Ahad, 30 April 2017

Ganjaran besar jika Perlis juara

ARKIB : 29/11/2004

BERAKSI dengan 10 pemain di tempat lawan dan seterusnya mencapai kemenangan adalah dianggap sebagai satu keajaiban yang dicipta oleh Perlis sebelum layak ke perlawanan akhir 4 Disember ini.
Mungkin keajaiban kedua bakal menjelma sekiranya Singa Utara yang julung kali ke perlawanan akhir berjaya menundukkan jiran atau `abangnya', Kedah Sabtu ini.
Begitulah harapan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang begitu optimis bahawa Perlis mampu menjulang Piala Malaysia pada musim ini.
Berbekalkan keyakinan itu, Shahidan berjanji bahawa ganjaran lumayan sedang menanti para pemain jika berjaya membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Indera Kayangan.
Menurut beliau, hadiah wang tunai dan percutian hebat sedang menunggu pemain jika harapan besar seluruh rakyat Perlis mampu ditunaikan.
Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah wang tunai dan destinasi percutian yang akan dinikmati oleh pemain jika matlamat itu dapat direalisasikan.
``Ini semua dalam perancangan kita tetapi apa yang penting ialah kemenangan dan membawa pulang Piala Malaysia ke Perlis,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan kursus haji di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Behor Pulai, Kangar semalam.
Pada perlawanan separuh akhir kedua di Kuantan malam semalam, Perlis mencipta sejarahnya tersendiri apabila menewaskan Pahang dengan agregat 3-2 meskipun kalah ditempat lawan 1-2.
Ayam tambatan Perlis, Philimon Chepita memastikan tempat di perlawanan akhir menerusi gol tunggalnya pada minit ke-90 sekali gus melenyapkan impian Pahang.
Shahidan memuji kesungguhan para pemain Perlis yang mampu mengawal permainan walaupun beraksi dalam keadaan kritikal apabila pemain pertahanan, Mohd. Feriza Ismail diarah keluar padang pada minit ke-54.
Semangat juang yang tinggi itu, kata beliau, perlu ditunjukkan sekali lagi pada pertemuan yang lebih penting pada 4 Disember ini.
``Para pemain tidak boleh terus leka dibuai kemenangan ini kerana ada misi yang lebih penting sedang menunggu di hadapan,'' tegasnya.
Beliau tidak mahu kekalahan 1-2 Perlis kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala FA tahun lalu berulang kembali pada musim ini.
Sebagai pasukan yang pernah menjulang Piala Malaysia, katanya, Kedah pasti tertekan apabila bertemu dengan Perlis yang tidak pernah melangkah ke perlawanan akhir.
Namun begitu, tambah beliau, peluang untuk menang adalah 50-50 berdasarkan rekod pertemuan termasuk perlawanan persahabatan antara dua pasukan itu sepanjang musim ini. Sambil berseloroh katanya: ``Abang (Kedah) pernah menjadi juara Piala Malaysia, bagi peluang pula kepada adik (Perlis) nak merasa.''

Chiepeta intai tiga gol

ARKIB : 27/11/2004
PENYERANG harapan Perlis, Phillemon Chipeta berhasrat untuk menambah derita Pahang dengan menjaring sekurang-kurangnya dua atau tiga gol dalam pertemuan menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.
Menyedari pasukannya kini berbekalkan kelebihan dua gol hasil kemenangan 2-0 di Kangar Selasa lalu, pemain Zambia yang beraksi untuk musim kedua dengan Singa Utara itu bertekad memberikan aksi yang terbaik untuk membantu pasukannya mara buat kali pertama ke perlawanan akhir.
``Tugas saya ialah sebagai penyerang dan sebagai penyerang, tentunya ditanggungjawabkan untuk mencari gol sebanyak mungkin, dan saya telah menghasilkan satu gol dalam perlawanan lalu dan berharap kali ini akan menambah dua atau tiga biji gol lagi,'' katanya ketika dihubungi di Kangar sebelum berlepas ke Kuantan, semalam.
Chipeta menjaring gol pertama Perlis sewaktu pasukannya menang dalam perlawanan pertama separuh akhir menentang Pahang. Jaringannya pada minit-9 itu merupakan gol keempat peribadi dalam kempen Piala Malaysia dan ke-16 sepanjang musim ini.

Perlis berbekalkan doa

ARKIB : 27/11/2004
DOA dan harapan tinggi menggunung mengiringi pemergian skuad Perlis ke Kuantan semalam untuk menentang Pahang dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur, malam ini.
Berbekalkan agregat 2-0, Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim meminta semua pemain supaya tidak mengambil kira keputusan itu, sebaliknya beraksi lebih cemerlang bertemu Tok Gajah untuk layak ke final Piala Malaysia 2004 minggu hadapan.
Beliau berkata, seramai 1,000 penyokong setia yang datang ke Kuantan dengan menaiki kira-kira 20 biji bas dan penduduk Perlis yang tidak dapat ikut serta berharap Perlis akan mencatat sejarah malam esok memenangi perlawanan itu seterusnya layak ke final.
``Kita berharap para pemain akan berjuang berhabis-habisan malam esok (ini) dengan semangat yang tinggi, dan apa yang kita ada ialah berdoa semoga mereka mencapai kejayaan.
``Kita juga mengharapkan perlawanan malam itu tidak dicemari dengan aksi yang negatif, tidak kira dari segi persembahan pemain atau mutu pengadilan yang lemah kerana Perlis sebenarnya mempunyai hubungan yang baik dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaacob dan Sultannya, Sultan Ahmad Shah,'' katanya ketika ditemui di Kangar, semalam.
Amanat oleh Menteri Besar Perlis itu disampaikan kepada pemain ketika mengadakan pertemuan dengan skuad bolasepak pasukan itu ketika menjalani latihan terakhir di Stadium Utama Kangar, semalam.
Skuad Perlis yang dikendalikan oleh Norizan Bakar berlepas ke Kuantan, petang semalam untuk menghadapi Pahang yang ditewaskan 2-0 dalam perlawanan pertama Selasa lalu.
Dua gol jaringan Phillemon Chipeta pada minit-9 dan Joao Bandoch pada minit-73 memberikan sedikit kelebihan kepada pasukan pelawat, namun Singa Utara tetap menganggap tempoh 90 minit malam esok bakal penentu segala-galanya.
Rata-rata pemain Perlis yang ditemui menyifatkan pertemuan malam ini umpama perlawanan akhir kerana mendahului dengan dua jaringan, bukan bermakna sudah melayakkan diri ke final.
Dalam masa yang sama, Shahidan turut mengingatkan para pemain supaya tidak lalai dan menjadikan kegagalan mereka layak ke akhir Piala Malaysia tahun 2001 dan 2003 lalu sebagai pengajaran.
``Saya pernah menyaksikan kedua-dua perlawanan separuh akhir itu ketika menentang Selangor (2001) dan MPPJ Selangor (2003). Kelebihan gol dalam perlawanan tidak bermakna sekiranya kita tewas perlawanan kedua,'' katanya.
Dalam Piala Malaysia 2001, Perlis menang selesa 3-0 ke atas Selangor dalam perlawanan pertama di Kangar, tetapi tewas 4-0 dalam perlawanan di Shah Alam, manakala bertemu MPPJ, pasukan itu tewas dengan agregat 4-2.
Beliau berkata, pasukan itu juga tidak seharusnya mengamalkan corak permainan bertahan kerana dalam bola sepak, pemain perlu menyerang dan bukan hanya mengamalkan corak bertahan.

Perlis selesa, Kedah berdoa

ARKIB : 27/11/2004
AMANAT...Pengurus pasukan, Joehari Ayub (kanan) memperkatakan sesuatu kepada pemain-pemain Sabah sebelum mereka berlepas ke Alor Star untuk menentang Kedah dalam saingan kedua separuh akhir Piala Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, semalam.


MALAM ini bakal menjadi penentu dua pasukan yang akan mengisi tempat ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada 4 Disember ini.
Kedah melayan kunjungan Sabah di Stadium Darulaman manakala Pahang pula cuba memadamkan dua jaringan milik Perlis yang bertandang ke Stadium Darulaman, menjanjikan aksi paling menarik pada saingan kedua separuh akhir Piala Malaysia.
Ketika ini hanya Perlis dianggap selesa berbekalkan dua jaringan menerusi Phillemon Chipeta dan Joao Bandoch untuk melenyapkan kehebatan juara Liga Super, Pahang pada saingan pertama separuh akhir Selasa lalu.
Skuad Singa Utara sudah tentu mempunyai strategi untuk mempertahankan kemenangan 2-0 di gelanggang sendiri sekali gus menempah tempat ke perlawanan akhir buat pertama kali.
Kelebihan dua jaringan sekalipun tampak selesa tetapi tidak mustahil dapat diatasi oleh Pahang yang mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri.
Perlis sudah tentu tidak akan melupakan sejarah pahit pada tahun 2001, menang 3-0 ke atas Selangor di tempat sendiri tetapi tersungkur 0-4 di Stadium Shah Alam, menafikan hajat Perlis melangkah kaki ke perlawanan akhir.
Begitupun, lawannya Pahang pasukan berstatus elit dengan memiliki barisan bergelar bintang dalam skuad bola sepak kebangsaan bagaikan terluka dimalukan oleh Singa Utara.
Buat skuad Tok Gajah mengharapkan gandingan penjaring terbanyak Liga Super, Indra Putra Mahayuddin, ketua pasukan kebangsaan, Hairuddin Omar dan penyerang dari Australia, Anthony Milicic dan Azizul Kamaluddin untuk bangkit meledakkan jaringan menyekat Perlis daripada layak ke akhir.
Gandingan Indra, Hairuddin, Milicic dan Azizul seharusnya menjadi perhatian pengendali Perlis, Norizan Bakar untuk menyekat mereka daripada mengempur jaring gol Singa Utara yang akan dikawal oleh Amran Omar.
Pahang pula tidak boleh terlalu ghairah memburu gol untuk memadamkan kelebihan milik Perlis dan tidak leka dengan kelincahan Chipeta, Bandoch dan Lamin Conteh Jr yang mungkin menjadi pemusnah lagi di Darulmakmur.
Lain pula dengan Sabah, kunjungannya ke Stadium Darulaman bagaikan meniti ranjau setelah hampa apabila kelebihan bermain di Stadium Likas sekadar terikat tanpa jaringan dengan Kedah.
Kedah dilihat mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri walaupun tampak kecewa tanpa kelibat ayam tambatan, Akmal Rizal Rakhli.
Kini skuad Kenari turut tempang, kehilangan penyerang Marcos Magno Thavares yang menjaringkan 11 gol dalam Liga Super apabila dikenakan penggantungan perlawanan.
Apa pun, Sabah tetap akur bukan tugas mudah berdepan dengan Kedah walaupun tanpa penyerang terbilang yang tersisih dalam pertemuan malam ini.
Kedah kini meletakkan harapan kepada bekas penyerang Pulau Pinang, Asmawi Hassan yang akan mengisi kekosongan tempat Akmal dan Thavares serta akan dibantu oleh pemain tengah dari Brazil, Christiano Selbach.
Kelibat pemain lincah, Rafdi Rashid yang menjaringkan tiga gol dalam saingan Liga Super turut menjadi sandaran untuk memecah kebuntuan jaringan gol kali ini.
Selain itu, jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah mengharapkan kecemerlangan penjaga gol, Megat Amir Faisal untuk sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang sebagaimana dia menafikan banyak percubaan jentera serangan Sabah di Likas, Selasa lalu.
Begitupun, kunjungan Sabah tidak dilihat sebagai tugas mudah buat anak didik Mohd. Azraai.
Diakui Sabah sebenarnya lebih tertekan bermain di hadapan penonton sendiri yang begitu fanatik tetapi tidak sewaktu mereka bermain di tempat lawan.
Skuad Badak dilihat tidak tertekan berkunjung ke Stadium Darulaman dan kelibat penyerang import lawan, Ketih Gumbs dan Zaykiel Leong pastinya sekali lagi akan mengucar-kacirkan benteng Kedah.

Perlis selangkah ke babak akhir

ARKIB : 25/11/2004
BARISAN pemain Perlis meraikan kejayaan mereka selepas menumpaskan Pahang 2-0 dalam aksi separuh akhir pertama bola sepak Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Utama Kangar, kelmarin. Perlis kini selesa berbekal dua gol untuk pertemuan kedua di Kuantan, Sabtu ini. - Gambar ISMAIL KAMADIN.


ATAS kertas Perlis selangkah kaki untuk membuat penampilan pertama ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia 4 Disember ini, ketika Sabah dan Kedah sama handal mengharungi saingan separuh akhir pertama di Stadium Utama semalam.
Berbekalkan dua jaringan menerusi penyerang Zambia, Philimon Chipeta dan pemain pertahanan Brazil, Joao Bandoch ketika menewaskan juara sulung Liga Super musim ini, Pahang dianggap bekalan selesa skuad Singa Utara.
Kelebihan bermain di gelanggang sendiri digunakan sepenuhnya anak didik Norizan Bakar di hadapan 20,000 penonton mereka mudah menjinakkan kegarangan Pahang.
Begitupun masih terlalu awal untuk Perlis mendabik diri berbekalkan dua jaringan apabila berkunjung ke Stadium Darulmakmur untuk mengharungi saingan separuh akhir kedua Sabtu ini.
Biarpun Pahang rebah tidak bermaya di tempat lawan, kelebihan bermain di gelanggang sendiri dalam tempoh 90 minit babak, pastinya akan digunakan sepenuhnya untuk memadamkan kelebihan dua jaringan milik Perlis.
Berdepan dengan Pahang yang jelas unggul bermain di gelanggang sendiri sudah tentu diakui oleh pengendali Perlis, Norizan.
Bekas penolong jurulatih bola sepak kebangsaan itu sudah tentu menyedari tugas paling berat untuk mempertahankan kelebihan dua jaringan ketika Pahang akan turun habis-habisan untuk mencuri tempat ke perlawanan akhir minggu depan.
Buat jurulatih Zainal Abidin Hassan sudah tentu akan mencongak strategi paling mantap untuk menyekat anak didik Norizan daripada terus mendominasi aksi hujung minggu ini.
Gandingan mantap ketua pasukan bola sepak kebangsaan, Hairuddin Omar, Indra Putra Mahayuddin, Azizul Kamaluddin dan pemain import, Anthony Milicic harus lebih bijak mencari kesempatan untuk merobek benteng Perlis.
Sementara itu, Sabah finalis Piala Malaysia musim harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal mengambil kesempatan bermain di gelanggang sendiri untuk menewaskan Kedah.
Di hadapan 28,000 penyokong, Sabah terpaksa menggigit jari apabila seri tanpa jaringan berdepan dengan Kedah di Stadium Likas.
Tuan rumah sepatutnya menggamit kemenangan buat bekalan sebelum bertandang ke Stadium Darulaman Sabtu ini walaupun Sabah menguasai pentas saingan.
Sentuhan bintang import dari St. Kitts and Nevis, Keith Gumb jelas tumpul ketika berdepan dengan kecemerlangan penjaga gol Kedah, Megat Amir Faisal.
Kedudukan itu jelas memberikan tekanan kepada skuad Badak yang menyedari tugas berat berdepan dengan Kedah di tempat sendiri.
Tanpa ayam tambatan, Akmal Rizal Rakhli yang tidak disenaraikan kerana menjalani pembedahan jentera serangan Kedah tampak pincang.
Begitupun bagi Kedah keputusan seri sudah cukup menggembirakan dan percaturan strategi mantap sudah diatur untuk melenyapkan harapan menggunung Sabah untuk mara ke perlawanan akhir.
Kedah diakui kental beraksi di gelanggang sendiri.
Ini dilihat pada saingan suku akhir sebelum ini, skuad Hijau Kuning rebah 0-2 kepada Public Bank namun ketika bermain di gelanggang sendiri mereka bangkit untuk meledakkan jaringan 3-0 dan mara ke separuh akhir.
Ini sudah cukup membuktikan Sabah bakal berdepan tugas paling getir Sabtu ini.

Sabtu, 29 April 2017

Akhirnya Perlis tebus kecewa

ARKIB : 08/10/2004
KEJAYAAN Perlis melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia 2004 bukan sekadar melengkapkan impian pasukan itu sebaliknya turut menebus kekecewaan mereka sewaktu perlawanan akhir Piala FA 2003 apabila tewas 2-1 kepada Negeri Sembilan.
Meskipun menang 5-4 menerusi penentuan tendangan penalti setelah kedudukan agregat terikat 3-3, Perlis mampu tersenyum kerana selain mampu menyamakan agregat kekalahan 3-2 di Paroi, pasukan itu mengulangi kejayaan mara ke separuh akhir Piala Malaysia dua kali berturut-turut.
Skuad bimbingan Norizan Bakar itu gagal ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2003 setelah dikecewakan juara bertahan, MPPJ Selangor pada separuh akhir.
Kemenangan di Stadium Utama Kangar, kelmarin jelas berpunca daripada sikap tidak berputus asa kesemua pemain Perlis termasuk tiga bintang utama mereka, Yusri Che Lah, Adrien Jurad Chamrong dan penjaga gol, Rusfazly Rahaman yang menjadi wira malam itu.
Tanpa jaringan Yusri pada minit-79 hasil lorongan Rosli Md. Derus yang menghasilkan gol tunggal perlawanan itu, sudah tentu Negeri Sembilan terlebih dulu merayakan kemaraan mereka ke separuh akhir.
Negeri Sembilan pula yang terkejut dengan jaringan itu, namun baki permainan yang tinggal 11 minit agak terlewat bagi mereka mencari gol kemenangan sehingga memaksakan kedua-dua pasukan bertarung dalam masa tambahan.
Selepas wisel masa tambahan ditamatkan oleh pengadil Terengganu, Mat Lazim Awang Hamat, hampir 20,000 penonton agak risau kerana penentuan sepakan penalti bakal memberi kelebihan kepada skuad bimbingan K. Devan yang mempunyai penjaga gol berpengalaman, Azizon Abdul Kadir berbanding Rusfazly yang baru pertama kali diturunkan menggantikan Amran Omar.
Namun Rusfazly membuktikan telahan itu silap kerana beliau beraksi cemerlang menepis sepakan penalti pemain kelima Negeri Sembilan, Effendy Malik.
Begitu juga Adrien Jurad yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan penalti terakhir pasukan Perlis, mampu menjaringkan gol walaupun sepakan derasnya itu terkena kaki Azizon lalu menerjah ke jaring.
Norizan ketika dihubungi di Kangar semalam, melahirkan rasa syukur dengan kemenangan itu dan tumpuan pasukannya itu kini ialah menghadapi Pahang di laluan separuh akhir pada 23 dan 27 November depan.
``Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki berdasarkan perlawanan semalam termasuk mempertajamkan gerakan penyudah yang jelas seakan-akan tumpul, walaupun Perlis memiliki banyak peluang menjaring kan gol,'' katanya.

Isnin, 24 April 2017

Perlis cuma mampu seri dengan P. Pinang

ARKIB : 05/07/2004
PERLIS sekadar mencipta keputusan seri 1-1 dengan Pulau Pinang dalam aksi bola sepak Liga Super di Stadium Utama, Kangar semalam.
Yusri Che Lah menjaringkan gol pertama perlawanan apabila sepakan percumanya terus menerobos ke dalam gawang tetapi kegembiraan Perlis tidak bertahan lama.
Hanya empat minit kemudian, Pulau Pinang memastikan mereka berkongsi mata apabila pemain dari Rusia, Viatcheslav Melnikov pantas menyambar peluang dalam keadaan permainan kelam kabut di depan gawang.
Perlis kini di tangga keempat dengan 21 mata manakala Pulau Pinang yang mengumpul 15 mata di tempat kelima.
Sementara itu, kempen Liga Perdana menyaksikan Johor FC mengekalkan tangga teratas, terima kasih kepada Tentera yang mencipta kejutan ke atas PKNS Selangor.
Johor FC tunduk 1-0 kepada Telekom Melaka, yang bermain dengan 10 orang, di Stadium J-Corp, Pasir Gudang. Gol tunggal perlawanan dihadiahkan kepada Melaka oleh Henry Saimpon yang tersepak bola ke gawang sendiri ketika cuba menampan hantaran lintang lawan.
Telekom kehilangan Njoh Njoh Mpondo Alain pada minit ke-78 selepas menerima kad kuning kedua tetapi kesempatan itu gagal disempurnakan oleh tuan rumah.
Bagaimanapun, kedudukan Johor FC di tangga teratas kekal apabila pencabar terdekat, PKNS tewas 2-1 kepada Tentera di Stadium TLDM, Lumut.
Kemenangan itu melunaskan dendam Tentera yang minggu ini kalah agregat 5-1 kepada PKNS pada suku akhir Piala FA.
Johor FC di tangga teratas dengan 34 mata, dua mata di depan PKNS manakala Tentera di tangga ketujuh de-ngan 19 mata.
Sementara itu, Polis dan TNB Kelantan terikat 1-1 di Stadium MPS, Selayang manakala JPS Kelantan tewas 5-3 kepada Selangor di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.
Dalam aksi Kumpulan B, MPPJ tewas 2-1 kepada Negeri Sembilan di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya tetapi masih kekal di tangga teratas.
Kuala Lumpur menumpaskan SKMK Kelantan 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras manakala Terengganu dan Kelantan sekadar seri 0-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Ahad, 23 April 2017

Perlis perlu kemenangan

ARKIB : 26/06/2004
PERLIS perlu mencatat kemenangan ke atas Selangor Public Bank di gelanggang sendiri malam ini untuk memungut tiga mata penuh bagi mencabar kedudukan pasukan `The Bankers' yang kini menghuni tempat ketiga dalam saingan Liga Super 2004.
Keputusan seri 3-3 yang dicatatkan dalam pertemuan menentang Pahang Selasa lalu memberi semangat kepada pasukan Singa Utara untuk terus memberi saingan memburu tempat terbaik dalam kedudukan liga hasil 19 mata yang diperoleh ketika ini.
Hakikat itu diakui oleh pengurus Perlis, Adzmi Saad bahawa lawan mereka malam ini perlu dijinakkan kerana pasukan itu telah merampas tempat ketiga yang pernah dihuni skuad Singa Utara sebelum ini.
``Kemenangan ke atas Public Bank juga mampu memadamkan kekalahan 2-0 Perlis di gelanggang lawan pada pusingan pertama 24 April lalu biarpun ketika itu mereka bermain dengan 10 pemain akibat kaptennya, A. Ganeson dibuang padang,'' katanya ketika dihubungi di Kangar, semalam.
Public Bank kembali menghuni tangga ketiga hasil kemenangan 1-0 ke atas Pulau Pinang minggu lalu dan seri 2-2 dengan Sarawak baru-baru ini, memintas Perlis yang terpaksa turun ke tempat keempat setelah tewas kepada Perak dengan jaringan 3-2 minggu lalu.
Pasukan bimbingan Norizan Bakar itu mungkin akan turun tanpa khidmat penyerang harapan mereka, Phillemon Chipeta yang mengalami kecederaan otot dan pemain itu juga tidak beraksi sewaktu berkunjung ke Kuantan, Selasa lalu.
Bagaimanapun, Adzmi berkata, sekiranya Chipeta tidak diturunkan, Perlis mengharapkan gandingan pemain import keempat mereka, Benard Semakwezi yang diturunkan ketika menentang Pahang untuk merobek gawang Public Bank.
``Untuk bersaing dalam Liga Super, hanya kemenangan yang dicari. Kalah atau seri membuatkan Perlis semakin jauh untuk mencabar kelompok terbaik liga,'' katanya.
Perlis berjaya mencuri satu mata ketika mencatat keputusan seri 3-3 dengan pendahulu liga, Pahang apabila Adrien Jurad Chamrong menjaringkan gol penyamaan pada minit-83.

Sabtu, 22 April 2017

Perlis semakin puas

ARKIB : 31/05/2004
PERLIS berpuas hati mengutip tiga mata penuh selepas menumpaskan Sabah 2-1 dalam perlawanan Liga Super 2004 di Stadium Utama Kangar, malam kelmarin sekaligus mengotakan janji untuk mencapai kemenangan membalas dendam dua kekalahan sebelum ini.
Sekalipun mendapat lebih daripada lima peluang untuk mencipta gol, pasukan tuan rumah hanya memanfaatkan dua daripadanya menerusi jaringan Phillemon Chipeta dan Muhamad Kaironisam Shahabuddin Hussein bagi menambah derita skuad Badak yang tewas tiga kali berturut-turut.
Berpuas hati dengan pencapaian anak-anak buahnya, Pengurus Perlis, Adzmi Saad bagaimanapun sedikit kecewa kerana beberapa peluang keemasan untuk menambah jaringan gol terlepas begitu sahaja.
``Perlis banyak menyerang malam kelmarin tetapi hanya dua yang menghasilkan gol, bagaimanapun kemenangan itu sudah cukup untuk kita membalas kekalahan 4-1 di tempat lawan pada pusingan pertama lalu,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan di Kangar, semalam.
Sebelum ini, Perlis juga gagal melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala FA setelah ditewaskan oleh Sabah dengan agregat 2-1 pada pusingan ketiga.
Petanda awal kemenangan Perlis terhasil pada minit empat apabila Chipeta yang mendapat hantaran cantik daripada Yusri Che Lah meledak gol pertama dengan rembatan kencangnya melepasi jangkauan penjaga gol Sabah, Khairul Azman Mohamad.
Selepas itu, pasukan bimbingan Norizan Bakar mempunyai sekurang-kurangnya tiga peluang keemasan untuk menjaringkan gol termasuk tandukan Chipeta pada minit-21 yang sedikit melepasi palang gol.
Babak kedua menyaksikan Sabah mula mengubah rentak dengan menguasai perlawanan, namun sepakan Yusri yang terkena palang gol pada minit-64 berjaya ditanduk masuk oleh Muhamad Kaironisam untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Sabah yang mendapat bimbingan jurulatih baru, Justin Ganai selepas Peter Butler meletak jawatan, mendapat saguhati gol tunggal pada minit-90, hasil serangan balas yang dilakukan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4ezlDQt6O
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 21 April 2017

Perlis terus bergolak

ARKIB : 02/05/2004
PERGOLAKAN dalam skuad bola sepak Perlis dijangka terus berpanjangan berikutan belum ada tanda-tanda penyelesaian antara pihak yang bertelagah iaitu Pengurus pasukan, Adzmi Saad dan jurulatih, Norizan Bakar.
Norizan atau dikenali sebagai Cikgu Jan enggan memberi sebarang ulasan mengenai hubungan dinginnya dengan Adzmi yang dikatakan berpunca daripada beberapa keputusan yang tidak dapat dipersetujui bersama.
Baginya, beliau akan terus memberikan khidmatnya sebagai jurulatih kepada Singa Utara selagi diperlukan oleh pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) walaupun Adzmi mengancam untuk melepaskan jawatannya.
``Saya akan terus bekerja seperti biasa, melatih para pemain sebagai persediaan menghadapi Liga SUper dan FA,'' katanya kepada Mingguan Sukan ketika dihubungi hari ini.
Pergeseran antara Adzmi dan Norizan mendapat perhatian Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyifatkan hasrat Adzmi meletakkan jawatan sebagai kurang bijak.
Sebagai pengurus pasukan, Shahidan selaku Presiden PFA berkata, Adzmi seharusnya menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menangani segala masalah yang berlaku dalam persatuan.
Adzmi mengancam meletakkan jawatannya sebagai pengurus pasukan pada Khamis lalu kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan Norizan yang tidak menurunkan pemain import baru, Bernard Semakwezi ketika menentang Sabah, Rabu lalu.
Norizan seterusnya berkata, beliau tidak bercadang untuk melepaskan jawatannya sebagai jurulatih kerana menyifatkan tidak ada sebab untuk berbuat demikian.
Beliau kini sedang memberi tumpuan untuk memantapkan lagi pasukan memandangkan perjalanan bagi Liga Super dan Piala FA masih jauh.
``Segala masalah yang berlaku ini boleh diselesaikan apabila PFA bermesyuarat dalam tempoh terdekat ini,'' katanya.
Beliau juga enggan memberi sebarang komen mengenai hasrat Adzmi untuk melepaskan jawatan sebagai pengurus pasukan kerana itu adalah haknya. Sementara itu, Adzmi gagal untuk dihubungi bagi mengulas perkembangan yang berlaku dalam skuad Singa Utara.

Perlis tempah laluan sukar

ARKIB : 29/04/2004
NAIB juara bola sepak Piala FA, Perlis menempah laluan sukar untuk ke suku akhir apabila sekadar seri 1-1 dengan Sabah di hadapan penyokong sendiri di Stadium Utama Negeri, Kangar semalam.
Ketika skuad Singa Utara berasakan kemenangan sudah hampir dalam genggaman setelah mendahului seawl minit ketiga hasil jaringan Phillimon Chipeta, nasib menyebelahi Sabah apabila mereka mendapat sepakan penalti Keith Gumps yang disempurnakan oleh pemain dari St. Kitts, Keith Gumps pada minit ke-54.
Sementara itu, juara pertama Piala FA pada 1990, Perak kelihatan menghadapi laluan mudah pada perlawanan kedua setelah menang 2-1 ke atas Telekom Melaka di Stadium Hang Tuah, Melaka.
Perak memperoleh gol menerusi Frank Seator (minit 41) dan Khalid Jamlus (68) sebelum Nazzab Hidzan merapatkan jurang gol pada minit ke-81.
Juara Piala Malaysia, MPPJ Selangor pula bangkit selepas ketinggalan dua gol untuk menundukkan Johor FC dengan kemenangan 3-2 di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya.
Juan Manuel Arostegui muncul wira MPPJ apabila menjaringkan dua gol (66 dan 84) setelah Sasa Brenezac membangkitkan semangat juang rakan-rakannya dengan gol minit ke-60. Johor FC pada awal permainan nampak selesa setelah memperoleh gol menerusi Travis Bodd (34) dan Walter Silva (59).
PKNS Selangor pula jelas terlalu kuat apabila menundukkan jirannya, MK Land Selangor dengan keputusan 3-1 di Stadium MPS, Selayang.
Roman Chmelo meletakkan PKNS di depan pada minit ke-24 dan Anton Kubala mengukuhkan kedudukan mereka dengan dua gol, minit ke-58, 75. Gol tunggal MK Land diperoleh menerusi K. Nanthakumar (72).
Tentera pula menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mencipta kemenangan selesa 3-1 ke atas Polis di Stadium TLDM, Lumut.
Edmond Kingston muncul wira Tentera apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-22 dan 42 selepas rakan sepasukannya, Nazri Abu Bakar mencipta gol pendahuluan pada minit ketujuh. Polis membalas menerusi Glori Gaskie pada minit ke-50

Selasa, 18 April 2017

Kemenangan bakar semangat Perlis

ARKIB : 17/04/2004
KEJAYAAN menewaskan Kuala Lumpur 3-0 dalam perlawanan bola sepak piala FA di Stadium Utama Kangar, Rabu lalu akan menjadi pembakar semangat buat Perlis untuk meneruskan cabaran menentang Pahang dalam saingan Liga Super di gelanggang yang sama, malam ini.
Pengurus Perlis, Adzmi Saad berkata, meskipun beberapa kelemahan dikesan dalam perlawanan itu, ia akan segera diperbaiki bagi menanti kunjungan skuad Tok Gajah dalam saingan liga yang berbeza.
Walaupun Perlis berjaya mara ke pusingan seterusnya dalam piala FA, beliau berkata, saingan menentang Pahang dianggap lebih penting kerana lawan mereka kali ini menduduki tangga kedua liga dan mempunyai ramai pemain kebangsaan sehingga dilabel sebagai pasukan `Real Madrid Malaysia'.
``Kita bersyukur dengan kemenangan tempoh hari, sekurang-kurangnya ia akan menguatkan semangat pemain bagi menghadapi Pahang malam esok (ini),'' katanya ketika dihubungi di Kangar, semalam.
Dalam perlawanan itu, Perlis layak ke pusingan ketiga piala FA setelah mencatat agregat 5-2 apabila mencatatkan keputusan seri 2-2 dalam perlawanan pertama pusingan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac lalu.
Gol pertama skuad bimbingan Norizan Bakar itu tercipta pada minit-10 apabila Phillemon Chipeta berjaya menyudahkan hantaran cantik dari sebelah kanan pintu gol lawan yang dilakukan oleh Tengku Hazman Raja Hassan.
Selepas itu, Perlis mempunyai sekurang-kurangnya empat peluang terbuka untuk menambah jaringan namun keadaan padang yang basah serta penyudah yang tidak kemas memaksa perlawanan separuh masa pertama kekal dengan keputusan 1-0.
Aksi perlawanan kedua pula tampak membosankan pada minit-minit awal, namun Perlis gagal untuk menambah jaringan apabila sepakan penalti yang diambil oleh Lamin Conteh Jr. pada minit-72 selepas Yusri Che Lah dijatuhkan, ditangkap kemas penjaga gol pasukan pelawat, Saiful Amar Sudar.
Kemasukan dua pemain Perlis iaitu Zainuddin Ariffin dan Mohd. Faizal Esahar mengubah jentera serangan Perlis apabila kedua-dua pemain itu berjaya menambah koleksi gol Singa Utara pada minit-75 dan 90.
Adzmi memberitahu, para pemain diminta supaya terus memberikan tumpuan terhadap perlawanan penting malam ini walaupun mereka mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri.
``Pemain harus ingat bahawa Pahang bukanlah sebuah pasukan yang mudah menyerah kalah, malah mereka mampu membuat kejutan kerana memiliki sembilan pemain skuad kebangsaan dan empat pemain import yang mampu mencabar pintu gol lawan,'' katanya.

Semangat Perlis terlalu membara

ARKIB : 14/04/2004
PERLIS tidak sabar menanti aksi menentang Kuala Lumpur dalam perlawanan kedua pusingan kedua piala FA di Stadium Utama Kangar malam ini selepas sekian lama tidak beraksi di gelanggang sendiri.
Selepas berehat panjang selain aksi perlawanan Liga Super berlangsung di gelanggang lawan, skuad Singa Utara yang muncul naib juara musim lalu, mahu menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk mencatat kelebihan gol selepas perlawanan pertama menentang pasukan dari Lembah Klang itu berakhir dengan keputusan seri 2-2 pada 26 Mac lalu.
Dalam perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Perlis mendahului lawan sebanyak dua kali menerusi jaringan Phillemon Chipeta pada minit-24 dan Manzoor Azwira Abdul Wahid pada minit-63, namun Kuala Lumpur bangkit mengikat kedudukan menerusi jaringan pemain importnya, Marcello Padilah pada minit-35 dan 89.
Perlis kali terakhir beraksi di gelanggang sendiri pada 14 Februari lalu, yang merupakan perlawanan pertama Liga Super menentang Pulau Pinang yang menyaksikan mereka menang 2-1.
Bagaimanapun, pasukan bimbingan Norizan Bakar itu terpaksa bermain di gelanggang lawan, menentang Sarawak pada 21 Februari, Sabah (6 Mac) dan Perak (3 April) lalu.
Perlis nyata kurang menyerlah dalam tiga perlawanan di gelanggang lawan. Mereka mencatat keputusan seri sebanyak dua kali, 1-1 menentang Sarawak, 0-0 ketika bertemu Perak. Perlis tewas 4-1 kepada Sabah.
Sabtu ini, skuad Singa Utara akan menerima kunjungan Pahang yang kini dibimbing bekas pemain kebangsaan, Zainal Abidin Hassan di Kangar.
Pengurus pasukan Perlis, Adzmi Saad memberitahu, pasukannya tidak sabar menanti aksi di gelanggang keramat mereka untuk mencapai keputusan yang lebih baik sama ada dalam Piala FA atau pun Liga Super.
``Sudah sekian lama mereka tidak beraksi di hadapan penyokong sendiri dan ia memberi semangat kepada pasukan Perlis untuk mencatat kemenangan bermakna dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur hari ini.
``Kita berharap, para pemain dapat memberikan aksi cemerlang untuk memastikan Perlis layak ke pusingan seterusnya, sekali gus menjaga imej mereka selaku naib juara piala itu, tahun lalu,'' katanya.
Pada masa yang sama, Adzmi mengingatkan para pemain supaya tidak memandang rendah kemampuan pasukan Kuala Lumpur kerana mereka mampu memberi saingan apabila mencatat keputusan seri tempohari.
``Perlis menghormati pasukan Kuala Lumpur kerana walaupun mereka berasing di Liga Perdana sedangkan Perlis di Liga Super, pasukan itu mempunyai barisan pemain muda yang mampu melakukan kejutan termasuk pemain importnya, Padilah,'' kata beliau.

Selasa, 11 April 2017

Kemenangan penuh bermakna buat Perlis



ARKIB : 15/02/2004

PERLIS mencatatkan kemenangan pertama menewaskan Pulau Pinang, 2-1 sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan Yang di-Pertuan Agung, semalam dalam perlawanan sulung Liga Super 2004 di Stadium Utama Kangar, lapor SUFFIAN ABU BAKAR.

Aksi perlawanan babak pertama jelas hambar apabila kedua-dua pasukan bermain agak berhati-hati, namun Perlis nyaris meledak gol awal pada minit ke-5 apabila sepakan dari jarak 25 meter Manzoor Azwira Wahid terkena palang.

Penjaring gol terbanyak Perdana Satu, Phillemon Chipeta membuktikan dia masih berbisa apabila menjaringkan gol pertama Perlis pada minit minit ke-22 dengan rembatan kencang setelah mengelirukan dua pertahanan lawan untuk menewaskan Zuraimi Hassan.

Kemasukan Yusri Che Lah pada minit ke-23 mengubah rentak tengah Perlis apabila ia nyaris menjaringkan gol pada minit ke-26.

Gandingan penyerang Pulau Pinang yang diketuai oleh Azli Ahmad dan Viatcheslav Melnikov nampak belum menemui rentak persefahaman.

Peluang terbaik pasukan Harimau Kumbang sebelum tamat babak pertama hadir pada minit ke-44 apabila Mat Saiful Mohamad membuat rembatan dari sebelah kiri pintu gol, namun sedikit tersasar.

Perlawanan babak kedua main rancak apabila Perlis nyaris memperoleh gol pada minit ke-46, namun rembatan Yusri terkena palang.

Pada minit ke-62 Perlis memperoleh gol kedua menerusi gerakan 1-2 Yusri dengan Chipeta menjadikan keputusan berubah 2-0.

Lamin Conteh Jr. nyaris tambah derita PP pada minit ke-68, tetapi bola sepakan itu terkena palang walaupun Zuraimi telah tertewas.

Kemasukan pemain Perak, M. Nagarajah nyata membuahkan hasil bagi pasukan pelawat apabila hantarannya dari sudut kiri pintu gol Perlis berjaya ditanduk cantik oleh Boris Ovcin pada minit ke-70 menjadikan keputusan berubah 2-1.

Pulau Pinang yang menguasai permainan jelas mencemaskan hampir 15,000 penyokong Perlis yang hadir pada malam ini melalui beberapa percubaan Ovcin dan Melnikov.

Perlawanan berakhir dengan keputusan 2-1 walaupun Perlis memperoleh sepakan percuma pada minit-minit terakhir masa perlawanan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dwtV6TOk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perlis ada kelebihan



ARKIB : 14/02/2004

KELEBIHAN menjadi tuan rumah dalam perlawanan sulung Liga Super 2004 akan digunakan sepenuhnya oleh Perlis yang tidak sabar untuk beraksi menentang Pulau Pinang di Stadium Utama Kangar, malam ini.

Berdasarkan rekod dalam Perdana Satu musim lalu, pasukan tuan rumah mempunyai kelebihan. Mereka menjinakkan Pulau Pinang 1-0 di tempat lawan selain menang 2-0 di tempat sendiri.

Bagaimanapun, kisah silam itu dianggap oleh pengurus pasukan Perlis, Adzmi Saad sebagai sejarah yang perlu disimpan rapi kerana perlawanan sebenar Liga Super hanya ditentukan malam ini.

Beliau berkata, Perlis tidak harus menganggap Pulau Pinang sebagai musuh yang mudah dijinakkan berdasarkan pencapaian lalu kerana skuad Harimau Kumbang musim ini nyata berbeza di bawah kendalian jurulatih baru dari Pahang, Yunus Alif.

"Jangan anggap kita mudah menewaskan Pulau Pinang seperti yang dilakukan musim lalu, sebaliknya gunakan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk mencatat keputusan membanggakan dalam perlawanan sulung malam ini,'' katanya di Kangar, semalam.

Kemampuan dua pemain import Pulau Pinang - Boris Ovcin dan Viatcheslav Melnikov tentu sukar diramal dan pada masa yang sama, Pulau Pinang masih belum menguji sejauh mana kehebatan dua bintang import terbaru Singa Utara, Joao Bandoch dan Essa Mvondo Basile.

Selain memiliki penjaring terbanyak Perdana Satu, Phillemon Chipeta, kehadiran muka-muka baru dalam skuad itu seperti Yusri Che Lah, Manzoor Azwira, Zainuddin Ariffin, Faisal Esahar dan Mohd. Khairi Zainuddin tentu mengubah rentak aksi Singa Utara musim ini.

Menurut Azmi, Perlis akan menurunkan ketiga-tiga pemain importnya - Chipeta, Bandoch dan Lamin Conteh Jr., pemain yang pernah disingkirkan skuad itu tetapi diambil semula untuk menguatkan bahagian tengah.

Begitu juga Pulau Pinang, walaupun kehilangan beberapa pemain utama seperti Kamarulzaman Hassan (Sarawak), Megat Amir Faisal, Hasmawi Hassan (Kedah) dan Wan Rohaimi Ismail (Public Bank), mereka diperkuatkan dengan pemain-pemain baru seperti Zuraimi Hassan, Hairulnizam Man, Azli Ahmad, Mohd. Ramzi Razuwan dan M. Nagaraja.

Dalam perlawanan Liga Perdana Satu musim lalu, Perlis menewaskan Pulau Pinang 1-0 hasil jaringan bekas pemain import mereka, Kelvin Musungu, manakala dalam perlawanan di tempat sendiri, dua gol kemenangan Perlis dijaringkan oleh Chipeta dan Che Zambil Ahmad

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4dw8KhNRZ
© Utusan Melayu (M) Bhd