ARKIB : 03/10/2005
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Jurulatih Abdul
Rahman Ibrahim masih menyifatkan Perlis sebagai pasukan yang lebih baik
kelmarin biar-pun kalah 0-3 sekali gus terpaksa melepaskan Piala Malaysia
berpindah ke tangan Selangor.
Menurutnya, Selangor hanya
menang kerana mampu menyudahkan sebarang peluang yang menjelma sedangkan Perlis
yang menguasai bahagian tengah dan kerap menyerang sepanjang 90 minit perebutan
piala berprestij bola sepak negara itu.
``Selangor menyambar peluang
dan mereka bersemangat dengan sokongan padu penonton dan situasi keseluruhan di
stadium namun bagi saya, Perlis masih pasukan yang lebih handal dan lawan hanya
menang piala ini atas `hadiah' kami.
``Selepas gol kedua, Selangor
bertambah ghairah dan yakin pemain kami pula kian kecewa. Gol itu pun hasil
kesilapan kami kerana tiada siapa yang mengekang Bambang,'' katanya selepas
perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Selangor merampas piala yang
berusia 38 tahun itu daripada juara bertahan dengan jaringan hatrik Bambang
pada minit ke-17, 51 dan 87 untuk melengkapkan koleksi `treble' mereka musim
ini sesudah menjulang Piala FA, minggu lalu dan Piala Liga Perdana, Julai lalu.
Abdul Rahman turut kecewa
melihat anak buahnya boleh terlupa dengan pergerakan penjaring hatrik dari
Indonesia itu sedangkan mereka telah berlatih bagaimana untuk menyekat reka
helah Selangor dalam penyudahan sepakan sudut.
``Malangnya, dalam permainan
sebenar, tiada siapa yang mengekori Bambang dan apabila gol ketiga tiba, juga
daripada kesilapan kami, semuanya sudah terlambat buat kami dan seperti
antiklimaks,'' katanya.
Namun beliau mengakui, Gergasi
Merah memang berhak merangkul Piala Malaysia buat kali ke-30 malah memuji
sentuhan Bambang yang cukup tajam untuk melemahkan semangat juang selain
mematahkan taring perjuangan Singa Utara.
Pujian beliau kagum dengan
kekentalan dua benteng tengah lawan, Ahmad Tarmini Saiban dan Nazrulerwan
Makmor yang berjaya mengekang Phillemon Chepita dan Zacharia Simukonda.
``Dua penyerang kami pula tidak
cergas 100 peratus dan ada sedikit kecederaan. Mereka sukar menangani corak
keras Nazrulerwan dan Tharmini. Itu sebabnya serangan kurang sengat tetapi kami
tiada pilihan selain tetap menggunakan mereka,'' katanya.
Lebih menyulitkan Perlis bagi
beliau kerana kedua-dua pemain sayap gagal menyokong dan mengumpan kepada
penyerang.
``Kekuatan kami lengkap di
mana-mana kecuali sayap. Dua penyekat di tengah, dua penyerang dan dua
perantara pusat tetapi bukan empat pemain di bahagian tersebut yang hanya mampu
bertahan,'' katanya dengan nada kecewa.
Di sebalik berkongsi kehampaan
Perlis, Abdul Rahman masih melihat kejayaan dan kebangkitan Selangor itu
sebagai petanda baik bagi kemajuan bola sepak negara selain mengembalikan
sokongan penonton.
``Selangor bangkit bererti
petanda baik bola sepak Malaysia kerana sukan ini perlukan Selangor kuat dan Perlis
telah menguatkan mereka dengan `menghadiahkan' Piala Malaysia selepas Piala FA
oleh Perak, minggu lalu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4j75ltkXT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan