Rabu, 16 November 2016

Singa Utara mula tunjuk taring

ARKIB : 11/03/1999
SINGA Utara mula menunjukkan sinar taringnya apabila berjaya memamah kekentalan Tentera 3-1 dalam perlawanan pertama Piala FA di Stadium Utama Kangar malam semalam, lapor ZAID MOHD. NOOR.

Pemain-pemain muda Perlis telah menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun mereka ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua Perlis mengasak habis-habisan kubu Tentera dan berjaya menjaring tiga gol untuk mencipta kemenangan bergaya.

Gol-gol Perlis dijaringkan oleh V. Yogeswaran minit ke-50, Amali Amir minit ke-81 dan Mohd. Nazreen Tee Abdullah minit ke-85 manakala jaringan tunggal Tentera oleh Mohd. Rosdi Tahir minit ke-24.

Kemenangan itu tentunya akan membakar semangat pemain Perlis untuk beraksi lebih cemerlang dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA serta Liga Malaysia.

Ini kerana berbekalkan dua jaringan masih tidak mencukupi untuk berhadapan dengan Tentera pada perlawanan kedua di gelanggang lawan pada 16 Mac ini.

Bagaimanapun kemenangan pertama itu memberi amaran awal kepada pasukan-pasukan lain dalam Piala FA dan Liga Malaysia bahawa Perlis yang dibarisi pemain-pemain muda tidak mudah untuk diperbudak-budakkan.

Para peminat setia skuad Perlis juga didapati semakin puas apabila menyaksikan sentuhan anak-anak didik Tajudin Nor.

Sementara itu, Tajudin juga boleh menarik nafas lega apabila anak-anak didiknya semakin matang ketika beraksi malam semalam berbanding beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini.

Bekas jurulatih Pahang dan Melaka itu didapati cekap untuk memperbaiki kelemahan anak didiknya terutamanya di posisi serangan.

Malah beliau masih mempunyai masa yang panjang untuk menajamkan taring pemain-pemain serangan menjelang Liga Malaysia nanti.

Pemain-pemain Perlis seperti Yusri Che Lah, Rozmin Musa, Mohd. Nazarudin Mohd. Zain, Mohd. Fuad Mat Noor dan Mohd. Nazreen Tee Abdullah semakin lincah dan berbisa.

Sementara barisan pertahanan yang diketuai oleh Suhairi Abd. Karim semakin kental untuk menangkis serangan musuh.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Q9wGvg49 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan