Khamis, 15 Disember 2016

Singa Utara sedia mengaum

ARKIB : 24/02/2000
 
SHAHIDAN (tengah) bersama para pegawai pengurusan serta pemain Liga Malaysia Perlis selepas majlis menandatangani kontrak di Kangar, semalam.

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim menaruh keyakinan ngauman skuad Singa Utara akan kembali menggerunkan musuh dalam persaingan Liga Malaysia musim ini yang bermula April depan.

Beliau percaya pemain-pemain muda yang dipilih mewakili Perlis mempunyai semangat juang yang lebih kental memandangkan persaingan musim ini lebih mencabar apabila terpaksa berhadapan dengan pasukan-pasukan elit dalam Perdana Satu.

Menurutnya, walaupun masih berusia muda, tetapi pemain-pemain itu mempunyai potensi untuk meningkatkan prestasi persembahan mereka di bawah jurulatih berpengalaman, Tajudin Nor.

Selain itu, katanya, pemain-pemain terbabit juga diingatkan supaya lebih berdisiplin dan taat setia kepada pasukan demi memastikan Perlis muncul sebagai pasukan yang disegani.

''Sasaran Perlis pada musim ini sekurang-kurangnya merangkul satu piala daripada tiga piala yang dipertandingkan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani kontrak pemain-pemain Liga-M Tahun 2000 anjuran PFA di Kangar, malam semalam.

Pada majlis itu sebanyak 23 pemain termasuk beberapa pemain baru Perlis menandatangani kontrak tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah pengurus pasukan, Dr. Ashaari Mohamad dan jurulatih, Tajudin Nor.

Shahidan yang juga Menteri Besar Perlis berkata, pemain-pemain yang menerima gaji daripada PFA itu sepatutnya bermain bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan kepada pasukan dalam setiap perlawanan.

''Mereka yang gagal bermain bersungguh-sungguh dalam perlawanan tertentu boleh dianggap sebagai 'pemain rasuah' apabila tahap permainan yang ditunjukkan tidak memadai dengan bayaran gaji yang diterima,'' katanya.

Beliau juga mengharapkan pemain-pemain Singa Utara dapat mempamerkan persembahan yang mantap sejak awal musim bagi membangkitkan semangat mereka dalam mengharungi perlawanan- perlawanan seterusnya pada Liga Malaysia itu.

Perlawanan pertama Perlis yang dijadualkan ialah menentang Selangor di Stadium Shah Alam pada 15 April depan.

Oleh: ZAID MOHD. NOOR


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SxGiF7E6 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan