untuk menceriakan kira-kira 4,000 penyokong Perlis.
Ketika Perlis mengasak untuk
menggandakan jaringan, Perak mengejutkan tuan rumah dengan gol penyamaan
menerusi sepakan percuma Estaban.
Gol itu menaikkan semangat
pasukan Steve Darby yang kembali menyusun gerakan dan memperkemaskan benteng
dalam mengekang asakan tuan rumah.
Namun larian solo Farderin dari
tengah padang mengubah kedudukan apabila penyerang itu berjaya melepasi Chan
Wing Hong dan memperdayakan Hamsani sebelum menolak bola masuk untuk gol kedua
Perlis.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zdfTZgXa
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan