Selasa, 15 November 2016

Ilham Tajudin boleh tajamkan taring Singa

ARKIB : 03/03/1999
JURULATIH Perlis, Tajudin Nor perlu mencari ilham yang lebih berkesan bagi menajamkan taring skuad Singa Utara sebagai persediaan untuk berhadapan dengan musuh dalam perlawanan Liga Malaysia dan Piala FA yang semakin hampir.

Kekalahan berturut-turut dalam empat perlawanan persahabatan sebelum ini meresahkan para peminat bola sepak apabila anak-anak didik bekas jurulatih Pahang itu gagal beraksi cemerlang seperti yang diharapkan.

Perlis tewas menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya 0-2 manakala tiga kekalahan lagi di Stadium Utama Kangar ketika berhadapan Negeri Sembilan 0-1, Kelab Home United dari Singapura 3-4 dan sekali lagi kepada Pulau Pinang 1-2.

Walaupun perlawanan persahabatan itu sekadar untuk menguji kecergasan pemain dan bukan mengejar kemenangan tetapi kekalahan berturut-turut itu menunjukkan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki segera oleh Tajudin Nor dan penolong jurulatih Mohd. Ali Osman.

Kelemahan yang paling ketara dalam skuad Singa Utara itu dalam keempat-empat perlawanan persahabatan itu ialah pemain di barisan serangan apabila dilihat masih terkapai-kapai di hadapan gawang lawan.

Pemain di bahagian serangan seperti Fuad Mohd. Noor, Mohd. Nazreen Tee, Hairil Zamri Rashid dan Ku Hasnol Farid Ku Abdul Rahman perlu bekerja keras dan meningkatkan latihan untuk memastikan mereka mampu membuat sentuhan berbisa dalam perlawanan Liga Malaysia dan Fiala FA nanti.

Tajudin perlu mencari formula dan adunan baru untuk memperbaiki kelemahan yang agak ketara di bahagian serangan itu.

Sementara itu, gandingan di bahagian tengah yang membariskan pemain tengah kebangsaan, Yusri Che Lah, Mohd. Nazaruddin Mohd. Zain, Rozmin Musa, Sabri Rani dan V. Yogeswaran masih perlu mencari keserasian apabila mereka masih gagal mengawal dan mengumpan kemas bola ke arah kawan masing-masing.

Bagaimanapun, Tajudin agak boleh menarik nafas lega apabila memikirkan tugas untuk memperkemaskan bahagian pertahanan kerana pemain-pemain di posisi itu didapati lebih mantap.

Barisan pemain pertahanan diketuai Suhairi Abd. Karim, Amali Amir, Mohamad Shukrin Md. Saad dan M. Balan begitu kukuh mengawal lawan mereka.

Perlis akan menentang Tentera pada pusingan pertama saingan Piala FA di Stadium Utama Kangar pada 9 Mac ini dan pusingan kedua di Kuala Lumpur pada 16 Mac.

Sebelum itu pada 5 Mac, Perlis akan bertemu dengan Kedah bagi merebut Piala Dunhill di Stadium Darulaman, Alor Setar dan perlawanan kedua di Stadium Utama Kangar pada 12 Mac.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4Q4QcYX79 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan