Rabu, 16 November 2016

Barisan muda Perlis sedia sahut cabaran

ARKIB : 18/03/1999
JURULATIH Perlis, Tajudin Nor berkata, biarpun kurang pengalaman, barisan muda skuad bimbingannya sudah bersedia untuk mengembalikan keyakinan penyokong Singa Utara pada bola sepak Liga Perdana Dua, musim ini, lapor JOHARI SHAWAL.

Katanya, berdasarkan dua aksi dalam kempen Piala FA, jurulatih itu percaya Perlis mampu kembali ke Perdana Satu jika semua pemain terus memberikan komitmen serupa terhadap pasukan.

''Biarpun pasukan kita dibarisi sebahagian besar pemain muda musim ini, kesungguhan untuk mengembalikan kepercayaan peminat begitu tinggi.

''Saya percaya dengan semangat seperti itu, Perlis musim ini mampu kembali ke landasan asalnya,'' katanya selepas perlawanan kedua pusingan pertama Piala FA menentang Tentera di Stadium KLFA, Cheras, kelmarin.

Perlis layak ke pusingan kedua selepas menang agregat 3-1 apabila perlawanan di Cheras berkesudahan seri tanpa jaringan.

Mengenai perlawanan Piala FA seterusnya, Tajudin mengakui pertemuan dengan naib juara musim lalu, Sabah pada perlawanan pertama pusingan kedua di Stadium Likas, 20 April depan amat perit.

''Kita terpaksa bersandarkan harapan kepada barisan muda kita yang kurang pengalaman selain bantuan tiga pemain lama... dan saya percaya semangat pemain mampu mengatasi segala-galanya,'' ujarnya.

Tajudin turut melahirkan puas hati terhadap persembahan anak-anak buahnya ketika mengekang Tentera, kelmarin dan menyifatkan Perlis mampu pergi jauh pada kempen musim ini.

Singa Utara membuat kejutan pada musim 1997 di bawah bimbingan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim apabila mara ke separuh akhir Piala Malaysia dan berada antara lima pasukan terbaik dalam Perdana Satu.

Begitu pun, penghijrahan Abdul Rahman ke Terengganu musim lalu menyaksikan Perlis yang dibimbing pula jurulatih Bakri Ibni gagal mengulangi kecemerlangan sehingga terjerumus ke Perdana Dua, musim ini.

Tajudin, bekas jurulatih Melaka musim lalu, kini memikul tugas berat untuk membawa semula Singa Utara ke Perdana Satu, tetapi terpaksa menghadapi barisan pemain yang serba baru.

''Perlis kini hanya diperkuatkan dengan empat pemain lama, manakala sebahagian lagi pemain muda. Tentunya saya menemui sedikit kesukaran untuk membentuk pasukan ini,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4QAfVwnwc © Utusan Melayu (M) Bhd

Singa Utara sudah dapat keyakinan baru

ARKIB : 12/03/1999
PERLIS menganggap kejayaan pertama pada perlawanan pembukaan bola sepak Piala FA, Selasa lalu memberikan keyakinan baru bagi menghadapi saingan yang lebih mencabar dalam Perdana Dua yang bermula 19 Mac ini, lapor ZAID MOHD. NOOR.

Jurulatih pasukan Perlis, Tajudin Nor berkata, semangat para pemain yang dibimbingnya kini semakin tinggi selepas menewaskan Tentera 3-1 pada pertemuan pertama, Selasa lalu.

''Kemenangan itu menjadi suntikan baru kepada pemain-pemain Perlis untuk berjuang dalam Liga Malaysia dan Piala FA,'' ujarnya.

Menurut Tajudin, beliau mengharapkan barisan pemain muda Perlis dapat meningkatkan prestasi mereka untuk memastikan kemenangan pada perlawanan berikutnya selepas ini.

Pada masa yang sama, Tajudin menyeru para pemain utama agar berusaha mengelakkan kecederaan serius.

Beliau berkata, kecederaan mungkin hanya menjejaskan rentak dan strategi yang diatur dalam sesi latihan sebelum ini.

''Saya hanya mengharapkan agar kesebelasan pemain Perlis dapat beraksi dalam setiap perlawanan Liga Malaysia dan Piala FA tanpa mengalami kecederaan serius.

''Kecederaan pemain terbabit boleh menjejaskan persembahan seperti yang telah diatur dalam latihan sebelum ini,'' katanya ketika ditemui Sukan Utusan di Stadium Utama Kangar, semalam.

Tajudin yang juga bekas jurulatih Pahang dan Melaka berkata, beliau akan memastikan pemain-pemain simpanan Singa Utara itu mempunyai prestasi yang tidak kurang hebatnya dengan para pemain utama.

Sehubungan itu, jelasnya, beliau akan turut memberi penekanan kepada pemain-pemain simpanan dalam latihan supaya jarak dan tahap prestasi mereka tidak jauh daripada pemain- pemain utama lain.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4QA4NuaxR © Utusan Melayu (M) Bhd

Singa Utara mula tunjuk taring

ARKIB : 11/03/1999
SINGA Utara mula menunjukkan sinar taringnya apabila berjaya memamah kekentalan Tentera 3-1 dalam perlawanan pertama Piala FA di Stadium Utama Kangar malam semalam, lapor ZAID MOHD. NOOR.

Pemain-pemain muda Perlis telah menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun mereka ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua Perlis mengasak habis-habisan kubu Tentera dan berjaya menjaring tiga gol untuk mencipta kemenangan bergaya.

Gol-gol Perlis dijaringkan oleh V. Yogeswaran minit ke-50, Amali Amir minit ke-81 dan Mohd. Nazreen Tee Abdullah minit ke-85 manakala jaringan tunggal Tentera oleh Mohd. Rosdi Tahir minit ke-24.

Kemenangan itu tentunya akan membakar semangat pemain Perlis untuk beraksi lebih cemerlang dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA serta Liga Malaysia.

Ini kerana berbekalkan dua jaringan masih tidak mencukupi untuk berhadapan dengan Tentera pada perlawanan kedua di gelanggang lawan pada 16 Mac ini.

Bagaimanapun kemenangan pertama itu memberi amaran awal kepada pasukan-pasukan lain dalam Piala FA dan Liga Malaysia bahawa Perlis yang dibarisi pemain-pemain muda tidak mudah untuk diperbudak-budakkan.

Para peminat setia skuad Perlis juga didapati semakin puas apabila menyaksikan sentuhan anak-anak didik Tajudin Nor.

Sementara itu, Tajudin juga boleh menarik nafas lega apabila anak-anak didiknya semakin matang ketika beraksi malam semalam berbanding beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini.

Bekas jurulatih Pahang dan Melaka itu didapati cekap untuk memperbaiki kelemahan anak didiknya terutamanya di posisi serangan.

Malah beliau masih mempunyai masa yang panjang untuk menajamkan taring pemain-pemain serangan menjelang Liga Malaysia nanti.

Pemain-pemain Perlis seperti Yusri Che Lah, Rozmin Musa, Mohd. Nazarudin Mohd. Zain, Mohd. Fuad Mat Noor dan Mohd. Nazreen Tee Abdullah semakin lincah dan berbisa.

Sementara barisan pertahanan yang diketuai oleh Suhairi Abd. Karim semakin kental untuk menangkis serangan musuh.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Q9wGvg49 © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 15 November 2016

Tajudin ada ramuan mantapkan Perlis

ARKIB : 04/03/1999
''SAYA mempunyai ramuan tersendiri untuk membentuk skuad Singa Utara yang benar-benar mantap sebagai persiapan menghadapi Liga Malaysia musim ini walaupun mempunyai kesebelasan pemain yang masih muda,'' kata jurulatih Perlis, Tajudin Nor.

Beliau berkata, ramuan itu akan dicurahkan sepenuhnya dalam latihan selepas ini untuk memastikan anak-anak didiknya betul-betul bersedia berhadapan dengan musuh pada Liga Malaysia nanti.

Dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini, jelasnya, beliau telah mengukur kelemahan-kelemahan di kalangan pemain Perlis serta mempunyai strategi untuk memperbaikinya.

''Masih terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap persembahan pemain memandangkan skuad ini baru dibentuk kira-kira dua bulan lalu serta berkesempatan beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan,'' ujarnya.

Sehubungan itu, Tajudin yang merupakan bekas jurulatih Pahang dan Melaka menyatakan bahawa beliau memerlukan sedikit masa lagi untuk membentuk sebuah pasukan yang mampu memberi cabaran pada Liga Malaysia nanti.

Beliau yang didapati masih resah terhadap kelemahan di bahagian serangan berkata, perhatian terpaksa diberikan untuk meningkatkan kekuatan jentera serangan dalam latihan.

Menurutnya, pemain serangan seperti Fuad Mohd. Noor, Mohd. Nazreen Tee Abdullah, Hairil Zamri Rashid dan Ku Hasnol Farid Ku Abdul Rahman masih mempunyai masa dan peluang untuk meningkatkan prestasi masing-masing.

''Seperti yang saya jelaskan, saya mempunyai ramuan yang bukan sahaja untuk memantapkan di bahagian serangan, tetapi juga pada keseluruhan posisi,'' tambahnya.

Beliau menambah, sentuhan sebenar para pemain muda Perlis akan dapat dilihat apabila mereka beraksi pada Liga Malaysia nanti.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Q4drk9OC © Utusan Melayu (M) Bhd

Ilham Tajudin boleh tajamkan taring Singa

ARKIB : 03/03/1999
JURULATIH Perlis, Tajudin Nor perlu mencari ilham yang lebih berkesan bagi menajamkan taring skuad Singa Utara sebagai persediaan untuk berhadapan dengan musuh dalam perlawanan Liga Malaysia dan Piala FA yang semakin hampir.

Kekalahan berturut-turut dalam empat perlawanan persahabatan sebelum ini meresahkan para peminat bola sepak apabila anak-anak didik bekas jurulatih Pahang itu gagal beraksi cemerlang seperti yang diharapkan.

Perlis tewas menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya 0-2 manakala tiga kekalahan lagi di Stadium Utama Kangar ketika berhadapan Negeri Sembilan 0-1, Kelab Home United dari Singapura 3-4 dan sekali lagi kepada Pulau Pinang 1-2.

Walaupun perlawanan persahabatan itu sekadar untuk menguji kecergasan pemain dan bukan mengejar kemenangan tetapi kekalahan berturut-turut itu menunjukkan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki segera oleh Tajudin Nor dan penolong jurulatih Mohd. Ali Osman.

Kelemahan yang paling ketara dalam skuad Singa Utara itu dalam keempat-empat perlawanan persahabatan itu ialah pemain di barisan serangan apabila dilihat masih terkapai-kapai di hadapan gawang lawan.

Pemain di bahagian serangan seperti Fuad Mohd. Noor, Mohd. Nazreen Tee, Hairil Zamri Rashid dan Ku Hasnol Farid Ku Abdul Rahman perlu bekerja keras dan meningkatkan latihan untuk memastikan mereka mampu membuat sentuhan berbisa dalam perlawanan Liga Malaysia dan Fiala FA nanti.

Tajudin perlu mencari formula dan adunan baru untuk memperbaiki kelemahan yang agak ketara di bahagian serangan itu.

Sementara itu, gandingan di bahagian tengah yang membariskan pemain tengah kebangsaan, Yusri Che Lah, Mohd. Nazaruddin Mohd. Zain, Rozmin Musa, Sabri Rani dan V. Yogeswaran masih perlu mencari keserasian apabila mereka masih gagal mengawal dan mengumpan kemas bola ke arah kawan masing-masing.

Bagaimanapun, Tajudin agak boleh menarik nafas lega apabila memikirkan tugas untuk memperkemaskan bahagian pertahanan kerana pemain-pemain di posisi itu didapati lebih mantap.

Barisan pemain pertahanan diketuai Suhairi Abd. Karim, Amali Amir, Mohamad Shukrin Md. Saad dan M. Balan begitu kukuh mengawal lawan mereka.

Perlis akan menentang Tentera pada pusingan pertama saingan Piala FA di Stadium Utama Kangar pada 9 Mac ini dan pusingan kedua di Kuala Lumpur pada 16 Mac.

Sebelum itu pada 5 Mac, Perlis akan bertemu dengan Kedah bagi merebut Piala Dunhill di Stadium Darulaman, Alor Setar dan perlawanan kedua di Stadium Utama Kangar pada 12 Mac.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4Q4QcYX79 © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 13 November 2016

Singa Utara bersiap tunjuk taring

ARKIB : 18/02/1999
PASUKAN Singa Utara yang menaruh harapan kepada tenaga muda untuk bertempur dalam persaingan Liga Perdana Dua musim ini telah bersiap sedia untuk menunjukkan kehebatan taringnya, lapor ZAID MOHD. NOOR.

Sebelum berhadapan dengan musuh sebenar pada Liga Perdana serta Piala FA, Perlis mengatur beberapa perlawanan persahabatan untuk menguji ketajaman taring setelah patah pada musim lalu.

Penolong Pengurus Perlis, Abdul Jamil Saad berkata, perlawanan persahabatan itu ialah menentang pasukan Liga Perdana Negeri Sembilan pada 24 Februari ini dan sebuah kelab bola sepak terkemuka dari Singapura pada 27 Februari.

Dua perlawanan persahabatan itu akan diadakan di Stadium Utama Kangar bermula pukul 8.45 malam.

Menurutnya, perlawanan persahabatan itu juga penting untuk memudahkan jurulatih, Tajudin Nor membuat penilaian kelemahan pemain muda itu serta memperbaikinya secepat mungkin.

''Langkah itu penting memandangkan Perlis akan berhadapan dengan Tentera pada perlawanan pertama Piala FA pada 2 Mac depan,'' katanya kepada Sukan Utusan di Kangar semalam.

Abdul Jamil memberitahu, menang atau kalah pada perlawanan persahabatan itu bukan menjadi ukuran yang utama tetapi tahap sebenar prestasi permainan seperti yang diharapkan oleh Tajudin selama ini dapat ditunjukkan oleh para pemain.

Selain itu, katanya, perlawanan-perlawanan pendedahan kepada pemain-pemain muda itu perlu memandangkan kebanyakan mereka belum pernah beraksi dalam Liga Perdana sebelum ini.

Sebelum ini, Perlis tunduk 0-2 kepada Pulau Pinang dalam perlawanan persahabatan dengan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4PtUDg2Le © Utusan Melayu (M) Bhd