Ahad, 4 Jun 2017

Perlis mungkin senasib Perak



 
ARKIB : 28/09/2005
Oleh AMRAN MULUP
Pemain import Perlis, Phillimon Chipeta tidak sabar untuk menggegar gawang Selangor dan cukup bersemangat ketika sesi latihan di Kangar semalam menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Selangor, Sabtu ini. - Gambar Nidzuwan Zainal Abidin.


PETALING JAYA - Seperti mana rebahnya penyandang juara Piala FA, Perak di Stadium Shah Alam, Sabtu lepas, begitulah nasib yang bakal dialami oleh Perlis.

Bukan omong kosong sebaliknya menjadi keazaman tinggi buat juara 29 kali Piala Malaysia, Selangor untuk meleburkan impian Perlis daripada terus bergelar juara Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

Biar apa sekalipun keyakinan yang dilontarkan oleh skuad Singa Utara, ia sama sekali tidak menjejaskan reputasi Selangor.

Sebaliknya, skuad Merah Kuning tampak semakin yakin untuk merampas kejuaraan berprestij itu apabila bertemu Perlis dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Kemenangan mudah menewaskan Perak 4-2 untuk Selangor mendakap gelaran Piala FA membuktikan betapa barisan pemain Merah Kuning dianggap paling ampuh dan cukup bersedia untuk menyekat Perlis, kata pengurus pasukan, Datuk Satim Diman.

``Dari segi kemampuan, bagi saya Selangor jelas lebih menyerlah berbanding Perlis kerana mereka hanya bergantung kepada Philimon Chipeta dan Zachariah Simukonda.

``Sedangkan Selangor pula selain ada Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes kita boleh menjaringkan gol dengan ramai lagi pemain seperti Muhammad Khalid Jamlus, Elie Aiboy, D. Surendran, Muhammad Shukor Adan dan K. Sanbagamaran,'' ujarnya.

Satim menyatakan demikian ketika ditemui sejurus tamat latihan skuad Selangor di padang PKNS di Kelana Jaya, semalam.

Barisan skuad bergelar juara Piala FA Sabtu lepas itu kembali menjalani latihan untuk menghadapi Perlis selepas berehat dua hari.

Faktor itu buat Satim adalah kelebihan utama milik Selangor yang mampu menafikan hasrat Perlis untuk mengekalkan gelaran yang disandang musim lalu.

Ujarnya, keupayaan tujuh pemain mencipta jaringan sepanjang musim ini membuktikan kelebihan perlawanan akhir Sabtu ini, milik Selangor.

Beliau tampak yakin pemain Merah Kuning tidak dibelenggu sebarang tekanan kerana sudah beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA.

``Selangor akan menurunkan kesebelasan yang sama ketika menewaskan Perak dan lebih menggembirakan tidak ada seorang pemain utama ditimpa kecederaan,'' ujarnya.

Menurutnya, kejayaan menjulang Piala FA jelas membakar semangat pemain Merah Kuning untuk memastikan kejuaraan Piala Malaysia menjadi milik Selangor pula.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j5DItuFa
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan