Jumaat, 20 Oktober 2017

Pemain bek Perlis akhiri zaman bujang



ARKIB : 24/12/2007

TASEK GELUGOR – Pemain pertahanan skuad bola sepak Perlis, Abdul Aziz Ismail menamatkan zaman bujangnya apabila melangsungkan perkahwinan dengan wanita pilihannya, Aszarina Alwi dalam satu majlis di Permatang Berangan, semalam.

Abdul Aziz, 27, yang juga bekas pemain skuad Pulau Pinang mengadakan majlis pernikahannya di rumah pengantin perempuan dekat Temiang Jaya, Seremban, Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Abdul Aziz yang kelihatan ceria sepanjang majlis itu memberitahu, dia belum sempat untuk bercuti berbulan madu kerana turun membantu pasukannya menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Selayang (semalam).

Katanya, dia amat bersyukur kerana bertemu dengan wanita idaman.

‘‘Pahit maung rumah tangga akan kami harungi bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Aszarina, 24, memberitahu, dia mengenali Abdul Aziz sejak lima tahun lalu dan mula mengenali hati budi masing-masing kira-kira dua tahun lepas.

“Saya mula mengenalinya ketika Pulau Pinang beraksi di Seremban,” katanya yang merupakan penari Intan dan Studio (IDS) di Kuala Lumpur.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4w3l3IJLj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 17 Oktober 2017

Perlis pertahan kejuaraan Piala Sumbangsih



ARKIB : 19/11/2007
 
Pemain dan pegawai pasukan Perlis bergembira meraikan kejayaan mereka merangkul Piala Sumbangsih selepas menewaskan Kedah 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Perlis merangkul Piala Sumbangsih buat tahun kedua berturut-turut selepas menewaskan Kedah menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.

Selepas terikat tanpa jaringan dalam 90 minit permainan sebenar, Perlis mula meraikan kemenangan sebaik sepakan penalti terakhir Kedah oleh Victor Andrag terkena palang sebelum terkeluar.

Ketika itu kedudukan terikat 4-4 hasil daripada tujuh sepakan penalti yang diambil kedua-dua pasukan.

Kejayaan itu mengulangi pencapaian Perlis musim lalu yang merangkul piala sama selepas menewaskan Pahang 2-1.

Perlawanan semalam turut dianggap saingan Liga Super bagi kedua-dua pasukan berkongsi satu mata tanpa mengambil kira penentuan sepakan penalti.

Dalam perlawanan lain, tiga pasukan tuan rumah iaitu Negeri Sembilan, Sarawak dan Pulau Pinang tumbang di gelanggang sendiri.

Negeri Sembilan tewas 0-2 kepada Selangor dalam perlawanan di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi.

Mohd. Amri Yahyah dan R. Surendran muncul penjaring buat Selangor tetapi malang bagi Akmal Rizal Rakhli apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Sarawak pula tunduk kepada pendatang baru Liga Super, Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-4 dalam perlawanan di Stadium Sarawak.

Dua gol Polis disumbang pemain importnya, Hillary Ethesa pada minit ke-30 dan 82 manakala baki dua lagi gol dijaringkan Ahmad Latif Kamaruddin (m-57) dan Mohd. Fadly Kassim (m-70).

Gol tunggal Sarawak pula dijaringkan Jose Louiz Viera pada minit ke-38.

Pulau Pinang pula tunduk 0-2 kepada Pahang dalam perlawanan di Stadium Bandaraya.

Dua gol pasukan pelawat dijaringkan Mohd. Kamal Rodiarjat (m-18) dan penalti Rosdi Talib (m-80).

Hanya dua pasukan tuan rumah yang menang semalam. Perak yang menewaskan DPMM Brunei 2-0 dalam perlawanan di Stadium Perak, Ipoh.

Kedua-dua gol Perak disumbangkan penyerang prolifik, Khalid Jamlus pada minit ke- 4 dan 90.

Johor FC pula bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 2-1 ke atas Terengganu dalam perlawanan di Stadium Pasir Gudang.

Fabian Flor membuka jaringan buat Terengganu seawal minit ke-3 sebelum penyerang Johor FC, Walter Ariel Silva menjaringkan gol penyamaan minit ke-55 dan gol kemenangan pada minit ke-90.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4vpSflf3a
© Utusan Melayu (M) Bhd

Chipeta, Soley kukuh Perlis



ARKIB : 16/11/2007

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED 
KANGAR – Tonggak utama, Phillimon Chipeta adalah antara lapan pemain lama dikekalkan dalam pasukan Singa Utara bagi musim baru Liga Malaysia (Liga M) yang akan bermula minggu ini.

Selain itu, sebanyak 18 lagi pemain menjadi anggota baru manakala dua bekas pemain dimasukkan semula untuk memantapkan lagi pasukan Singa Utara dalam berdepan dengan musim baru bermula Sabtu ini.

Seorang lagi pemain import yang dikekalkan ialah Kabwe Kamuzati.

Menyertai Kamuzati pada musim baru ialah Mohd. Fauzi Nan, Mohd. Reithuddin Emran, Mohamad Khairul Anuar Ramli, Azi Shahril, Mohd. Ridzuan Othman dan Azmizi Azmi.

Dua bekas pemain yang beraksi semula ke dalam pasukan Perlis adalah pemain yang pernah mencetuskan kontroversi berhubung kos perpindahannya satu ketika dahulu iaitu Yusri Che Lah serta Es Lizuan Zahid Amir.

Barisan pemain Singa Utara kali ini dilihat cukup segar dan mantap untuk merampas kembali Piala Malaysia, Piala FA dan kejuaraan Liga Super dengan kebanyakannya adalah pemain muda.

Mereka antara lain adalah Amar Rohidan, Rohisham Che Idrus dan Mohd. Hafis Mohd. Fauzi.

Membantu

Kemasukan K. Soley, bekas pemain Kedah, juga diharap akan dapat membantu Perlis ‘mengaut’ mata kemenangan pertama menentang Kedah pada perlawanan Piala Sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah, Ahad ini.

Ia akan membuka tirai kempen Liga Malaysia musim 2007/08.

Kesemua mereka sah menjadi ‘keluarga’ Singa Utara selepas menandatangani kontrak pemain pada satu majlis yang diadakan, semalam.

Majlis menandatangani kontrak itu disaksikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Menteri Besar Perlis.

Shahidan pada sidang akhbar, semalam menjelaskan bahawa PFA juga sedang mencari seorang lagi pemain import untuk digandingkan bersama Kamuzati dan Chipeta selepas pihaknya menggugurkan penyerang berbisa, zacharia Simukonda.

‘‘Barisan kali ini nampak muda dan kita berharap akan menjadi pasukan terkuat untuk merampas semula semua piala nanti.

‘‘Namun apa yang penting, semua pemain perlu ada semangat juang yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, pada majlis yang sama, PFA turut menandatangani perjanjian bersama Kika (M) Sdn. Bhd. yang akan menaja kelengkapan sukan termasuk jersi kepada pemain Singa Utara.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vpJKi9BE
© Utusan Melayu (M) Bhd