Ahad, 2 April 2017

Perlis lebih berwaspada



ARKIB : 05/07/2003

KEMENANGAN Melaka ke atas Kelantan 2-1 Selasa lalu, menjadikan Perlis mengambil sikap lebih berhati-hati dalam pertemuan menentang skuad Kancil dalam saingan bola sepak Perdana Satu di Stadium Utama, Kangar, malam ini, lapor YUSRI SAHAT.

Meskipun Melaka merupakan antara pasukan tercorot pada musim ini tetapi Perlis tidak mahu terlalu yakin untuk menewaskan pasukan `kerdil' itu.

Perlis tetap menganggap Melaka sebagai pencabar yang boleh menggugat peluang mereka untuk berada pada kedudukan selesa jika para pemain mengambil sikap sambil lewa.

Penolong Pengurus pasukan, Adzmi Saad berkata, misi menewaskan Melaka amat penting dalam usaha untuk memperoleh tiga matu penuh jika Singa Utara mahu terus menjadi pencabar kepada dua pasukan teratas.

Sehubungan itu, kata beliau, kelebihan bermain di gelanggang sendiri akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Perlis dalam usaha melengkapkan misi untuk mengungguli Perdana Satu.

Beliau amat berharap agar anak-anak buahnya dapat mengekalkan prestasi cemerlang ketika menewaskan Selangor 4-1 di Shah Alam, Selasa lalu.

Harapan pastinya disandarkan kepada penyerang berbisanya, Phillemon Chipieta dan Lamin Conteh Jr. yang mula menunjukkan taringnya ketika bertemu Selangor, ujarnya.

``Kita mengharapkan para pemain melakukan yang terbaik supaya rekod tanpa kalah sejak kebelakangan dapat dikekalkan,'' katanya kepada Sukan Malaysia di Kangar, semalam.

Namun, kata Adzmi, Conteh Jr. masih belum menunjukkan prestasi yang sebenarnya walaupun berjaya menjaringkan satu gol pada pertemuan dengan Selangor.

Prestasi itu, jelas beliau, perlu dipertingkatkan lagi bagi memastikan Perlis dapat memintas dua lagi pasukan di atasnya iaitu Perak dan Kedah.

Sebarang kekalahan di akhir-akhir musim ini, katanya, akan menjejaskan peluang Perlis untuk muncul sebagai juara Perdana Satu.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4d4zuIZY2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan