Selasa, 14 Mac 2017

Perlis atur perlawanan persahabatan

ARKIB : 16/01/2001
Pemain yang gagal mempamerkan aksi yang memuaskan dalam perlawanan persahabatan tersebut akan diketepikan termasuk di kalangan pemain-pemain berpengalaman yang telah menyatakan kesediaan menyarung jersi Perlis musim ini.

Pengurusnya, Dr. Ashaari Mohamad berkata, Perlis hanya akan menyenaraikan pemain-pemain yang terbaik dan menunjukkan komitmen yang tinggi sahaja akan diberi peluang mengisi barisan utama pasukan itu.

Katanya, langkah tersebut diambil untuk memastikan Perlis mampu meraih kejayaan yang cemerlang pada musim ini.

"Pemain-pemain perlu menunjukkan prestasi yang tinggi serta kesungguhan dalam setiap perlawanan persahabatan itu sebelum layak disenaraikan dalam pasukan Singa Utara,'' katanya di Kangar semalam.

Perlawanan persahabatan yang telah ditetapkan ialah menentang pasukan Piala Emas Raja-Raja Pulau Pinang di Stadium Utama Kangar pada 20 Januari ini.

Sementara itu perlawanan persahabatan lain yang dirancang ialah perlawanan dengan pasukan JKR Kedah yang menjuarai Piala FAM tahun lalu dan pasukan Liga Perdana Kedah serta menyertai kejohanan empat penjuru sekiranya dijemput oleh Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang.

Pada masa ini sekurang-kurangnya lima pemain berpengalaman dan 13 bekas pemain musim lalu turun menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih, Tajudin Nor sejak seminggu lalu.

Turut mengikuti latihan itu ialah empat pemain muda tempatan dari pasukan Liga Simpanan.

Pemain berpengalaman yang sebelum ini mengesahkan kesediaan beraksi bersama Perlis pada musim ini iaitu pemain tengah kebangsaan, Anuar Jusoh, penyerang kebangsaan, Che Zambil Ahmad dan bekas pemain pertahanan skuad Olimpik lalu, Mohd. Sofi Mat Isa.

Pemain lain ialah bekas pemain Terengganu, Badrul Afzan Razali dan Mohd. Zulfakri Ashaari.

Dr. Ashaari percaya Tajudin yang mempunyai pengalaman dalam bidang kejurulatihan mampu memilih pemain-pemain yang terbaik untuk memberi cabaran dalam saingan Liga Perdana nanti.

Pada masa yang sama, katanya, jurulatih itu juga diharap dapat membentuk sebuah pasukan yang terkuat untuk memastikan Perlis mampu mencipta sejarah kegemilangan pada musim ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4bLdshj22 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan