Jumaat, 24 Mac 2017

Perlis dalam keadaan tertekan



ARKIB : 05/08/2002
JURULATIH Perlis, Tajuddin Nor terkilan dengan kekalahan dua kali berturut-turut pasukannya dalam persaingan Piala Malaysia yang mengakibatkan Perlis kini berada dalam keadaan tertekan untuk mara ke pusingan seterusnya.

Beliau berkata, Perlis tidak sepatutnya berputih mata di gelanggang sendiri dengan kekalahan 2-3 ke atas Kelantan di Stadium Utama Kangar kelmarin.

Menurutnya, pada perlawanan penting itu didapati Kelantan mendapat tiga gol mudah manakala pasukan tuan rumah pula terpaksa bertungkus lumus mencari gol walaupun menguasai perlawanan.

``Secara keseluruhannya anak buahnya menunjukkan persembahan membanggakan, bagaimanapun mereka banyak melakukan kesilapan yang memberi peluang kepada Kelantan mencuri mata penuh,'' katanya.

Pada perlawanan itu, penyerang Perlis Hairil Zamri Rashid menjaringkan dua gol pada minit 34 dan 60 manakala gol pelawat pula oleh Zami Mohd. Noor pada minit 45 dan 74 dan Fatrurazi Rozi pada minit 79.

Sebelum ini Perlis tewas pada perlawanan pertama Piala Malaysia kumpulan C kepada Selangor 1-2.

Sehubungan itu Tajuddin mengharapkan pemain Perlis beraksi lebih cemerlang pada empat baki perlawanan dalam kumpulan itu untuk memastikan Perlis mara ke peringkat seterusnya.

Beliau berkata, Perlis selepas ini tidak boleh melakukan banyak kesilapan seperti yang ditunjukkan pada perlawanan menentang Kelantan untuk menjamin kemenangan mereka.

``Saya percaya Perlis boleh membuat kejutan pada baki perlawanan dalam kumpulan C,'' ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4cF3DCIZM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan