Jumaat, 16 Disember 2016

Farouk, Feriza bakal mantapkan Perlis

ARKIB : 01/03/2000
KEHADIRAN pasangan dua beradik Mohd. Farouk dan Mohd. Feriza Ismail dijangka dapat memantapkan skuad Singa Utara dalam persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia April ini, lapor ZAID MOHD. NOOR.

Pengurus pasukan Perlis, Dr. Ashaari Mohamad berkata, beliau berpuas hati apabila dua adik-beradik itu menunjukkan keserasian yang agak baik dengan pemain-pemain lain walaupun masih baru dalam pasukan Perlis.

Menurutnya, pengalaman dan tenaga bekas pemain tengah dari Kedah itu amat diperlukan bagi membentuk sebuah pasukan yang kuat dan disegani pada musim ini.

Pada perlawanan persahabatan menentang Telekom Melaka di Stadium Utama, Kangar, petang kelmarin, Mohd. Farouk dan Mohd. Fariza beraksi dengan baik walaupun mereka diturunkan pada separuh masa kedua.

''Persembahan Mohd. Farouk dan Mohd. Fariza bersama skuaq Singa Utara diharapkan lebih terserlah menjelang persaingan Liga Malaysia nanti,'' katanya kepada Sukan Utusan, semalam.

Keputusan perlawanan persahabatan antara Perlis dan Telekom Melaka itu ialah 2-2.

Gol-gol Perlis dijaringkan oleh Rushamazi Abd. Hamid dan Suhairi Abd. Karim pada minit ke-42 dan 80 manakala gol Telekom Melaka pula disumbangkan oleh Mohamad Hanif dan D. Chandra pada minit ke-68 dan 90.

Dr. Ashaari berkata, persembahan pemain baru lain seperti S. Paidiyarau, G. Shanmugam, Norul Hayat dan Mohd. Zaidi Mat Ail juga membanggakan walaupun masih perlu dipertingkatkan.

Menurutnya, beliau yakin Tajudin Nor yang masih diberi kepercayaan untuk berkhidmat dengan pasukan Perlis pada musim ini sudah mempunyai ilham terbaik berdasarkan pemain-pemain yang ada untuk membentuk sebuah pasukan mantap.

Selain itu, katanya, pasukan Perlis akan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan selepas ini dengan pasukan Liga Malaysia lain.

Jelasnya, melalui perlawanan persahabatan itu Tajudin dapat menilai persembahan anak-anak buah dan memperbaiki kelemahan sebelum beraksi pada Liga Malaysia


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4SzaGHvBv © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan