Khamis, 23 Mac 2017

Perlis mahu baiki kedudukan



ARKIB : 06/07/2002
PERLIS mengharapkan kedudukan pasukannya dalam Liga Perdana Satu dapat diperbaiki selepas perlawanan terakhir menentang Sarawak pada Sabtu depan, lapor ZAID MOHD. NOOR.

Jurulatihnya, Tajudin Nor berkata, peluang Perlis untuk berada di tangga yang lebih baik masih terbuka sekiranya dapat menewaskan Sarawak nanti.

``Walaupun saya berpuas hati Perlis sudah layak ke pertandingan Piala Malaysia musim ini tetapi lebih mengembirakan sekiranya Perlis berada di tangga yang lebih baik dalam liga,'' katanya di Kangar semalam.

Pada masa ini Perlis berada di tangga ketujuh liga dengan satu baki perlawanan. Perlis mungkin berada di tangga keenam sekiranya berjaya mengutip mata penuh dalam perlawanan menentang Pulau Pinang di Stadium Utama Kangar malam kelmarin.

Bagaimanapun katanya, Perlis sekadar mengutip satu mata apabila perlawanan tersebut berkesudahan seri 2-2.

Gol Perlis dijaringkan oleh Mohd. Khairul Nisam Shahabuddin minit ke-10 dan Adalberto de Souza (78) dan jaringan Pulau Pinang pula melalui Chow Chee Weng (42) dan Gustavo Alberto Romero.

Menurutnya, Perlis sepatutnya dapat mengekalkan kedudukannya di tangga ketiga dalam liga selepas memasuki pusingan kedua Liga Perdana.

Bagaimanapun katanya, kekalahan berturut-turut dalam tiga perlawanan semasa menentang Sabah, Johor FC dan Terengganu menyebabkan kedudukan Perlis turun agak ke bawah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4cDmAWew0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan