Ahad, 11 Disember 2016

Singa Utara ada lagi halangan

ARKIB : 04/11/1999
KEMAMPUAN menyekat skuad handalan bukan penamat aksi getir buat Perlis yang membayangkan dua lagi saingan sengit sebelum melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Jurulatih Tajuddin Nor memberitahu, ini kerana pasukan lain turut mengintai peluang separuh akhir kerana persaingan masih lagi terbuka.

''Kemenangan 1-0 ke atas Pulau Pinang belum cukup, Perlis masih perlu bekerja keras kerana lawan bakal dihadapi ialah Terengganu dan Perak,'' kata beliau sebaik tamat perlawanan di antara skuad ''Singa Utara'' dan ''Harimau Kumbang'' di Stadium Bandaraya, kelmarin.

Kemenangan Perlis menerusi jaringan Shamsurin Abdul Rahman pada minit ke-79 meletakkan skuad ''Singa Utara'' sebagai pendahulu kumpulan A dengan 15 mata.

Pertarungan dengan Terengganu pasti sengit, apatah lagi Perlis masih terasa kehilangan pemain pertahanan, Suhairi Abdul Karim yang mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, kata beliau, barisan simpanannya seperti Sabri Abdul Rani dan M. Balan mampu menggalas tugas untuk mengawal benteng Perlis kerana kedua-duanya berpengalaman.

Mengenai perlawanan kelmarin, Tajuddin berkata, dia tidak menyangka Perlis yang menerima tekanan hebat di gelanggang lawan mampu memperoleh jaringan.

''Paling tidak, saya ingatkan permainan mendapatkan keputusan seri untuk penentuan sepakan penalti tetapi itulah bola sepak, kadangkala pasukan yang kurang menyerang mampu mencipta kemenangan,'' kata beliau.

Tajuddin memuji Shamsurin yang menggunakan pengalamannya untuk memanfaatkan peluang menerusi jaringan minit ke-79 sehingga menyukarkan lawan menyamakan kedudukan berdasarkan tempoh terlalu singkat.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4SaeAQHVh © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan