Selasa, 15 November 2016

Tajudin ada ramuan mantapkan Perlis

ARKIB : 04/03/1999
''SAYA mempunyai ramuan tersendiri untuk membentuk skuad Singa Utara yang benar-benar mantap sebagai persiapan menghadapi Liga Malaysia musim ini walaupun mempunyai kesebelasan pemain yang masih muda,'' kata jurulatih Perlis, Tajudin Nor.

Beliau berkata, ramuan itu akan dicurahkan sepenuhnya dalam latihan selepas ini untuk memastikan anak-anak didiknya betul-betul bersedia berhadapan dengan musuh pada Liga Malaysia nanti.

Dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini, jelasnya, beliau telah mengukur kelemahan-kelemahan di kalangan pemain Perlis serta mempunyai strategi untuk memperbaikinya.

''Masih terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap persembahan pemain memandangkan skuad ini baru dibentuk kira-kira dua bulan lalu serta berkesempatan beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan,'' ujarnya.

Sehubungan itu, Tajudin yang merupakan bekas jurulatih Pahang dan Melaka menyatakan bahawa beliau memerlukan sedikit masa lagi untuk membentuk sebuah pasukan yang mampu memberi cabaran pada Liga Malaysia nanti.

Beliau yang didapati masih resah terhadap kelemahan di bahagian serangan berkata, perhatian terpaksa diberikan untuk meningkatkan kekuatan jentera serangan dalam latihan.

Menurutnya, pemain serangan seperti Fuad Mohd. Noor, Mohd. Nazreen Tee Abdullah, Hairil Zamri Rashid dan Ku Hasnol Farid Ku Abdul Rahman masih mempunyai masa dan peluang untuk meningkatkan prestasi masing-masing.

''Seperti yang saya jelaskan, saya mempunyai ramuan yang bukan sahaja untuk memantapkan di bahagian serangan, tetapi juga pada keseluruhan posisi,'' tambahnya.

Beliau menambah, sentuhan sebenar para pemain muda Perlis akan dapat dilihat apabila mereka beraksi pada Liga Malaysia nanti.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Q4drk9OC © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan