Khamis, 30 Mac 2017

Perlis kembali terajui tahkta Perdana Satu



ARKIB : 06/04/2003
 
GOL jaringan pemain import, Kelvin Musungu pada lewat babak pertama permainan kembali meletakkan Perlis di tangga teratas bola sepak Liga Perdana Satu dengan kemenangan 1-0 ke atas Melaka di Stadium Hang Tuah, semalam.

Musungu menjaringkan gol berharga itu pada minit ke-42 untuk Singa Utara mencatat kemenangan keenam dan mengumpul 19 mata selepas lapan perlawanan, satu mata mengatasi Perak yang tidak bermain semalam.

Perak di tangga kedua dengan 18 mata daripada lapan perlawanan dan pasukan tangga ketiga, Pahang hanya mampu meraih satu mata untuk mengumpul 15 mata selepas aksi di Stadium Batu Kawan menentang Pulau Pinang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Kedah melonjak ke tangga keempat di belakang Pahang selepas Kenari menang besar 4-0 ke atas Kelantan di Stadium Darulaman, Alor Star.

Penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menjaringkan hatrik pada minit ke-52 (penalti), 56 dan 70 selepas Matar Diop membuka jaringan buat tuan rumah pada minit kelapan.

Sarawak turut memperbaiki kedudukannya di tangga kelima dengan kemenangan 3-0 ke atas Telekom Melaka di Stadium Sarawak.

Ramos Sari membuka jaringan pada minit ke-16 dan Wong Sai Kong menambah jaringan kedua minit ke-28 sebelum Sapian Wahid meletakkan Bujang Senang lebih selesa dengan gol ketiga enam minit sebelum tamat permainan.

Johor FC mencatat kemenangan ketiga dengan kejayaan 3-1 ke atas Sabah di Stadium Pasir Gudang, sekali gus memintas skuad Badak di tangga kesembilan.

Bekas pemain kebangsaan, Idris Karim membuka jaringan tuan rumah pada minit ke-13 untuk Johor FC menamatkan babak pertama dengan kedudukan 1-0.

Tiga minit selepas babak kedua, Hairy Azli Mahamad menceriakan lagi pasukan itu dengan jaringan kedua dan Hamzani menambah gembira dengan gol ketiga minit ke-60.

Jelius Ating mengembalikan sedikit maruah Sabah dengan gol tunggal minit terakhir perlawanan.

Di Stadium Shah Alam, Selangor menamatkan badi kekalahan mereka selepas menundukkan Terengganu 3-2 untuk mencatat kemenangan kedua mereka selepas lapan perlawanan musim ini.

Dua gol jaringan penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof menamatkan badi kekalahan Selangor dengan kemenangan 3-2 ke atas Terengganu di Stadium Shah Alam.

Gol Nizaruddin dihasilkan pada minit ke-29 dan penalti minit ke-58 selepas D. Surendran membuka jaringan tuan rumah minit ke-11.

Terengganu mendapat dua gol menerusi Norfazly Alias (40) dan Tengku Adam Rosli (90).

Hajat Terengganu untuk memebuat kejutan tidak kesampaian sebagaimana dilakukannya apabila menewaskan juara Piala FA 2002, Pulau Pinang 2-1.

Kekalahan Terengganu terus menyaksikan skuad Penyu itu kekal di tangga tercorot dengan sekadar mengumpul tiga mata.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cpC7yHY8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan