Ahad, 26 Mac 2017

Cabaran baru bagi Tengku Hazman



ARKIB : 12/01/2003
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
KAPTEN pasukan kebangsaan dalam kempen bola sepak Piala Tiger 2002 di Singapura dan Indonesia, Tengku Hazman Raja Hassan menyifatkan penyertaannya dalam skuad Perlis musim ini sebagai cabaran baru yang bakal ditempuhi dalam Liga Malaysia yang akan bermula 9 Februari ini.

Tengku Hazman, 26, yang dipilih oleh ketua jurulatih Allan Harris kali pertama memimpin skuad negara berkata, penyertaannya dalam skuad Singa Utara merupakan usaha beliau untuk mencipta pengalaman baru.

``Saya akan gunakan pengalaman yang ada pada diri saya untuk membantu Perlis mencipta kejayaan untuk Liga Malaysia musim ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis menandatangani kontrak pemain bola sepak skuad Perlis tahun 2003 di Kuala Perlis, kelmarin.

Selain beraksi untuk skuad gergasi `Merah Kuning' selama dua musim, Tengku Hazman pernah bermain untuk Kelantan dan Pahang pada awal kariernya.

Beliau berkata, perkenalan dengan jurulatih skuad senior kebangsaan, Norizan Bakar yang kini bertindak sebagai jurulatih Perlis banyak memberi dorongan kepada beliau untuk bermain mewakili Perlis.

``Ajakan daripada Norizan Bakar menarik minat saya untuk mencuba nasib di Perlis musim ini,'' katanya.

Tengku Hazman turut mengharapkan kerjasama daripada pemain-pemain skuad Singa Utara bagi membantu beliau menyesuaikan diri dengan corak permainan negeri itu.

Beliau juga mempunyai pengalaman bermain bersama-sama pemain pertahanan skuad itu, Mohd. Khaironnisam Sahabudin Hussain yang turut mewakili Perlis.

Selain itu kata beliau, kehadiran penyerang import dari Zambia, Phillimon Chiepieta, 22, dalam skuad Perlis mampu memberi cabaran kepada pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia tidak lama lagi.

``Sasaran saya ialah mencipta kejayaan bersama skuad baru dari utara musim ini, seperti mana saranan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim iaitu untuk mencapai yang terbaik dalam kejohanan kali ini,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4cV1zZy8Q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan