Ahad, 19 Mac 2017

Pemain tolak tawaran PFA

 ARKIB : 15/11/2001
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) mungkin terpaksa bermula dari kosong - dengan mencari muka-muka baru jika pemain-pemain yang ada sekarang tidak bersetuju dengan gaji yang ditawarkan dalam kontrak untuk musim depan.

Mengikut tawaran terbaru itu, PFA menawarkan gaji kurang 30 hingga 50 peratus daripada gaji lama yang sebelum ini dinikmati oleh setiap pemainnya pada Liga Malaysia musim lepas, menyebabkan pemain-pemain tidak bersetuju.

Isnin lepas, PFA telah membuat tawaran itu dalam pertemuan dengan semua pemain-pemainnya. Ia juga menjanjikan bonus kemenangan lebih tinggi berbanding yang diberikan tahun ini.

Selepas menerima bantahan, PFA bersetuju untuk memberi tambahan gaji sebanyak beberapa ratus kepada setiap pemain yang masih belum dapat memuaskan hati mereka.

``Ini kerana majoriti daripada kami ditawarkan gaji kurang 50 peratus daripada gaji lalu. Ia terlalu rendah walaupun PFA menaikkan jumlah itu beberapa ratus lagi,'' kata seorang jurucakap pemain, yang tidak mahu namanya didedahkan.

PFA dan pemain-pemainnya akan berbincang lagi esok, jika terus menemui jalan buntu maka Perlis mungkin terpaksa memikirkan untuk mencari `pekerja baru' untuk menyarung jersi Singa Utara musim depan.

Dia bagaimanapun berkata bahawa kebanyakan pemain masih mahu beraksi untuk Singa Utara tetapi terpaksa beralih arah demi masa depan mereka jika PFA kekal dengan tawaran itu.

Hampir 90 peratus daripada 23 pemain Perlis tamat kontrak tahun ini.

Menurut jurucakap itu lagi, PFA telah mengaku bahawa ia tidak mampu untuk memberi gaji besar atau menyamai dengan apa yang mereka berikan sebelum ini kerana kekurangan wang.

``Tetapi saya syak ia disebabkan mereka mahu mengambil pemain import... kita ada dengar mereka berminat dengan pemain Thailand,'' katanya.

Bagaimanapun, katanya adakah PFA mampu melepasi syarat ketat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jika mereka berhasrat mengambil pemain luar.

FAM telah mensyaratkan bahawa pasukan yang mahu menggunakan pemain luar perlu mengemukakan jaminan bank sebanyak RM250,000 untuk seorang pemain dengan dua pemain dibenarkan diimport.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bpLBwpxY

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan