Khamis, 30 Mac 2017

Singa Utara makin mengancam



ARKIB : 03/04/2003
Oleh Zainu'l Azhar Ash'ari

DARIPADA sebuah skuad bola sepak yang ``tersorok'' nun di utara, Perlis kini semakin dihormati sebagai sebuah pasukan digeruni, segarang gelarannya Singa Utara dalam Liga Perdana Satu.

Sejak kebelakangan ini, Singa Utara tidak menoleh ke belakang lagi sekalipun tanpa memenangi gelaran dalam Liga Malaysia tetapi tidak pernah pula tersingkir ke Liga Perdana Dua.

Malah, aksi awalnya dalam Liga Perdana Satu musim ini cukup memberangsangkan termasuk keupayaan menewaskan juara Piala Malaysia 2002 Selangor 1-0 di Stadium Utama, Kangar, kelmarin.

Kejayaan itu meletakkan Singa Utara di tangga kedua liga dengan mengumpul 16 mata selepas beraksi dalam tujuh perlawanan.

Menerusi jentera pemusnahnya, tonggak import Phillemon Chipeta yang menghasilkan jaringan minit ke-70 untuk memastikan tiga mata penuh milik Perlis, pasti kian meresahkan Perak.

Walaupun Perak masih menjadi pendahulu liga dengan kelebihan dua mata daripada Perlis, pasukan Seladang telah beraksi dalam lapan perlawanan.

Ini bermakna, peluang terbuka untuk Perlis memintas kedudukan Perak jika kelebihan satu lagi perlawanan dimanfaatkan menerusi kemenangan untuk mendahului dengan satu mata.

Hajat tersebut pastinya tidak sukar buat Perlis kerana mempunyai penyerang berwibawa Chipeta yang dibantu oleh pemain kebangsaan Tengku Hazman Raja Hassan dan Mohamad Khaironisam Shahabudin.

Berbanding pula nasib bekas jurulatih Singa Utara, Tajudin Nor yang kini mengendalikan Terengganu untuk bangkit mencari kedudukan lebih selesa.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cokh8don
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan