Sabtu, 8 April 2017

Tiga piala sasaran skuad Perlis



ARKIB : 07/01/2004

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR

SHAHIDAN (kiri) menyambut kehadiran pemain import yang baru untuk pasukan Liga Super negeri itu, Joao Bandoch selepas majlis menandatangani kontrak di Kangar, semalam. - Gambar NIDZUWAN ZAINAL ABIDIN.

PERLIS menyimpan azam cukup besar sebaik memulakan musim baru bola sepak tanah air dengan mensasarkan tiga kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, keyakinan tersebut berdasarkan persembahan cemerlang yang ditunjukkan oleh skuad Singa Utara itu pada musim lalu sehingga hampir meraih gelaran Piala Liga, Piala FA dan Piala Malaysia.

``Walaupun gagal meraih sebarang piala pada tahun 2003, Singa Utara merupakan antara pasukan yang semakin disegani lawan berikutan kejayaan layak ke separuh akhir Piala Malaysia, naib juara Piala FA dan tempat ketiga Liga Perdana Satu.

``Saya berharap para pemain Perlis tahun ini akan melakukan sesuatu bagi mencapai kejayaan memenangi ketiga-tiga piala tersebut kerana kita hampir berjaya melakukannya musim lalu, cuma nasib yang tidak menyebelahi kita,'' katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Perlis berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Kontrak Pemain-Pemain Liga Super Perlis 2004 yang berlangsung di Kangar, kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus Pasukan Perlis, Adzmi Saad dan jurulatih pasukan Singa Utara, Norizan Bakar.

Pada majlis itu seramai enam muka baru menandatangani kontrak termasuk dua pemain import Essa Mvondo Basile (Cameroon) dan Joao Bandoch (Brazil).

Sementara, seorang lagi pemain import, iaitu tonggak musim lalu Phillimon Chipeta dari Zambia dijangka menandatangani kontrak tidak lama lagi.

Mereka yang turut mengesahkan untuk menyarung jersi Perlis ialah Yusri Che Lah (Perak), Zainuddin Ariffin dan Manzoor Azwira Abdul Wahid (Kedah), Mohd. Khairi Zainuddin dan Mohd. Faizal Esahar (Telekom Melaka), Es Lizuan Zahid Amir (Bumiputra Commerce) serta dua pemain import baru iaitu

Pemain lain yang turut menandatangani kontrak ialah Tengku Hazman Raja Hassan, Mohamad Kaironnisam Shahabudin Hussein, Adrien Jurad Chamrong, Amran Omar, Mohd, Anis Faron Arsidi, Mohd. Nazaruddin Zain, Rafiz Abu Bakar, Roslee Md. Derus, Feriza Ismail dan Azizi Mat Rose.

Menurut Shahidan, pihaknya yakin gandingan pemain baru dan lama yang membarisi skuad Perlis musim ini dilihat mampu memberi cabaran kepada pasukan-pasukan lain yang bertanding seterusnya mempamerkan aksi cemerlang untuk memartabatkan kejayaan pasukan itu tahun ini.

Selain Perlis, tujuh pasukan yang akan bertanding dalam Liga Super 2004 bermula 15 Februari ini ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Public Bank, Sabah dan Sarawak.

``Saya menyeru semua pemain supaya membuktikan kemampuan mereka dalam kempen bola sepak tidak lama lagi untuk menaikkan imej pasukan Perlis serta mengekalkan tahap persembahan ke peringkat terbaik.

``Kejayaan Perlis bergantung kepada sejauh mana persembahan yang ditunjukkan oleh para pemain dan mereka perlu ingat, bahawa setiap kejayaan yang dicapai oleh pasukan adalah hasil pengorbanan mereka,'' jelasnya.

Shahidan turut mengingatkan para pemain yang mengikat kontrak dengan Perlis supaya menjaga reputasi serta personaliti mereka daripada melakukan kegiatan yang berunsur negatif yang boleh merosakkan imej pasukan bola sepak negeri itu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4djIYdg2V
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan