Rabu, 14 Disember 2016

Kehadiran Paidiya lengkapkan serangan Perlis

ARKIB : 22/01/2000
MASALAH ketandusan penyerang yang dihadapi Perlis sejak beberapa musim lalu berakhir apabila dua bekas penyerang kebangsaan, S. Paidiya Rao dan G. Shanmugan bersetuju menyarung jersi Perlis.

Kedua-dua pemain itu adalah antara 16 pemain yang telah disahkan penyertaan mereka untuk membawa cabaran skuad "Singa Utara" itu pada kempen Liga Perdana akan datang, kata penolong pengurus Abdul Jamil Saad, semalam.

"Kami lega kerana mereka menjadi pelengkap pada barisan penyerang yang sebelum ini diperkuatkan oleh Hairil Zamri Abd Rashid dan Samsurin Abd Rahman," katanya di Kangar semalam.

Paidiya dari Kuala Lumpur dan Shanmugan (Pulau Pinang) telah mengikuti latihan pemilihan bersama 60 pemain lain sejak 17 Januari lalu dan mereka adalah antara tiga pemain baru yang dipilih. Seorang lagi ialah bekas penjaga gol Kedah, S. Ragesh.

Menurutnya Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) turut menerima semula 13 pemain musim lalu ke dalam skuad.

Mereka ialah Mohd. Nazaruddin Md Zain, M. Balan, Rozmin Musa, Muhamad Khaironnisam Sahabudin, Virak a/l Run, Rosman Hussin, Ridzuan Abu Shah, Manzoor Azwira Abdul Wahid, Rushamazi Hamid, Suhairi Abdul Karim, V. Yogeswaran, Hairil Zamri Abd Rashid dan Samsurin Abdul Rahman.

Abdul Jamil yang dipilih semula sebagai penolong pengurus pasukan berkata, PFA akan mengenalpasti sembilan lagi pemain untuk diserapkan pada skuad Singa Utara.

"Kami akan melihat potensi pemain tempatan yang menyertai skuad Piala Emas Raja-Raja," katanya.

Perlis menjadi tuan rumah pada perlawanan Zon A di Stadium Utama di sini pada 28 hingga 30 Januari ini. Tiga lagi pasukan dalam zon itu ialah Kedah, Pulau Pinang dan Melaka.

Sementara itu, PFA yang bermesyuarat kelmarin mengekalkan Dr. Ashaari Mohamad selaku pengurus pasukan manakala Tajuddin Noor sebagai jurulatih. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4StK1s65f © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan