Sabtu, 8 April 2017

Perlis berwajah baru 2004



ARKIB : 21/11/2003

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR

PASUKAN Perlis akan berwajah baru untuk menghadapi saingan Liga Super 2004 tahun hadapan, dengan menyaksikan kemasukan beberapa pemain terkenal tempatan ter-masuk penamatan kontrak beberapa pemain yang sedia ada dalam pasukan tersebut.

Antara pemain tempatan yang disahkan bakal beraksi untuk Perlis ialah Yusri Che Lah (Perak), Zainuddin Ariffin dan Manzoor Azwira Abdul Wahid (Kedah), Mohd. Khairi Zainuddin dan Fadzil Azhar (Telekom Melaka) serta Mohd. Arman Zairi Mohd. Johan (Kelantan).

Selain itu, kontrak lima pemain Perlis tidak diperbaharui berikutan perpindahan ke negeri, masalah kecederaan serta persembahan yang tidak meyakinkan sepanjang kempen Piala Malaysia musim 2003 lalu.

Pengurus Perlis, Adzmi Saad memberitahu, lima pemain terbabit ialah Wirat Nom, Khairun Haled Masrom, Che Zambil Ahmad, Zulfakri Ashaari dan Suhairi Abdul Karim.

Katanya, Perlis juga sedang mencari dua pemain import iaitu masing-masing seorang dari Zambia, Sierra Leone dan Cameroon, serta dua pemain dari India untuk digandingkan dengan awang import mereka ketika ini, Philemon Chipeta dan Lamin Conteh Jr.

``Lima pemain luar itu akan turun menjalani latihan skuad Perlis pada 1 Disember ini dan jika sesuai kita akan mengikat kontrak dengan seorang atau dua daripada mereka,'' katanya ketika dihubungi di Kangar, semalam.

Perlis merupakan antara lapan pasukan yang akan bersaing dalam Liga Super 2004 selain Kedah, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Pahang dan Public Bank.

Menurut Adzmi, majlis menandatangani kontrak pemain terbabit telah diadakan minggu lalu manakala kontrak pemain import iaitu Chipeta dan Conteh Jr termasuk dua pemain baru akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Beliau berkata, pemain-pemain lain yang masih kekal bersama skuad Singa Utara untuk kempen tahun depan ialah Tengku Hazman Raja Hassan, Khaironnisam Shahabuddin Hussein, Roslee Md Derus serta penjaga gol, Amran Omar.

``Insyaallah dengan gandingan barisan baru Perlis ini, mereka akan memberikan saingan sebaik mungkin dalam menghadapi Liga Super yang akan memulakan perlawanannya pada 17 Januari depan,'' katanya.

Singa Utara mencatat kejayaan manis sepanjang musim bola sepak tempatan 2003 lalu apabila menduduki tempat ketiga Liga Perdana Satu, naib johan Piala FA dan melayakkan diri dalam separuh akhir Piala Malaysia sebelum tewas kepada penyandang juara piala itu, MPPJ Selangor.

Adzmi berkata, kesemua pemain yang memulakan latihan singkat bermula minggu lalu sehingga esok, akan bercuti menyambut Hari Raya Aidilfitri sebelum memulakan kembali latihan pada 1 Disember ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dhtyeRmv
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan