Rabu, 15 Mac 2017

Tajudin belum tentukan gandingan



ARKIB : 23/02/2001
JURULATIH Perlis, Tajudin Nor belum menentukan gandingan utama daripada empat penyerang yang disenaraikan dalam skuad Perlis bagi menghadapi saingan bola sepak Liga Perdana musim ini.

Empat penyerang berpengalaman yang tersenarai itu ialah Che Zambil Ahmad, Hairil Zamri Rashid, S. Paidiya Rau dan G. Shanmugam.

Dalam beberapa siri perlawanan persahabatan termasuk kejohanan empat penjuru anjuran Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang baru-baru ini, gandingan yang ditunjukkan antara pemain berkenaan agak kurang memberangsangkan.

Tajudin mengakui beliau terpaksa mengambil sedikit masa untuk memilih pemain penyerang untuk mengelak kesilapan ketika melakukan percaturan sehingga membawa kesan buruk terhadap pasukan itu.

``Saya masih terus cuba menggandingkan antara pemain- pemain di barisan serangan itu sebelum membuat pilihan terbaik,'' katanya selepas perlawanan persahabatan antara Perlis dan Kedah Ansell di Stadium Utama Kangar, kelmarin.

Perlis menewaskan Kedah Ansell 3-0 menerusi jaringan S. Paidiya Rau pada minit ke-40, Badrul Afzan Razali (50) dan Manzoor Azwira Abd. Wahid minit ke-54.

Bagaimanapun Tajudin yakin beliau akan menemui gandingan penyerang terbaik yang bakal menggalas cabaran jentera serangan Perlis musim ini.

Pada masa yang sama, kesemua penyerang itu didapati gagal melakukan tindakan penyudah yang tepat walaupun mendapat peluang terbuka.

``Kelemahan-kelemahan di bahagian serangan itu akan segera diperbaiki menjelang saingan Liga Perdan Satu dan Piala FA pada bulan depan,'' ujarnya.

Bagaimanapun beliau berpuas hati dengan kesungguhan barisan penyerang meningkatkan prestasi dalam latihan dan perlawanan persahabatan sebelum ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bPQKSroh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan