Ahad, 4 Jun 2017

Perlis selesa



ARKIB : 15/09/2005

Oleh Kamaruddin Ismail
 IPOH - Perlis mencerahkan peluang layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Perak 2-1 dalam perlawanan di Stadium Perak, semalam.

Kelebihan bermain di gelanggang sendiri ternyata gagal digunakan sepenuhnya oleh Perak yang dikejutkan dengan gol lawan seawal minit ke-8 menerusi Zacharia Simukonda.

Philimon Chipieta menambah derita Perak dengan gol kedua pada minit ke-17 sebelum Frank Seator merapatkan jurang gol pada minit ke-21.

Perlis ternyata begitu garang sejak awal permainan dengan mengasak ke kubu Perak bertali arus.

Kerja keras pasukan pelawat itu membuahkan hasil apabila tandukan Zacharia Simukonda pada minit ke-8 berjaya menggegar jaring tuan rumah selepas menyambut hantaran silang Philimon Chipieta.

Sorakan 2,000 penyokong Perlis tambah meriah sembilan minit selepas itu apabila rembatan kencang Chipieta dari luar kotak penalti melepasi jangkauan Mohd. Hamsani Ahmad.

Tidak cukup dengan dua gol, gandingan Chipieta dan Simukonda terus membuatkan onar dalam kawasan pertahanan Perak memaksa K. Nanthakumar, Chan Wing Hoong dan V.Thirumurugan bekerja keras.

Ghairah

Bagaimanapun ketika Perlis ghairah untuk menambah jaringan, penyerang sensasi Perak, Frank Seator berjaya mencuri ruang dengan menanduk masuk bola pada minit ke-21.

Pada minit ke-34, Perak berpeluang menyamakan kedudukan tetapi tandukan Seator menghampakan 30,000 penonton apabila bola terus ke dakapan penjaga gol lawan, Mohd. Amran Omar.

Babak kedua ternyata berbeza rentak apabila Perak mengambil giliran menguasai permainan tetapi gagal memperoleh gol penyamaan.

Walaupun mengasak hebat ke kubu Perlis, gol yang dinanti-nantikan masih tidak menjelma.

Hanya pada minit ke-51, Perak benar-benar memperoleh peluang terbaik tetapi tandukan Seator yang hanya berdepan dengan Amran gagal menerjah jaring.

Walaupun tidak dikawal tandukan Seator terkena kaki Amran yang sekaligus melegakan Perlis untuk menghadapi perlawanan separuh akhir kedua di tempat sendiri pada 18 September ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4j2MJn1Vu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan