Jumaat, 31 Mac 2017

Skuad Perlis buat rombakan



ARKIB : 29/05/2003
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR

PERLIS membuat rombakan mengejut pada perlawanan akhir bola sepak Piala FA menentang Negeri Sembilan Sabtu ini apabila memasukkan awang import dari Sierra Leone, Lamime Conte Jr. menggantikan Kelvin Musungu yang tidak dapat bermain kerana mengalami kecederaan lutut yang serius.

Pengurus pasukan Singa Utara, Adzmi Saad berkata, kemasukan pemain berusia 27 tahun yang akan digandingkan dengan seorang lagi pemain Zambia, Phillemon Chipieta, diharap dapat menguatkan jentera serangan Perlis berikutan ketiadaan Musungu.

Katanya, bekas pemain kebangsaan Sierra Leone dan kelab Emiriah Arab Bersatu, Al-Wahda itu telah pun menerima Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dan melepasi ujian kecergasan yang diadakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

``Perlis terpaksa merehatkan sementara Musungu yang masih cedera dan dia akan digantikan dengan Conte Jr.,'' katanya ketika dihubungi di Kangar, semalam.

Kemasukan pemain baru itu katanya, tidak mendatangkan masalah kerana Perlis telah menarik pendaftaran Musungu sebagai pemain skuad itu daripada rekod FAM yang secara tidak langsung membolehkan Conte Jr. melengkapi dua kuota pemain import yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna Musungu digugurkan dari skuad Singa Utara kerana ia masih pemain Perlis berdasarkan kontrak.

Musungu, 19, setakat ini telah menjaringkan empat gol untuk pasukannya termasuk dua gol ketika seri menentang Sarawak 2-2 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Utama Kangar, 26 April lalu.

Pemain muda itu sejak kebelakangan ini sering dijadikan sandaran Perlis berikutan rakannya, Chipieta yang dikawal ketat dalam setiap perlawanan.

Menurut Adzmi, keputusan untuk memasukkan Conte Jr. itu terpaksa dibuat kerana perlawanan Sabtu ini penting kepada kedua-dua pasukan yang pertama kali layak ke akhir Piala FA sejak dipertandingkan tahun 1990.

``Kecederaan lutut kanan yang dialaminya (Musungu) akibat perlanggaran ketika latihan tidak lama dulu menyebabkan mutu persembahan yang mampu diberikan oleh pemain itu hanya antara 70 hingga 80 peratus.

``Bagi Perlis, dia perlu direhatkan sementara bagi membolehkan beraksi 100 peratus dan untuk perlawanan akhir ini kita terpaksa gunakan khidmat pemain lain sebagai ganti,'' jelasnya.

Sambil menghormati pasukan Negeri Sembilan yang dibarisi ramai pemain kebangsaan dan skuad Olimpik, Adzmi berkata, semua pemain diarah supaya tidak memandang rendah kemampuan skuad Rusa dan bermain bermati-matian pada perlawanan itu nanti.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cx52DaDy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan