Ahad, 26 Mac 2017

Perlis harapkan gandingan pemain bawa tuah



ARKIB : 11/01/2003
PEMAIN-PEMAIN Perlis menjalani latihan kecergasan di Stadium Utama Kangar semalam. - Gambar NIDZUWAN ZAINAL ABIDIN.
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
PERSEMBAHAN terbaik dan muncul sebagai pasukan yang disegani menjadi dua sasaran utama Perlis bagi menghadapi musim baru bola sepak Liga Perdana yang dijadual bermula 8 Februari ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau percaya dengan adunan tenaga pemain muda dan lama, pasukan itu mampu menghasilkan pencapaian terbaik musim ini.

Katanya, para pemain seharusnya bersedia untuk mengatasi pencapaian mereka musim lalu apabila gagal melayakkkan diri dalam saingan Piala Malaysia.

``Mereka harus bersedia dan menampilkan persembahan yang lebih baik berbanding musim lalu. Persembahan buruk hanya mengundang cemuhan peminat,'' katanya.

Shahidan yang juga Menteri Besar Perlis berkata demikian pada majlis menandatangani kontrak pemain pasukan itu bagi musim 2003 di Kuala Perlis, kelmarin.

Pada majlis itu, seramai 25 pemain termasuk ketua pasukan kebangsaan, Tengku Hazman Raja Hassan yang beraksi dalam Piala Tiger baru-baru ini menandatangani kontrak untuk mewakili Perlis.

Selain Tengku Hazman, 26, Perlis membariskan gabungan pemain lama dan baru termasuk Mohd. Khaironnisam Sahabudin Hussain, Hairil Zamri Abdul Rashid, Mohd. Feriza Ismail, Cik Zambil Ahmad, Adrien Jurad Chamrong, Rafiz Abu Bakar dan Rosli Md. Derus.

Turut mewakili Perlis musim ini termasuklah bekas pemain kebangsaan Zambia, Phillimon Chipieta, 22, yang akan menguatkan lagi jentera serangan pasukan Singa Utara itu.

Beberapa muka baru yang mewakili skuad Piala Presiden Perlis turut tersenarai.

Mereka ialah Abdul Hafif Abdul Nasir, Azizi Mat Rose, Khairul Amir Hamid, Amirul Jufri Abdul Jalil, Azi Shahril Azmi dan Syed Amir Shaffiq Syed Zainal Abidin.

Sementara itu, Shahidan mengumumkan barisan pengurusan skuad Perlis untuk tahun ini.

Adzmi Saad akan bertindak selaku pengurus dan beliau akan dibantu oleh Jamil Saad selaku penolong pengurus sementara Norizan Bakar bertindak selaku ketua jurulatih.

Sementara itu, dalam ujian masa yang adakan di Stadium Utama Kangar semalam, kesemua 25 pemain skuad itu berjaya melepasi ujian masa kecergasan yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Norizan berkata, kesemua pemain berjaya mencatatkan larian sejauh 2.8 kilometer dalam tempoh 12 minit sebagaimana yang disyaratkan oleh FAM.

``Bermula hari ini sehingga 22 Januari, Perlis akan mengadakan perlawanan ujian menentang Telekom Malaysia, Public Bank, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) dan Negeri Sembilan di Kuala Lumpur dalam rangka memperkemaskan barisan skuad,'' kata beliau

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cUh9bAJE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan