ARKIB : 17/02/2002
PEMAIN Sabah, Burhan Ajui (kiri)
hampir terjatuh apabila diasak oleh penyerang Kuala Lumpur, Liew Kim Tu pada
perlawanan Perdana Satu di Cheras, semalam. Sabah menang 3-1. - Gambar ZAKI
AMIRUDDIN.
PERLIS merampas kedudukan tangga
teratas bola sepak Liga Perdana Satu daripada Johor FC selepas menang bergaya
2-0 ke atas NS Chempaka di Stadium Utama Negeri, Kangar, semalam. Kedudukan itu
dibantu dengan kekalahan 1-0 Johor FC kepada Negeri Sembilan di Seremban.
Bintang import Perlis dari
Brazil, Adalberto de Souza Sequira membuka jaringan setelah menyambar bola
muntah pada minit ke-30.
Bekas pemain Selangor, Nazzab
Hidzan memastikan Perlis mengutip mata penuh di gelanggang sendiri dengan gol
kedua hasil sepakan percuma minit ke-53.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi, jaringan tunggal menerusi tendangan voli K. Rajan pada minit ke-15
memastikan kemenangan pertama Negeri Sembilan menewaskan pendahulu, Johor FC
1-0.
Johor FC berpeluang menyamakan
kedudukan apabila mendapat sepakan penalti pada minit ke-82 tetapi sepakan
Henry Saimpon ditampan keluar oleh penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd. Suffian
Abdul Rahman.
Perak melonjak ke tangga kedua
se-lepas menumpaskan Melaka 3-0 di Stadium Hang Tuah.
Khalid Jamlus terus menepati
sasaran apabila menyumbangkan dua gol untuk Perak pada minit ke-11 dan 45
sebelum V. Saravanan menambah pada minit ke-77.
Di Stadium Batu Kawan, Pulau
Pinang meranapkan keghairahan Selangor untuk bangkit daripada kekecewaan
selepas skuad Pulau Mutiara gagah menumbangkan Selangor 3-0.
Moey Kok Hong menceriakan pasukan
tuan rumah dengan jaringan pendahuluan minit ke-38 dan digandakan oleh Hasmawi
Hassan pada minit ke-41.
Zool Ihsan Yunos menambah derita
Selangor dengan gol ketiga Pulau Pinang pada minit ke-69.
Kelantan mencatat kemenangan
kedua liga selepas mengecewakan Pahang 2-1 di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota
Bharu.
Pahang mengejutkan tuan rumah
dengan gol pembukaan yang dijaringkan oleh Ahmad Shahruddin Rosdi tetapi pemain
import Kelantan dari Thailand, Woorrawoot Srimaka menyamakan kedudukan minit
ke-32.
Mohd. Hardi Ahmad memastikan
kemenangan Kelantan dengan jaringan minit ke-53.
Di Stadium Sarawak, pasukan tuan
rumah yang menduduki tangga terbawah liga, mencatat kemenangan sulung dalam
kempen ini apabila menewaskan Terengganu 2-1.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1
pada separuh masa pertama dengan pasukan pelawat lebih dulu membuka jaringan
menerusi Mohamad Mazuki Yusof pada minit ke-22.
Bagaimanapun, pemain import
Sarawak dari Australia, P.J. Robert menyamakan kedudukan dua minit sebelum
tamat babak pertama.
Rizal Awang Jad sekali lagi
menjadi wira Sarawak apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-61.
Sabah turut memastikan tiga mata
kemenangan selepas menumbangkan Kuala Lumpur 3-1 di Stadium KLFA, Cheras.
K. Sanbagamaran meletakkan Sabah
di depan pada minit ke-40 tetapi pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan
menerusi jaringan Mohd. Farid Dewan minit ke-55.
Bagaimanapun, Sabah mendapat dua
lagi gol menerusi Zainizam Marjan (66) dan Josiah Seton (81).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bwNKVIvM©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan